Rhino T Shirt tawar pusat sehenti bagi perkhidmatan percetakan

Tidak semua orang boleh bangkit apabila kejatuhan melanda, apatah lagi apabila kita diuji dengan masalah kesihatan yang kronik. Namun, tidak bagi Saiful Bahrin Nazam yang begitu cekal mengharungi dugaan yang telah ditetapkan untuknya. Siapa sangka, di saat perniagaannya, Rhino T Shirt sedang berkembang pesat, beliau diuji dengan serangan angin ahmar pada tahun 2019 yang menyebabkan beliau lumpuh separuh badan.

Bercerita lebih lanjut kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, usahawan berusia 46 tahun dari Bangi itu berkata beliau menubuhkan perniagaan Rhino T Shirt pada Februari 2015 di rumah secara kecil-kecilan.

“Pada tahun awal tahun 2016, saya mula menyewa kedai di Kajang Sentral. Walaupun hanya kedai kecil, saya teruskan juga perniagaan saya. Alhamdulillah, selepas saya berniaga secara tetap, perniagaan saya semakin berkembang dan saya menyewa di ruang yang lebih besar pada tahun 2017. Saya juga menambah mesin untuk kegunaan percetakan iaitu dengan menambah meja kepada 50 meja cetak dan mesin “heatpress”.

“Ketika perniagaan memuncak naik pada tahun 2019, saya mengalami kejatuhanan apabila diserang sakit stroke pada hujung 2019 dan menyebabkan saya lumpuh separuh badan dan kini menerima status sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

“Tambah malang, perniagaan saya harus ditutup selama 1 tahun kerana saya perlu menjalani terapi di hospital dan fokus kepada kesihatan. Perniagaan tidak berjalan dengan baik. Namun ini semua tidak mematahkan semangat saya untuk bangun semula. Terima kasih kepada kawan dan keluarga saya yg sanggup membantu dan memberi dorongan dikala susah senang.

“Pada November 2020, saya bangkit semula bersama isteri yang setia membantu kerana saya mempunyai masalah untuk bertutur akibat dari strok.Sejak dari itu, Alhamdulillah, kini kami sudah menambah lagi beberapa mesin cetak, menubuhkan bahagian untuk jahitan dan paling terbaru kami membeli mesin print UV, kini syarikat saya sudah berupaya untuk menjadi One Stop Solution untuk Servis Cetakan Pakaian, Jahitan Pakaian, dan juga Servis Cetakan Cenderamata (Premium & Gift). Malah, kami juga mempunyai agen di seluruh Malaysia,” ujarnya Panjang lebar.

Menjelaskan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan, beliau berkata pihaknya menawarkan konsep One Stop Solution (pusat sehenti) untuk hal ehwal berkaitan dengan percetakan.

“Sekiranya anda mencari tempat printing pakaian, cenderamata, stiker, kain rentang dan sebagainya, kami ada jalan penyelesaiannya. Memandangkan kini kami juga mempunyai kemudahan yang lengkap, maka kami boleh menawarkan perkhidmatan percetakan dan jahitan kepada pelanggan-pelanggan kami.

“Kebanyakkan syarikat korporat yang mencari servis cetakan pakaian dan cenderamata juga boleh mendapatakn apa yang mereka mahukan di Rhino T Shirt. Kami juga membantu pelanggan dengan memberi idea yang sesuai dengan bajet semasa mereka,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, pandemik telah mengajarnya mengenai kepentingan mengembangkan jenamanya secara dalam dan luar talian.

“Selain itu, ia juga membuka peluang untuk lebih ramai orang menjadi agen Rhino T shirt bagi mendapatkan pendapatan sampingan.

“Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar untuk meningkatkan kadar jualan sehingga 10 peratus setiap tahun, megembangkan lagi perniagaan dengan menambahkan lagi mesin bagi mempercepatkan lagi proses pengeluaran syarikat. InsyaAllah saya juga mahu berpindah ke fasiliti yang lebih besar.

“Dorongan dari keluarga dan kawan-kawan banyak membantu saya untuk terus membangunkan perniagaan. Dengan pertambahan kakitangan iaitu ahli keluarga dalam syarikat saya, ia membuatkan saya lebih rasa semangat dan tanggungjawab untuk membangunkan syarikat saya.

“Jika kita tak pernah jatuh, kita tak pernah tahu cara nak bangkit, yang penting kena sentiasa cuba untuk bangun,” ujarnya lagi.