Syorgamakanan tawar nasi bajet berlauk kampung

Operasi perniagaan Syorgamakanan di Shah Alam bermula semasa musim pandemik apabila Norhayati Abu Bakar mendapat idea untuk menghasilkan makanan berlauk tapi dijual pada harga bajet.

Memandangkan jualan nasi bajet sudah tidak asing lagi buat pelanggan yang mana kewujudannya umpama cendawan tumbuh selepas hujan, Norhayati membuat sedikit kelainan pada konsep yang ingin diperkenalkannya.

“Syorgamakan mengambil menginovasikan nasi bajet dengan lauk pauk yang sedia di makan dengan menu kuah ” Asam Pedas Meletoppp”, “Lemak Cili Padi Berapiii”, Kuah Masak Padang” dan beberapa menu kuah lagi.

“Apa yang menarik, semua menu hidangan kami adalah terdiri daripada kuah yang pekat, sedap dan memenuhi citarasa semua masyarakat dan penggemar nasi bajet di luar sana.

“Idea ini tercetus daripada pemerhatian yang dibuat terhadap gaya masa kini yang mana masyarakat lebih mengutamakan makanan sedia dihidang. Cetusan idea ini sememangnya memudahkan pengguna yang sibuk bekerja dan jarang sekali memasak. Ini kerana masakan lauk kampung ini adalah resepi yang saya warisi secara turun temurun daripada mak mertua dan saya inovasikan mengikut citarasa semua lapisan masyarakat.

“Bagi mereka yang belum tahu, resepi tradisional ini memerlukan penyediaan yang rapi kerana saya perlu memilih bahan masakan yang hendak digunakan dengan teliti bagi menjamin kualiti masakan dan keenakan rasanya,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, usahawan wanita berusia 41 tahun itu berkata Syorgamakanan bermula hanya secara kecil-kecilan iaitu dari dapur rumah.

“Pandemik Covid-19 yang berlaku telah merencatkan perancangan banyak pihak, bagaimanapun ia juga telah membuka jalan untuk saya mula menceburi bidang jualan makanan dengan lebih serius.

“Menjalankan perniagaan dalam situasi pandemik adalah satu cabaran yang besar, bagaimanapun Syorgamakanan cuba untuk memperkenalkan pembaharuan terhadap operasi perniagaan dengan menggunakan platform di alam maya,” katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Ditanya mengenai kesukaran yang berlaku disebabkan pandemik, beliau berkata beliau tidak mahu tunduk kepada tekanan dan terus bangkit menongkah arus demi kelangsungan hidup.

“Dalam situasi masa kini, penerokaan platform ekonomi digital mendapat permintaan yang semakin tinggi dan ia boleh menghubungkan sesiapa sahaja tanpa batas. Ternyata, platform dan ekonomi digital mempunyai peranan yang amat penting dalam memacu inovasi dan berdaya saing.

“Malah, pertumbuhan kedai yang beroperasi secara dalam talian juga sudah menjadi begitu pesat.

“Antara strategi kami untuk terus bertahan dan berkembang dalam bidang ini adalah dengan memilih untuk menceburi perniagaan atas talian dengan menggunakan platform media sosial, aplikasi penghantar makanan ternama dan kedai digital untuk memasarkan produk kami,” tambahnya.

Norhayati berkata walaupun bidang jualan makanan memerlukan kecekalan dan ketabahan yang tinggi, beliau tidak akan sesekali berputus asa dan akan terus mengembangkan perniagaannya.

“Syorgamakanan kini dalam perancangan untuk membuka kedai di sekitar Shah Alam  dalam masa terdekat ini.

“Bagi perancangan jangka panjang pula, kami ingin membantu menyediakan peluang kepada para suri rumah dan ibu tunggal untuk menjana pendapatan dari dapur rumah mereka sendiri,

“Dengan hanya duduk di rumah, golongan suri rumah dan ibu tunggal boleh sahaja mencari pendapatan sendiri. Sekarang ini semua hanya dihujung jari, banyak cara nak cari ‘duit tepi’ untuk bantu tingkatkan ekonomi keluarga.

“Ini adalah antara perancangan yang telah dirangka untuk tempoh tiga tahun lagi bagi Syorgamakanan,” ujarnya sebelum menutup bicara.