Karipap Pusing Montoq produk unik keluaran Maji Trading

Pasaran produk kuih tradisional sejuk beku semakin berkembang pesat dan rancak sejak akhir-akhir ini kerana ia mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pengguna. Terdapat ratusan jenama produk sejuk beku yang ada pada masa ini dan sebagai pembeli yang bijak, sudah pasti mereka akan memilih jenama yang mampu memberikan nilai yang sepadan kos yang telah dibelanjakan untuk membeli produk-produk berkenaan.

Satu daripada syarikat yang berkecimpung dalam industry produk makanan sejuk beku ini adalah syarikat Maji Trading yang merupakan sebuah perniagaan perkongsian 100 peratus Bumiputera. Maji Trading yang ditubuhkan pada 12 November 2015 menghasilkan produk – produk sejuk beku jenama KAMY yang berasaskan kepada pembuatan dari rumah (homemade).

Diasaskan oleh Nurul Aziemah Noor Rahim, wanita berusia 35 tahun itu berkata pihaknya telah memulakan operasi produk KAMY pada bulan June 2020 sewaktu perintah kawalan pergerakan yang pertama sedang dikuatkuasakan di negara ini.

“KAMY mengeluarkan produk karipap dan ikan cencaru sumbat sejuk beku. Karipap keluaran kami yang diberi nama Karipap Pusing Montoq terdiri daripada beberapa perisa seperti kentang, kentang ayam, kentang daging dan sardine,” kata usahawan dari Seremban itu kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai keunikan Karipap Pusing Montoq, Nurul Aziemah berkata produk berkenaan mempunyai isi yang padat dengan inti dengan saiz yang besar serta rasanya yang sedap dan lazat.

“Produk ini pasti dapat menawan hati setiap pengemar karipap pusing. Malah, inti ayam atau daging juga pasti dapat dirasai oleh pembeli ketika makan. Produk seumpama ini dapat memberikan kelebihan kepada perkembangan perniagaan anda kerana ia dapat membantu menjimatkan masa dan tenaga para pembeli untuk menyediakan juadah yang sedap dan lazat untuk seisi keluarga terutamanya buat kaum ibu – ibu yang berkerjaya.

“Ini memberi peluang kepada kaum ibu untuk meluangkan lebih masa bersama dengan keluarga namun masih dapat memastikan keluarga mendapat makanan yang terbaik dan lazat,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kesan pandemik ke atas operasi perniagaannya, Nurul Aziemah berkata penularan wabak Covid-19 yang berlaku telah mengajarnya untuk menjadi usahawan yang lebih kreatif dan berdaya saing demi memenuhi permintaan pelanggan.

“Pelanggan atau pengguna pada masa kini juga lebih cerdik dan bijak dalam memilih makanan untuk mereka dan keluarga. Justeru, kami harus menawarkan produk yang terbaik dan mempunyai nilainya yang tersendiri,” katanya lagi.

Sebagai seorang usahawan, Nurul Aziemah menyimpan impian untuk terus mengembangkan operasi perniagaannya dalam tempoh tiga tahun lagi.

Beliau menyasar untuk menjadikan Maji Trading sebagai sebuah syarikat pengeluaran produk sejuk beku seperti karipap pusing dan pelbagai lagi yang terbesar dan terunggul di Malaysia dan di dunia.

“Kami mahu menjadikan produk jenama KAMY terkemuka di seantero negara dan rantau ini,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Beliau juga tekad untuk terus melangkah dalam dunia perniagaan walaupun diasak dengan pelbagai cabaran yang kadang-kala boleh mematahkan semangatnya untuk terus maju.

“Bagaimanapun, saya tidak akan sesekali berputus asa. Saya berharap syarikat Maji Trading akan terus mengeluarkan produk yang berkhasiat dan segar kepada pengguna di samping harga yang murah.

“Perniagaan kami ini juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat malah dapat juga memberikan hasil yang berkhasiat kepada mereka. Ini bukan sahaja dapat menjadikan rakyat lebih sihat malah dapat meningkatkan ekonomi negara,” katanya lagi.