Melahirkan produk yang kreatif dan berinovasi antara ciri-ciri yang perlu ada untuk usahawan berkembang maju dalam arena keusahawanan.
Menjadi satu bonus bagi usahawan jika mereka ada produk atau perkhidmatan yang berbeza daripada usahawan lain. Ini kerana pastinya produk yang dihasilkan itu lebih mendapat perhatian umum sekaligus merancakkan pengeluaran produk.
Justeru, banyak usahawan kini mula mencari kelainan dalam mempersembahkan hasil produk mereka kepada pengguna supaya produk yang dijual itu bukan saja memberi manfaat kepada pembeli tetapi pada masa sama mencipta keunikan dalam penghasilan produk.
Positif melahirkan produk yang berupaya memberi ketenangan dan kesegaran kepada pengguna membuatkan usahawan wanita Sabatini Dzue, 30, bersama suami, tampil menawarkan produk mandian berasaskan terapi yang unik serta diyakini dapat memberi ketenangan yang maksimum terutama di bilik mandi bagi setiap pengguna khususnya.
Kongsi beliau, Qowiy bermula pada tahun 2019 dan sejak itu mereka mula menjadi pembekal produk dan kelengkapan berasaskan terapi.
Sehingga 2022, Qowiy mempunyai pelbagai rangkaian produk seperti sabun jenis “ bath bomb “, lilin wangi, mandian garam, ramuan buih serta wangian bilik dan kereta yang pastinya menawarkan mutu dan kualiti terbaik kepada pelanggan setia mereka .
Anak kelahiran Selangor ini berkata, seperti yang kita sedia maklum, produk terapi mandian tidak banyak di pasaran dan ia antara langkah awal mereka memenuhi permintaan pengguna di negara ini yang gemar akan produk terapi.
“ Jadi, dengan mengeluarkan produk mandian berasaskan terapi ini adalah sesuatu yang unik dan pada masa sama dapat memberi ketenangan yang maksimum terutama di bilik mandi bagi setiap pengguna khususnya,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.
Kongsi beliau lagi, tidak banyak produk terapi mandian di Malaysia yang diasaskan oleh bumiputera dan mereka proaktif untuk ke hadapan membuktikan semangat juang tinggi melahirkan produk seumpama itu.
“Apatah lagi Qowiy mempunyai kumpulan pengeluaran produk sendiri yang mampu menghasilkan pelbagai produk terapi berasaskan mandian mengikut kehendak dan menepati citarasa pengguna.
“Produk dari Qowiy juga boleh dibuat atau direka berdasarkan kehendak pelanggan,” katanya.
Kata beliau, ketika pandemik melanda negara, Qowiy bergerak dengan sangat lancar dalam memenuhi permintaan pelanggan mereka.
“ Ini kerana kajian juga menunjukkan bahawa terapi seperti “bath bombs” dan lilin wangi adalah selamat digunakan dan mampu menghilangkan tekanan ketika musim pandemik.
“ Dengan adanya produk Qowiy, ia juga dapat membantu ramai pengguna yang tertekan akibat dari pandemik berasa tenang. Ini kerana mereka juga mempunyai masa untuk melakukan terapi secara bersendiri dengan menggunakan produk dari Qowiy,” katanya.
Sementara itu sebagai usahawan, beliau tidak terkecuali memiliki impian yang diharapkan berjalan lancar dalam tempoh masa tiga tahun lagi.
Katanya, jenama Qowiy menyasarkan untuk mendomisasi pasaran Asia sebagai pembekal produk mandian aroma terapi satu hari nanti.
Peka kepada istilah itu, beliau yakin Qowiy akan pergi lebih jauh dengan memasuki pasaran dalam dan luar negara dan khasiatnya dikenali masyarakat dunia.
Katanya lagi, produk yang dihasilkannnya itu juga boleh membantu lebih ramai lagi usahawan di luar sana menjana pendapatan secara bersama.
“Jadi, bagi saya tiada sebab untuk kita berputus asa. Qowiy akan berusaha dengan lebih lagi untuk memperjuangkan perniagaan ini kearah lebih baik dan cemerlang,” katanya.