Anugerah 100 Most Influential Young Entrepreneurs kembali November ini, usahawan muda terus diiktiraf

Kuala Lumpur – 100 usahawan muda paling berpengaruh bakal diiktiraf dalam penganugerahan 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100MIYE) buat kali kelapan tahun ini.

Dianjurkan majalah Entrepreneur Insight terbitan Armani Media Group Berhad, sebanyak 500 penyertaan disasarkan untuk tahun ini.

Majlis penganugerahan itu akan berlangsung di Shangri-La Kuala Lumpur pada November ini bagi mengiktiraf usahawan muda di negara ini yang berani, kreatif dan inovatif yang menjadi piawaian semangat keusahawanan Malaysia dalam pelbagai bidang dan industri yang mereka ceburi.

Pengerusi Penganjur 100MIYE, Datuk KK Chua berkata, memiliki kecemerlangan keperibadian dalam merintis usaha mereka dan melakukan usaha yang luar biasa, membuktikan bahawa tiada apa yang dapat menggantikan kerja keras melainkan  ketabahan serta sedikit kepintaran untuk mencapai kedudukan yang dikecapi mereka pada hari ini.

Bagaimanapun untuk  anugerah tahun ini, Datuk KK Chua berkata, penganjur mahu meletakkan 100MIYE pada tahap yang lebih tinggi iaitu dengan menaik taraf kejayaan yang lebih berganda merangkumi kemahiran dan gaya pemikiran usahawan.

“Bagi membantu usahawan menuju ke arah itu, kami akan mengadakan konvensyen usahawan Bumiputera untuk menggandakan lagi kejayaan perniagaan mereka.

“Kami juga mahu menjadikan mereka komuniti yang saling membantu menerusi rangkaian hubungan (networking) masing-masing dengan bertukar pendapat bagi melahirkan idea baru,” katanya.

Datuk KK Chua berkata, sejak 100MIYE diadakan pada tahun 2016, anugerah itu tidak pernah gagal meraikan usahawan muda yang sentiasa bekerja  keras untuk berjaya, berani mengambil risiko, menjadi ketua, pemimpin dan majikan yang dihormati pekerja.

Datuk Siti Nurhaliza pernah menjadi penerima 100MIYE atas kredibilitnya dalam perniagaan menerusi jenama SimplySiti.

“Semua kriteria yang disebutkan itu perlu ada dalam diri setiap usahawan kerana kejayaan itu bukan semata-mata berpaksi kepada dirinya sendiri tetapi sokongan daripada orang disekelilingnya.

“Mereka juga pasti akan sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran baru dan persaingan. Hanya mereka yang mempunyai sikap yang betul, keazaman dan kesungguhan dalam perniagaan yang diusahakan akan beroleh kejayaan,” katanya.

KRITERIA KELAYAKAN PENCALONAN 100MIYE

  •  Calon mestilah berusia 45 tahun dan ke bawah, terbuka kepada lelaki dan wanita.
  •  Beliau mestilah berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Pengarah Urusan.
  • Berada di dalam pengurusan syarikat minimum dua tahun dan memiliki kepentingan kawalan majoriti syarikat.
  • Syarikat mestilah mengusahakan perniagaan yang sah dan perolehan tahunan sebanyak RM3 juta dan ke atas.