Tudung MS Exclusive jadi pilihan penggemar tudung bawal

Gaya pemakaian tudung bawal mempunyai penggemarnya yang tersendiri kerana rekaannya yang tidak lapuk ditelan zaman. Cara pemakaiannya lebih mudah berbanding selendang dan sesuai digayakan ke mana sahaja sama ada untuk aktiviti harian di rumah, pejabat mahupun ketika sedang bersukan.

MS Exclusive Enterprise, pengeluar jenama tudung bawal MS Exclusive ditubuhkan pada tahun 2016 dan semakin mendapat tempat di hati penggemar tudung berkenaan.

Pengasasnya, Mohammad Shafarin Baharom, 30 tahun berkata beliau mula mengusahakan perniagaan berkenaan bersama isterinya dengan fokus jualan secara dalam talian.

“Bermula dengan beberapa perniagaan lain yang juga dijalankan secara dalam talian, mempunyai minat yang mendalam dalam bidang perniagaan dan telah mendapat cadangan dari keluarga untuk cuba menjual produk tudung bawal.

“Pemilihan tudung bawal sebagai produk utama disebabkan permintaan yang sentiasa ada dan tinggi tambahan pada musim perayaan,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Mohammad Shafarin yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata MS Exclusive menawarkan lebih 100 pilihan warna yang berbeza bagi produk tudung bawal keluarannya.

“Selain itu, kami juga menawarkan empat pilihan saiz tudung yang berbeza bermula dengan bidang 45, 48, 50 dan 55. Ditambah pula dengan lebih 1,000 pilihan corak, pastinya pelanggan sukar hendak memilih rekaan yang diminati.

“Apa yang menarik mengenai tudung bawal MS Exclusive adalah ia diperbuat daripada material tudung yang senang dibentuk dan tidak mudah berbulu walaupun dibasuh berkali-kali dan jahitan tepi tudung yang kemas.

“Ia juga dihiasi dengan pelbagai gred batu kristal premium dan asli untuk tudung jenama MS Exclusive. Yang paling istimewa adalah pelanggan juga boleh ‘customize’ tudung iaitu boleh membuat padanan saiz, warna dan corak yang mereka kehendaki,” katanya.

Usahawan muda berusia 30 tahun itu berkata jenama MS Exclusive juga menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan, malahan kualiti tudung bawal jenama itu juga didatangkan dengan harga berpatutan.

“Ini adalah antara faktor utama yang telah menambat hati pelanggan untuk terus setia sehingga hari ini dan diharapkan sokongan mereka kekal di masa akan datang,” tambahnya lagi.

Bercerita mengenai pengalamannya mengharungi operasi perniagaan semasa pandemik Covid-19, beliau berkata terdapat beberapa pengajaran yang telah dipelajari daripada waktu sukar itu.

“Daripada segi produk, penting untuk kita sentiasa menyediakan produk yang berkualiti kerana pelanggan amat mementingkan kualiti produk dalam keadaan kuasa membeli mereka yang terhad.

“Daripada aspek kewangan pula, kami sedar keperluan menjaga aliran tunai perniagaan dengan baik agar kita sentiasa sedia terutama pada waktu sukar. Manakala daripada aspek hubungan pelanggan, kami menyedari kepentingan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kerana perkara ini akan mempengaruhi emosi pelanggan untuk sentiasa membeli dengan kita walau dalam waktu pendemik.

“Melihatkan kepada sambutan terhadap produk tudung bawal MS Exclusive yang semakin baik, saya menyasar untuk membuka cawangan baharu di kawasan yang lebih strategic dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Bagi mencapai sasaran berkenaan, kami telah mengambil langkah untuk membuka tempat memproses dan menyimpan tudung di beberapa kawasan,” katanya.

Walaupun beliau menyedari dunia perniagaan bukanlah seindah yang disangka, Mohammad Shafarin tidak akan sesekali mengaku kalah dan akan terus berjuang untuk membangunkan perniagaannya.

“Semua ini tidak mustahil dengan adanya sokongan berterusan daripada keluarga terutama isteri, selain minat yang mendalam dalam bidang perniagaan,” katanya lagi.