Rawatan bekam dari rumah ke rumah

Bekam adalah satu amalan tradisional yang diamalkan dalam pelbagai budaya seluruh dunia. Amalan ini melibatkan penggunaan cawan khas yang telah dikeluarkan udaranya untuk menghasilkan ruang udara bertekanan rendah seperti sedutan atau ruang separa vakum dan diletakkan atas permukaan kulit.

Bagi Mohd Nur Syafiq Omar, pengalaman beliau yang pada mulanya hanya menemani kawannya mendalami kursus rawatan bekam telah membuatkannya turut sama berminat untuk meneroka potensi yang ada dalam rawatan alternatif.

Bercerita mengenai kisahnya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, pemuda berusia 30 tahun itu berkata daripada sekadar mengisi masa lapang menemani sahabatnya, beliau kini fokus kepada perniagaan rawatan bekam manakala sahabatnya itu pula yang masih memilih untuk bekerja pejabat.

“Saya menjalankan perkhidmatan kesihatan dengan memberikan rawatan bekam dari rumah ke rumah di sekitar Lembah Klang.

“Saya menawarkan perkhidmatan saya kepada pelanggan dan mereka hanya perlu membuat tempahan secara dalam talian. Pelanggan tidak perlu keluar rumah dan saya yang akan bergerak menemui pelanggan di lokasi yang diberikan.

“Perkhidmatan ini nyata memberi kemudahan kepada pelanggan yang tidak mahu berhadapan dengan kesesakan trafik, kesukaran hendak cari tempat letak kereta dan tidak mahu pergi ke premis rawatan. Ia khas untuk mereka yang mempunyai kekangan masa.

“Antara maklumbalas yang saya peroleh daripada pelanggan yang sudah menggunakan perkhidmatan saya adalah mereka lebih selesa membuat rawatan bekam di rumah kerana ia lebih tertutup dan santai.

“Ada juga yang respon mereka tiada masa untuk ke kedai kerana sibuk dengan komitmen kerja dan malas untuk keluar kedai kerana penat berkerja. Jika ke kedai pula, mereka masih perlu beratur dan menunggu giliran. Ada juga yang perlu menempah dua tiga hari lebih awal. Jadi saya rasa, permintaan untuk rawatan bekam ke rumah ini masih tinggi terutamanya mereka yang tinggal di bandar,” katanya yang berasal dari Batu Caves, Selangor.

Bagaimanapun, Mohd Nur Syafiq juga tidak terlepas daripada ujian berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

“Semasa pandemik, perniagaan saya memang tidak boleh beroperasi langsung. Jadi pendapatan agak terjejas juga. Namun pandemik yang berlaku juga telah buka mata saya untuk cuba menceburkan diri dalam bidang perniagaan produk pula dimana saya cuba jual produk makanan sunnah kerana makanan ni, semua lapisan masyarakat ada amalkan.

“Memandangkan sekarang tiada lagi sekatan perniagaan, saya tidak lagi serius dengan pernigaan itu kerana telah kembali kepada fokus utama iaitu rawatan bekam ke rumah,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata mahu mengembangkan perniagaannya dengan membuka dua cawangan kedai bekam dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Saya mahu menawarkan beberapa jenis perkhidmatan termasuk rawatan bekam di premis serta jualan produk makanan sunnah. Selain itu, dalam masa yang sama, saya ingin menubuhkan satu pasukan operasi yang akan pergi ke rumah pelanggan untuk melakukan rawatan bekam.

“Untuk permulaan, saya perlu mengumpul modal terlebih dahulu untuk buka kedai. Pada masa ini, saya masih lagi dalam proses mengumpul modal. Saya juga sering merujuk kepada sahabat-sahabat saya yang telah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan ini sekiranya saya berhadapan kesulitan atau masalah. Saya akan minta nasihat atau pandangan daripada mereka,” katanya.

Beliau mengakui minat dalam bidang perniagaan adalah penyebab utama yang menyebabkan beliau terus cekal dan tidak berputus asa untuk meneruskan perniagaan ini.

“Walaupun latar belakang keluarga saya bukanlah dari kalangan yang berniaga, tetapi tidak salah mencuba bukan? Satu lagi, saya pernah dihina oleh bekas teman wanita yang mengatakan perniagaan bekam ini tidak seberapa.

“Saya pegang kata-katanya itu untuk dijadikan semangat supaya saya sentiasa berjaya di masa hadapan,” katanya.