AAIRA & BROTHERS: Tawar produk ternakan ladang dan sejuk beku berkhasiat kepada pelanggan tempatan menerusi PUYUH KING

Perniagaan  adalah salah satu cabang rezeki yang mempunyai  potensi  besar  untuk  diterokai.  Justeru, bidang ini antara yang  menjadi pilihan popular  untuk mengasah bakat dan kemahiran berniaga seseorang individu.

Bagi yang berani dan cekal, bidang ini amat sesuai untuk dicuba kerana ia menawarkan seribu satu pengalaman kepada mereka.

Walaupun tidak dinafikan, ada jatuh bangun dalam dunia perniagaan, kemanisan yang diperoleh hasil usaha keras pastinya begitu besar nikmatnya.

Yakin terhadap pasaran perniagaan di negara ini, usahawan, AAIRA & BROTHERS, Ahmad Nazri Abdul Rahman,  tampil memeriahkan dunia perniagaan tempatan menerusi  produk istimewa keluaran syarikatnya, PUYUH KING.

Mendengar namanya pun, sudah mampu membuat sesiapa saja teruja untuk merasai keenakannya.  Puyuh adalah sejenis daging yang mempunyai citarasa dan keenakan tersendiri yang memukau selera penggemarnya dan masakannya juga boleh dipelbagaikan sama seperti daging lain.

Biasanya dagingnya dihidangkan dalam saiz kecil tetapi apa yang ditawarkan oleh Nazri mempunyai keunikan tersendiri dalam memikat perhatian pelanggan untuk terus mencuba produknya.

Kata pemilik perniagaan ini,  saiz daging puyuh  yang dijual kepada pelanggan bukan saja besar tetapi pada masa sama pelanggan dapat menikmati kesegaran daging puyuh yang berkhasiat hasil daripada  ternakan di ladangnya sendiri.

Kata anak kelahiran, Alor Gajah, Melaka ini, perniagaan ternakan  itu pada awalnya dijalankan dengan menternak   ayam kampung asli dan kacukan sekitar tahun 2017 lalu.

Kemudian,  beliau tekad  mempelbagaikan lagi hasil ternakan dengan menternak pula burung puyuh yang kini menjadi sumber rezeki beliau.

Isitimewanya lagi, beliau melangkah maju apabila  turut mempunyai pusat pemprosesan unggas selain membekalkan ayam daging di serata tempat.

“ Kemudian, tercetus pula idea untuk mempunyai jenama produk sendiri iaitu burung puyuh sejuk beku dan segar, puyuh salai serta ayam perap Tandoori,” katanya  kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Beliau yang kini berusia 60 tahun, berkata,  kini   ramai  yang memilih  daging puyuh sebagai sumber protein utama  selain ia menawarkan banyak khasiat dalam kesihatan.

Antara kebaikannya  adalah bagus untuk meningkatkan sistem imunisasi badan, menambah serta melancarkan pengaliran darah, menguatkan tulang serta berupaya mencantikkan kulit.

Kata usahawan cekal ini lagi,  meskipun dunia perniagaan mempunyai tekanan akibat kehadiran pandemik, beliau mempunyai persepsi berbeza.

Kehadiran pandemik dilihat daripada sudut positif yang mana beliau kini menjadi usahawan yang lebih kreatif dan berdaya saing dalam menawarkan produk yang unik kepada pelanggan.

Pada masa sama, pandemik yang melanda negara  turut membantu beliau menjalankan perniagaan bukan saja secara fizikal tetapi secara dalam talian yang dilihat  lebih menyeluruh dan mudah dalam mendekati  pelanggan.

“Saya melihat kehadiran pandemik ini dalam sudut berbeza. Selain menawarkan produk berkhasiat kepada pelanggan, saya juga belajar selok belok dunia perniagaan dalam talian.

“Ia dilihat  berupaya mengurangkan risiko bersesak ke pasaraya misalnya serta dapat mengembangkan dan memperluaskan saiz pasaran,” katanya.  

Kongsi beliau, sama seperti usahawan lain, beliau turut memasang impian  dan misi utama untuk menjadikan daging puyuh sebagai protein utama yang menjadi pilihan masyarakat  selain ayam dan unggas lain dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“ Ini kerana daging puyuh  juga adalah salah satu makanan sunnah yang amat baik untuk diamalkan dalam menjaga kesihatan.

“ Pada masa sama, saya gembira dapat menawarkan produk yang menjimatkan masa dengan hanya perlu dimasak selama 10-15minit oleh pelanggan,” katanya.

Akhiri beliau, dengan usaha dan iltizam yang dilakukan menerusi pembangunan produk yang dihasilkan itu, ia akan menjadi inspirasi kepada ramai orang.

 Pada masa sama, beliau mahu produk keluaran tempatan dinikmati penduduk di negara ini menerusi pemakanan sihat dan daripada sumber protein yang segar dari ladang segar.