Pandemik bukan halangan untuk sukses, rancang buka cawangan” Nasi Dagang 1977”

Jatuh bangun dalam dunia perniagaan adalah adat resam untuk dilalui mereka yang bergelar peniaga jika  ia cabang kerjaya pilihan anda hari ini.  Malah, bukan mudah bergelar peniaga terutama dalam keadaan pandemik yang masih tidak nampak lagi di mana penghujungnya ini memandangkan hanya yang memiliki semangat waja mampu berterusan berjuang.

Tidak sesekali mahu mengaku kalah dalam menempuh badai dunia perniagaan makanan, anak kelahiran negeri digelar Serambi Mekah , Nik Azman Abu Bakar, 40, tetap mencabar diri meneruskan legasi perniagaan  makanan tradisi dengan jolokan nama Dapur Finaz yang sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat sekitar.

Berasaskan makanan negeri Kelantan, perniagaan yang sudah diusahakan sejak April tahun lalu bersama isteri dan kakak beliau, diteruskan operasinya sehingga kini dengan pertaruhan menu istimewa iaitu Nasi Dagang.

Istimewanya, resepi yang digunakan sukar ditemui di mana-mana memandangkan ia adalah air tangan arwah ibunya dan menjadi resepi turun temurun sejak  tahun 1977 lagi. Sehingga kini, masakan itu menjadi igauan masyarakat sekeliling dan keenakan tersebar di serata daerah kerana sajian menu popular Kelantan itu memiliki keunikan tersendiri.

 Di restoran itu,  menu yang paling mendapat perhatian adalah makanan yang diberi jolokan “ Nasi Dagang 1977” yang mana aroma nasi dagang dan kelazatan kuah yang cukup rempah ratusnya  begitu memikat selera setiap golongan tidak kira tua atau pun muda menjadikan ia menu popular.

Pemilihan rempah ratus, kualiti masakan, kebersihan hidangan dengan suntikan selera tradisional adalah pertaruhan yang benar-benar menjadi bagi perniagaan legasi keluarga yang diusahakan beliau.

Nik Azman, berkata adalah menjadi satu kebanggaan untuk mereka sekeluarga kerana dapat berkongsi keenakan masakan ibu dengan menyediakan sajian menu tradisi keluarga kepada masyarakat sekitar.

Bercerita lebih lanjut, Nik Azman sendiri mengakui, keunikan menu yang dihidangkan segar  begitu memikat selera pengunjung  apatah lagi ia adalah  resepi turun temuran yang sukar dicari ganti. Umpama masakan ibu di rumah, begitulah kehebatan resepi yang dipersembahkan kepada pengunjung sepanjang perniagaan dijalankan.

Dengan semangat juang yang dimiliki, beliau sekeluarga meneroka pelbagai cara untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan menerusi beberapa medium perniagaan masa kini.

Antara usaha dijalankan beliau adalah mempertingkatkan promosi dan mengiklankan perniagaan makanan mereka di media sosial serta kawasan sekitar premis perniagaan. Hasilnya begitu memberi impak positif memandangkan kini segala aktiviti mudah dijalankan menerusi platform media sosial berbanding promosi dan pemasaran kaedah tradisional.

“Pandemik ini begitu memberi saya pengalaman yang amat berharga kerana saya banyak belajar kaedah berniaga secara dalam talian seperti di Grabfood, Foodpanda, Facebook, instagram dan lain-lain medium,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Bertitik tolak atas matlamat mahu mengembangkan dan memperkenalkan masakan selera timur kepada masyarakat supaya” tak lapuk dek hujan, tak lekang dek  panas”,  Nik Azman  turut berazam untuk membuka beberapa cawangan sebagai permulaan kepada semarak kejayaan di masa hadapan dan pada masa sama membangunkan perniagaan yang berpotensi besar ini kearah lebih berdaya saing dengan suntikan gaya baharu.

Impian beliau untuk memiliki sebuah premis lebih besar untuk keselesaan pelanggan dan memiliki beberapa cawangan selain membantu orang sekeliling menerusi peluang pekerjaan adalah antara ikrar beliau untuk dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi dan diharapkan menjadi realiti.

Dalam keadaan ekonomi yang sukar diramal ini dan kisah majoriti pengusaha makanan berhadapan dengan risiko “gulung tikar’, ia langsung tidak mematahkan semangat beliau kerana berpegang dengan falsafah selagi mahu berusaha dan tidak kisah untuk bekerja keras, segala kesukaran pasti dapat diatasi dengan baik.

“Apa yang membuatkan saya tidak berputus asa kerana saya bukan ‘orang senang’, dan bukan senang kita nak capai sesuatu dengan mudah kecuali perlu kerja kuat dan tidak mudah putus asa.

“Tiada orang lain atau sesiapa akan bantu kita ketika berada dalam kesusahan melainkan hanya diri sendiri. Paling penting, saya beruntung kerana memiliki isteri dan kakak yang sentiasa menjadi tulang belakang saya untuk kami sama-sama berusaha menggapai kejayaan di hadapan,” katanya penuh bersemangat.