Aman Intelligent Resources sasar jadi pembekal tuala dan barangan hotel terbesar

Aman Intelligent Resources adalah sebuah syarikat yang mengendalikan jualan, borong dan pembekalan fabrik seperti tuala pelbagai jenis, saiz dan gred, barangan hotel seperti duvet, cadar tilam, bantal dan barangan umrah dan haji seperti kain ihram dan sebagainya.

Syarikat ini telah ditubuhkan sejak tahun 2009 dan terus konsisten selama 13 tahun memenuhi keperluan hotel, resort, asrama, syarikat agensi pelancongan dan syarikat-syarikat yang mempunyai ‘merchandise’ atas jenama syarikat seperti Kelab Golf, Koperasi dan Bank.

 Usahawan, Amira Nadia Raup, berkata jenama yang diketengahkan adalah TowelbyHana dan ia bertahan sejak jenama ini diperkenalkan sehingga kini.

Kebanyakan pemborong dan agen yang menjual akan membeli secara borong dengan pihaknya untuk jualan secara runcit.

“Syarikat kami berpengkalan di Plaza Jelutong, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. Syarikat kami menyediakan pelbagai platform pemasaran secara atas talian seperti Shopee, Tik Tok Shop, Lazada, Instagram dan Facebook.

“Semua platform ini menjadi medium yang mudah akses oleh pelanggan kami untuk mendapatkan produk jualan syarikat kami dengan harga mampu milik dan sangat berpatutan dengan jaminan kualiti yang memuaskan,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Katanya, produk dan perkhidmatan yang diketengahkan adalah jaminan kualiti, tidak berbulu, pasti serap air dan warna tidak luntur.

Disamping itu, reka bentuk tuala adakala berbeza dan ia membantu untuk melariskan jualan produk.

“Tuala yang kami bekalkan adalah tuala muka, tuala tangan, tuala bayi, tuala mandi dewasa pelbagai saiz dan kualiti. Sasaran pasaran kami merangkumi semua tahap. Tuala murah sehinggalah tuala mewah untuk semua termasuk kerabat di raja.

“Keunikan produk ini semestinya memberikan kelainan berbanding syarikat yang menyediakan barangan yang hampir sama.

“Jaminan kualiti pasti memberikan kepuasan buat pelanggan yang berurusan dengan kami. Keunikan ini juga telah menarik lebih ramai orang yang menjadi agen jualan kami dan berada di setiap negeri semenanjung, Sabah dan Sarawak, Brunei dan Singapura,” katanya.

Pihaknya juga mempunyai kepakaran dalam sulaman pelbagai jenis tulisan dan logo, rekaan serta menampilkan hasil sulaman yang kemas dan menakjubkan.

“Disebabkan hasil kerja kemas dan memuaskan ini, banyak syarikat korporat dan ternama pernah menjadi pelanggan kami seperti SME Corp, Syabas, Mydin, Public Bank, Tabung Haji, Tenaga Nasional Berhad dan banyak lagi,” katanya lagi.

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sedikit sebanyak telah menggoyangkan keutuhan syarikat mereka.

Namun, ia tidak mematahkan semangat juang mereka untuk meneruskan perjuangan kerana banyak pemborong dan peruncit yang bergantung harap pada pihaknya.

“Kenaikan kos yang mendadak akibat kejatuhan mata wang juga telah meningkatkan kos seunit produk-produk yang dikeluarkan.

“Kenaikan kos kapas, kos penghantaran, kontena dan duti kastam juga telah sedikit mengubah harga keseluruhan, namun kami masih mampu mengekalkan kadar yang tidak terlalu ketara,” katanya.

 Beliau berkata, matlamat pihaknya dalam tiga tahun lagi adalah menjadi syarikat Bumiputera terbesar di Malaysia membekalkan tuala dan barangan hotel.

 Matlamat ini akan dapat dicapai melalui pemasaran yang lebih efektif, sama ada melalui medium cetak, media sosial atau media massa serta rekrut agen jualan yang lebih ramai.

“Tiada erti putus asa dalam perjuangan kami, seperti konsistennya kami sedari awal tahun 2009 dengann terus membekalkan keperluan tuala ke hotel-hotel, resort, asrama dan maahad tahfiz serta misi-misi bantuan banjir dan bencana lain.

“Walaupun lumrah dalam perniagaan ada pasang, ada surutnya, kami akan tetap komited membekalkan keperluan pelanggan sama ada syarikat mahupun pelanggan di rumah yang memerlukan khidmat kami,” katanya.