Winged Malaysia sedia pilihan baharu untuk pasaran kosmetik tempatan

Teknik solekan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Jika 10 tahun dahulu, ramai orang memilih gaya solekan yang sedikit tebal bagi menyerlahkan paras rupa, tetapi kini kaum wanita lebih gemarkan gaya solekan yang minimum atau ringkas. Apa yang penting, solekan yang dibuat dapat menaikkan lagi seri wajah dan menonjolkan kecantikan diri mereka.

Sejak virus Covid-19 melanda negara dua tahun lalu, ramai wanita mula memberi penekanan yang lebih kepada tata rias di bahagian mata. Ini kerana pemakaian pelitup muka telah menjadikan kita lebih focus kepada bahagian berkenaan.

Untuk solekan di bahagian mata, ada beberapa langkah yang perlu diambil kira seperti pemakaian maskara, pembayang mata serta ‘eyeliner’. Untuk melukis ‘eyeliner’ yang cantik, ia perlu dilakukan dalam keadaan yang tenang dan tidak terburu-buru. Ini menyebabkan ramai orang memilih untuk tidak memakai ‘eyeliner’ kerana kesuntukan masa dan tidak mahu mencomotkan bahagian mata.

Disebabkan itu, Raden Sre Emikaningseh telah mendapat idea untuk mengeluarkan produk baharu dalam pasaran iaitu Winged Eyeliner. Bercerita lebih lanjut kepada Entrepreneur Insight, wanita yang lebih mesra disapa Emi itu berkata beliau tertarik dengan idea ‘nak cantik tapi cepat’.

“Lukisan mata ‘winged’ menjadi kegilaan mereka yang suka bersolek tetapi ramai yang menghadapi kesukaran untuk melukis bentuk itu. Ia mengambil masa yang agak lama jika anda tidak mahir. Situasi ini memberikan idea kepada saya untuk membentuk acuan bentuk ‘winged’ dan ia boleh terhasil dengan pantas, iaitu hanya dengan melekapkan ‘eyeliner’ di hujung mata untuk bentuk yang cantik.

“Apa yang unik mengenai Winged Eyeliner ini adalah ia adalah ‘eyeliner’ dua dalam satu, yang mana selain bentuk ‘winged’, ia juga boleh digunakan untuk melukis garisan mata seperti biasa. Selain itu, produk ini juga menggunakan bahan organik dan selamat untuk semua peringkat umur. Paling penting, Winged Eyeliner adalah produk mesra wuduk dan anti comot. Ia juga mudah dibersihkan dan ditanggalkan,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai kelebihan produknya kepada pengguna, wanita berusia 39 yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu berkata produknya mampu memberikan kelebihan kepada wanita yang ingin menjimatkan masa tetapi tetap mahu kekal menarik dan elegan.

“Memandangkan produk ini dibuat menggunakan bahan-bahan organik, ia juga sesuai digunakan oleh mereka yang mempunyai kulit sensitif,” jelasnya.

Ujar Emi lagi, walaupun beliau baru menceburkan diri dalam bidang kosmetik di negara ini, banyak perkara yang telah beliau pelajari daripada pandemic Covid-19 yang melanda dunia sejak tahun 2020.

“Antara yang paling terkesan di hati adalah saya belajar untuk melihat peluang atau potensi yang ada pada produk keluaran syarikat saya. Saya juga mendidik diri menjadi seorang yang optimis dan yakin dengan kebolehan yang saya ada.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, saya mahu membantu lebih ramai orang menjana pendapatan dengan produk Winged Eyeliner. Selain itu, saya juga mahu mengembangkan produk kosmetik mata dengan mengeluarkan beberapa lagi produk lain serta mahu mempelajari selok-belok pasaran di samping mempunyai sistem ejen yang lebih kukuh.

“Sejak menceburkan diri dalam bidang perniagaan, saya tidak akan berputus asa dan akan terus berjuang untuk membangunkan perniagaan saya. Saya mahu melihat Winged Eyeliner terus mendapat permintaan yang tinggi dan dalam masa yang sama, saya juga mahu terus menggembirakan wanita di luar sana dengan menghasilkan produk yang mudah untuk mereka guna. Mereka boleh terus tampil yakin dan cantik dengan Winged Eyeliner,” katanya menutup bicara.