Kuih Kapit Carpetz tawar sapuan inti pelbagai perisa

Kuih kapit adalah antara kuih tradisional yang tak lekang dek perubahan zaman kerana ia mempunyai peminatnya yang tersendiri. Selain sesuai dijadikan kudapan harian, kuih kapit juga sering ditempah semasa musim perayaan termasuklah Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha.

Bagi Kumaizah Mohd, beliau mengusahakan perniagaan kuih kapit di bawah jenama Carpetz sejak tahun 2017 lagi. Pada tahun berkenaan, beliau menubuhkan syarikat Kumaizah Enterprise dan menghasilkan produk kuih kapit Carpetz secara kecil-kecilan sahaja tanpa bantuan pembantu mahupun pekerja.

Beliau melangkah sedikit demi sedikit dalam mengembangkan jenama produknya dan setelah mula mendapat permintaan daripada pelanggan tetap mahupun mereka yang sentiasa mengulang pesanan, Kumaizah mula mencari pembantu dan premis perniagaan yang lebih baik bagi memastikan operasi pembuatan kuih kapitnya berjalan lebih lancar.

“Selepas saya mula beroperasi di premis perniagaan dan sudah mempunyai beberapa orang kakitangan, saya mendapat permintaan daripada pelanggan yang menyatakan minat untuk menjual semula produk saya.

“Justeru, saya mula membangunkan sistem agen, stokis dan ‘leader’ bagi memastikan jualan kuih kapit itu dapat dibuat dengan sistematik dan teratur,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai cara beliau memasarkan produk kuih kapitnya, Kumaizah berkata pada awalnya beliau memanfaatkan platform pemasaran secara langsung.

“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, bermula dengan hanya menjadi pelanggan, mereka kemudiannya mahu menjadi sebahagian daripada Carpetz.

“Saya percaya keunikan yang ada pada produk Carpetz telah membezakannya daripada produk kuih kapit lain yang berada di pasaran. Produk Carpetz menawarkan sapuan inti yang lain daripada kuih kapit yang biasa dijual dan ini telah menjadi identiti kami,” katanya lagi.

Ditawarkan pada harga RM17 sebalang untuk saiz kecil, Kumaizah berkata syarikatnya turut membuat sistem belian borong bagi mendorong penyertaan lebih ramai suri rumah, pelajar mahupun kakitangan kerajaan yang ingin menjana pendapatan bersamanya.

“Ketika pendemik berlaku, jualan kami agak merosot kerana pada awalnya kami tidak dibenarkan keluar sama sekali walaupun untuk menggunakan perkhimatan kurier. Selain itu, syarikat turut megalami kerugian yang agak banyak kerana berates-ratus balang kuih kapit hancur disebabkan tiada kawalan akibat terlalu banyak tersadai di pusat pegumpulan kurier di kuala lumpur.

“Bagaimananpun, setelah keadaan beransur pulih dan dibenarkan untuk membuat penghantaran, kami meminta surat kebenaran daripada balai polis. Alhamdulillah keadaan Kembali terkawal dan peniagaan saya berjalan dengan lancar,” katanya menceritakan keperitan yang dilalui semasa pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Kumaizah berkata beliau kini dalam proses untuk memohon pengiktiragan MESTI dan HALAL dan beliau menyasar untuk memperoleh kedua-duanya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Saya sedang berusaha untuk mengubahsuai premis perniagaan saya mengikut piawaian yang ditetapkan MESTI dan HALAL, selain menambah ciri kod bar dan maklumat nutrisi pada produk kuih kapit Carpitz,” tambahnya.

Beliau berkata beliau tidak pernah berputus asa untuk berjuang dan mengembangkan perniagaannya kerana beliau yakin produknya mempunyai kekuatan yang tersendiri daripada segi penejnamaan.

“Jenama Carpetz sudah mula dikenali dan ini adalah sumber pendapatan saya dan suami selama lima tahun kebelakangan ini. Ia juga menjadi sumber pendapatan agen serta kakitangan saya.

“Dengan adanya perniagaan ini, saya telah membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta memberi peluang kepada suri rumah, pelajar dan kakitangan kerajaan menjana pendapatan tambahan,” katanya lagi.