Selera Pantai Timur buka peluang jana pendapatan

Ketupat palas sememangnya sinonim dengan penduduk di bahagian Pantai Timur Malaysia, iaitu di negeri Terengganu, Kelantan dan juga Pahang. Ia seakan manjadi hidangan wajib setiap kali menyambut musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya AidilAdha. Bagi penggemar ketupat palas, ia boleh disediakan dengan dua cara iaitu dengan menggorengnya atau jika mereka mahukan pilihan yang lebih sihat, ia juga boleh dikukus sehingga lembut.

Bagi Analiza Mohd, asbab tidak dapat pulang beraya ke kampung halamannya di Besut, Terengganu telah membuka lorong rezeki yang tidak disangka-sangka.

Segalanya bermula pada tahun 2018 apabila Analiza yang ketika itu menetap di Melaka cuba menjual ketupat palas untuk golongan perantau yang senasib dengannya, tidak dapat pulang beraya.

“Untuk tahun pertama, sambutan yang diterima  amat menggalakkan dan ia menjadi pemangkin semangat kepada saya setiap tahun untuk terus mengembangkan perniagaan.

“Keunikan produk keluaran A&Z Sentral Entreprise adalah ia mempunyai tujuh jenis ketupat palas yang telah ditengahkan dalam pasaran iaitu ketupat palas biasa, jagung, kacang, pulut hitam serta ketupat berinti serunding, daging, ikan dan ayam.

“Kami juga mengeluarkan tiga jenis produk sedia dimakan iaitu rendang daging, rendang ayam dan rendang kerang, Kami juga mengeluarkan tiga jenis serunding iaitu serunding ikan, ayam dan daging . Apa yang menarik mengenai ketupat palas kami adalah ikatan daun palasnya begitu rapi dan menarik hati pelanggan  serta tiada pulut yang terkeluar dari simpulan daun ketupat.

“Ketupat kami juga tidak terlalu besar atau terlalu kecil, saiznya sesuai untuk hidangan seorang makan. Rasanya juga sama enak seperti air tangan orang tua di zaman dahulu. Itulah keunikan produk Ketupat Palas Ori Pantai Timur,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

A&Z Sentral Entreprise ditubuhkan pada tahun 2011 dan mengendalikan pelbagai jenis perniagaan.

Tambah usahawan wanita berusia 39 tahun itu lagi, produk keluaran syarikatnya juga menepati citarasa pelanggan dari segi rasa dan keenakannya.

“Kebanyakan pelanggan kami membeli ketupat palas ini dan menikmatinya bukan sahaja pada musim perayaan malah pada hari-hari biasa. Bagi melengkapkan hidangan, kami juga menyediakan produk rendang dan serunding sedia dimakan untuk dijamu bersama dengan ketupat palas itu,” katanya.

Bercerita mengenai pelan untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat yang lebih tinggi, Analiza berkata pihaknya mempunyai sasaran untuk membina kilang ketupat palas yang terbesar di Terengganu.

“Kami mahu memastikan bekalan ketupat palas sentiasa mencukupi untuk diedarkan ke seluruh negara. Dalam masa yang sama, penubuhan kilang berkenaan juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di kampung. Buat masa ini, kami adalah pengeluar terbesar ketupat palas di Melaka,” jelasnya lagi.

Analiza berkata produk keluaran syarikatnya juga sering mendapat permintaan yang tinggi setiap tahun dan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.

“Melihat kepada pencapaian yang kami perolehi sepanjang menceburi bidang perniagaan, kami akan terus berusaha membangunkan perniagaan ini supaya ia menjadi lebih baik di masa akan datang.

“Kami berasa amat bangga dengan pujian yang diterima daripada pelanggan yang menyatakan mereka sukakan produk ketupat palas kami. InsyaAllah, kami akan meluaskan lagi operasi perniagaan di lebih banyak tempat dan lokasi dan tidak hanya tertumpu di negeri Melaka sahaja,” katanya.

Produk kami juga mendapat permintaan tinggi setiap tahun,dengan ini kami cuba membangun perniagaan lebih lagi untuk masa akan datang. Kami rasa bangga kerana produk kami dapat pujian dari pelanggan dengan itu kami akan memperluaskan perniagaan ini merata tempat.