Sukar dapat buah berkualiti dorong Fahiyah tubuh Regina Fresh Fruits

Buah-buahan mempunyai pelbagai khasiat yang amat diperlukan untuk kesihatan tubuh badan kita. Nutrisi yang ada pada buah-buahan boleh menjadi satu sumber yang baik untuk mendapatkan kulit yang lebih sihat. Sebagai contoh, vitamin C adalah salah satu sumber yang penting untuk meningkatkan paras antioksidan manakala vitamin A menghalang proses penuaan dan kemunculan jerawat. Vitamin E pula menghalang kekeringan kulit, Vitamin B3 untuk merawat kerosakan yang berpunca daripada sinar matahari dan pigmentasi manakala vitamin K berperanan untuk menghilangkan bintik-bintik hitam dan parut.

Bagi Fahiyah Yahaya, kesukaran mendapatkan buah yang baik dan sedap untuk dimakan, sama ada produk tempatan atau import telah mencetuskan idea buatnya untuk menubuhkan perniagaan yang berkaitan dengan buah-buahan premium yang dikenali sebagai Regina Fresh Fruits.

Bercerita mengenai perjalanannya dalam dunia perniagaan kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, anak kelahiran Negeri Sembilan yang berusia 53 tahun itu berkata buah-buahan merupakan asas pemakanan penting setiap hari dan seharusnya ianya adalah daripada sumber yang terbaik.

“Sekiranya untuk dimakan pun kita perlu menghidangkan buah yang sedap, inikan pula buah yang akan dijadikan hadiah. Sudah pasti penerima akan sentiasa mengingati pemberian daripada rakan mahupun saudara mara yang sanggup memberikan buah-buahan terbaik dunia sebagai hadiah dan membangkitkan semangat serta kegembiraan mereka.

“Perniagaan Regina Fresh Fruits adalah berkaitan dengan buah-buahan premium dan dibingkiskan cantik untuk dijadikan hadiah untuk pelbagai acara dan keperluan.

“Apa yang unik mengenai produk kami sudah pastinya susunan buah-buahan yang berwarna-warni, disusun cantik, menampakkan kelas yang tersendiri dan memberikan kegembiraan luar biasa kepada penerima hadiah buah-buahan ini.

“Malah, bingkisan buah-buahan ini juga boleh disertakan dengan jus buah segar yang pekat dan berkhasiat, buah potong yang mudah dan enak dimakan serta buah-buahan juga boleh dijadikan sedekah untuk setiap Jumaat. Semua ini menjadikan Regina Fresh Fruits begitu unik dan cepat terkenal,” ujarnya panjang lebar.

Mengulas lanjut, Fahiyah berkata mungkin ramai pihak tidak memandang serius mengenai gubahan buah-buahan kerana kebanyakan kedai buah yang turut menyediakan perkhidmatan seumpamanya tidak memberikan perhatian kepada gubahan buah, kualiti buah, pilihan pembungkusan, dan kepuasan pelanggan.

“Di Regina Fresh Fruits, kami mementingkan aspek estetika produk kami yang mana gambar gubahan perlu diambil dengan cantik dan menarik minat orang di luar sana yang mahu menempahnya. Selain itu, kami juga menjalankan aktiviti pemasaran menerusi kaedah digital yang mana kami aktif melakukan siaran secara langsung di platform media sosial serta menyediakan perkhidmatan penghantaran,” katanya lagi.

Walaupun permintaan terhadap produk gubahan buah premium Regina Fresh Fruits semakin meningkat, Fahiyah berkata pihaknya turut terkesan dengan harga buah yang meningkat selepas tempoh kawalan pergerakan yang memaksanya mengubah operasi secara dalam talian sepenuhnya.

“Tahun ini keadaan dijangka bertambah sukar dengan inflasi yang semakin meningkat untuk beberapa tahun ini. Kami berharap dapat terus berkembang secara francais mikro dan sama-sama berkongsi rezeki dengan pengusaha lain di Lembah Kelang, Putrajaya dan Ulu Langat.

“Permintaan sentiasa ada bagi produk kami tetapi kos operasi yang tinggi serta ruang penyimpanan yang terhad menjadikannya agak sukar buat kami. Bagaimanapun, kami akan terus berjuang dan mencari jalan terbaik tanpa merosakan kualiti buah dan perkhidmatan kami,” katanya lagi sebelum menutup bicara.