Gubah bunga bukan sekadar hobi

Siapa sangka, bermula daripada sekadar suka-suka, wanita cantik yang mesra dipangggil Anne ini sudah mencipta nama dalam bidang gubahan bunga. Bahkan, beliau sendiri tidak menyangka hobi menggubah bunga di dalam pasu yang mula dilakukannya sekadar untuk mengisi masa lapang sejak beliau berusia 15 tahun kini menjadi sumber utama pendapatannya.

Tanpa disedari, pemilik laman akaun media sosial Instagram Annemikaheelflorist itu sudah memasuki tahun ke-11 bergelar penggubah bunga dan beliau kini mempunyai ribuan pelanggan tetap yang sering mendambakan cetusan ilham gubahan bunga daripadanya.

Menjengah ke laman Instagram berkenaan, ternyata dengan lebih 10 ribu pengikut dan ratusan rekaan gubahan bunga dan belon yang dihasilkan untuk pelanggan, Anne berada di dalam kelasnya yang tersendiri. 

Rekaan gubahan yang eksklusif dan tampak mewah itu turut menarik perhatian artis-artis tempatan untuk turut menempah bunga dari Anne. Antaranya adalah Umie Aida, Shalma Ainaa serta Noniswara.

Ketika ditemubual oleh Entrepreneur Insight baru-baru ini, Anne berkata pada mulanya, beliau tertarik dengan kepelbagaian warna-warni bunga yang tampak begitu cantik di matanya.

“Kalau dapat gubah bunga-bunga ni sebagai hobi, bagus juga kan,” bisiknya dalam hati.

Anne berkata beliau tertarik untuk mula menggubah bunga kerana sering melihat ibunya menggubah bunga tangan untuk majlis perkahwinan sejak beliau kecil lagi. Bertitik tolak daripada situ, Anne mula membuat gubahan ringkas seperti bunga hiasan (korsaj) dan jambangan bunga di dalam pasu  sebagai hobi.

Ternyata, Anne memilih hobi yang serasi dengan jiwanya kerana ia telah berjaya mengembangkan kreativiti wanita berkenaan. Daripada gubahan kecil, Anne kini mampu mencurahkan idea yang lebih kreatif dalam merancang sesebuah acara.

“Sejak dua tahun lepas, saya sering mengikuti akaun Instagram yang berkaitan dengan gubahan bunga bagi mendapatkan idea yang lebih segar dan baharu. Saya juga berkesempatan menyertai siri bengkel dalam talian yang dianjurkan Oregon Florist dan hasilnya, selain daripada dapat menimba lebih banyak ilmu berkaitan gubahan bunga, saya juga lebih memahami selok belok bidang ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kerjayanya, Anne berkata beliau percaya bunga mempunyai unsur yang mendamaikan.

“Bunga itu melambangkan elemen semulajadi. Ia menjadi medium untuk meluahkan perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya percaya bunga juga mempunyai elemen kecantikan yang semulajadi, dengan pelbagai warna yang menarik, ia turut melambangkan kelembutan dan ketenangan.

“Bunga mempunyai elemennya dan maknanya yang tersendiri. Jika ia diberikan kepada seseorang yang disayangi, ia boleh mengukuhkan ikatan kasih dan sayang antara pemberi dan penerima,” katanya.Bertapak di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, anda boleh menghubungi talian 011-11112002 dari jam 10 pagi hingga 7 malam untuk membuat tempahan bunga, belon dan acara keramaian. Penghantaran disediakan di sekitar kawasan Petaling Jaya, Selangor dan Kuala Lumpur