Produk sejuk beku Kak TJ Foodies bantu mudahkan urusan wanita bekerja

Niat asal Hatijah Ibrahim berkecimpung dalam dunia perniagaan secara kecil-kecilan pada mulanya hanyalah sekadar untuk membantu suami menambahkan pendapatan bagi meringankan komitmen terhadap ansuran kereta dan sebagainya.

Minat memasak pula seakan sudah sebati dengan wanita kelahiran Teluk Intan, Perak itu kerana pada zaman bujangnya, beliau kerap memasak dan berkongsi masakannya bersama rakan sekerja dan rakan yang menyewa bersamanya.

Bagaimanapun, Hatijah mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana faktor kesihatan selain perlu memberi tumpuan kepada anak yang baru lahir dan kerap berulang-alik ke hospital.

Wanita berusia 44 tahun itu mula menyewa sebuah premis di Shah Alam untuk berniaga, bagaimanapun segalanya terhenti apabila wabak Covid-19 melanda negara dan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Bagaimanapun, Hatijah berkata beliau nekad untuk memasak dari rumah kerana sewa bulanan premis serta utiliti masih perlu dibayar.

“Dalam masa yang sama, berlakunya perkara yang paling ditakuti yang mana suami saya diberhentikan kerja semasa PKP 2.0. Tidak mengalah dengan aturan takdir, saya teruskan perniagaan makanan saya dan memandangkan persaingan begitu sengit kerana ramai suri rumah juga mula berniaga semasa PKP, saya perlahan-lahan menukar strategi perniagaan saya.

“Saya menghasilkan produk acar talang ikan masin , tempoyak patin , produk sejuk beku serta produk  yang tahan lama seperti pucuk ubi garing , bilis garing , serunding halia , ikan masin ‘chili oil’ , sambal, asam pedas patin, baung tempoyak dan patin tempoyak Perak.

“Masakan patin tempoyak kami menjadi pilihan ramai customer kerana cara penyedian dan rasanya yang berbeza daripada patin tempoyak yang ada di luar sana. Selain itu, lontong kering juga sangat di minati oleh pelanggan kami. Ini antara produk jualan kami yang laris.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah kami terus berniaga hingga ke hari ini, cumanya kami masih tercari-cari cara bagaimana untuk memperluaskan pasaran produk kami ke seluruh Malaysia mahu pun luar Malaysia,” katanya kepada Entrepreneur Insight.

Bercerita lebih lanjut, Hatijah berkata tujuan beliau mengeluarkan produk makanan sejuk beku dan kering adalah bagi memudahakan pelanggan yang sibuk dengan tugasan harian mereka, terutamanya kaum ibu, selain memperkenalkan produk halal, berkualiti serta menggunakan bahan yang terpilih serta berkhasiat kepada masyarakat.

“Kami menjaga kualiti produk makanan bagi memastikan pelanggan berpuas hati setiap kali menikmati hidangan yang kami walaupun dalam keadaan sejuk beku.

“Kekangan yang saya hadapi pada ketika ini ialah pemasaran dan ‘man power’ kerana saya hanya menjalankan perniagaan ini bersama dengan suami. Saya berharap produk kami akan terus mendapat sambutan dan kami mampu untuk menyewa premis bagi membolehkan kami mengembangkan lagi perniagaan ini.

“Saya juga berharap produk Kak TJ Foodies dapat menembus pasaran antarabangsa dalam tempoh dua tahun lagi serta di kenali seluruh pelusuk dunia,” ujarnya lagi.

Dengan slogan “Gourmet Food at your service”, Hatijah berkata sama seperti usahawan lain, beliau juga amat mendambakan kejayaan dan menyasar untuk memperluaskan produknya ke dalam platform dalam talian, seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat.

“Pada masa ini, kami masih belum cekap untuk menggunakan platform sedia ada seperti Facebook, Instagram, Tik Tok dan You Tube tetapi kami akan cuba untuk belajar dan memanfaatkan kesemua medium berkenaan bagi memastikan perniagaan kami dapat terus berkembang.

“Hasrat kami ingin terus maju seiring dengan pembangunan negara, bersaing secara sihat serta berkongsi rezeki dengan individu yang ingin menjana pendapatan dengan menjadi dropshiper, rakan kongsi, agen atau stokis kami.

“Tidak dapat dinafikan, kami masih lagi bertatih dalam dunia usahawan dan perniagaan. Kami juga masih tidak mahir sepenuhnya dalam sistem pembungkusan.

“Bagaimanapun, kami akan terus belajar dalam selok belom pembungkusan dan label makanan di samping dan menambahbaik produk kami. InsyaAllah dengan izinNya, kami  pasti berjaya,” ujarnya menutup bicara.