Dim Sum halal dapat sambutan menggalakkan

Dim Sum adalah makanan yang sinonim dengan masyarakat cina dan dalam bahasa Kantonis ia membawa maksud makanan kecil. Ia dihidangkan dalam saiz hidangan yang kecil, selalunya dalam antara tiga hingga empat biji dim sum dalam satu piring atau bekas.

Kebelakangan ini, semakin ramai masyarakat Melayu yang mula menggemari dim sum memandangkan dim sum halal kini sudah boleh didapati dengan mudah di pasaran. Menyedari potensi yang ada pada produk dim sum halal ini, Maza Asma Mustaffa membuat keputusan untuk membekalkan produk makanan berkenaan kepada masyarakat menerusi jenama Shugarholic.

Bercerita mengenai perniagaannya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, usahawan wanita berusia 45 tahun itu berkata syarikatnya menyediakan pelbagai jenis produk dim sum termasuklah versi kukus serta versi goreng yang tiada di dalam pasaran.

“Paling utama, saya turut memberikan nilai tambah kepada perniagaan dim sum saya dengan menyediakan perkhidmatan penghantara terus ke pintu rumah melalui platform sendiri.

“Selain itu, saya juga menyediakan produk dim sum sedia dimakan (ready-to-eat) yang didatangkan dengan pakej pembungkusan yang sangat menarik, sesuai untuk dijadikan buah tangan sekiranya mahu dihadiahkan kepada sahabat handai serta kenalan terdekat.

“Malah, produk berkenaan juga boleh dinikmati bersama-sama dengan keluarga pada masa santai,” kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu lagi.

Ditanya bagaimana produk dim sum keluarannya unik berbanding apa yang ada di dalam pasaran, Maza Asma berkata kebanyakan produk dim sum di luar sana menyediakan produk yang lebih kurang sama.

“Berlainan dengan produk dim sum syarikat saya, kami menawarkannya dalam pelbagai bentuk dan ada juga yang tidak terdapat dalam pasaran di negara ini.

“Selain itu, selalunya bagi mereka yang hendak menikmati hidangan dim sum, mereka akan pergi ke restoran yang mana harganya agak mahal. Tetapi jika pembeli mahu menikmati dim sum keluaran syarikat saya, kami menyediakan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah dengan harga yang sangat berpatutan,” ujarnya lagi.

Ditanya bagaimana pandemik Covid-19 telah mengubah operasi syarikatnya, Maza Asma berkata sebelum penularan wabak itu berlaku, beliau hanya mengambil tempahan secara luar talian dan apabila ada acara keraian sahaja seperti di majlis perkahwinan ataupun acara korporat.

“Bila pandemik berlaku, saya kurang jelas dengan situasi yang berlaku kerana sebarang majlis keraian tidak dibenarkan dan pada masa yang sama, saya tidak pernah terfikir dim sum juga boleh dipesan secara dalam talian.

“Bagaimanapun, saya tiada pilihan selain mencuba untuk menjualnya secara dalam talian dan Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan saya meneruskan perkhidmatan jualan dim sum secara dalam talian sampailah ke hari ini,” katanya.

Sama seperti usahawan perniagaan berasaskan makanan yang lain, Maza Asma juga mahu membuka sebuah kafe yang berkonsepkan makanan ringan dan santai dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Saya mahu menawarkan hidangan menu sarapan pagi, termasuklah dim sum yang kami keluarkan. Saya sedang berusaha untuk menambah menu hidangan, dengan yang terbaharu adalah nasi ayam Hainan.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Saya menyasar untuk mengumpul dana dalam tempoh setahun sebelum membuat keputusan untuk membuka kafe,” katanya.

Mengulas mengenai pendorong utama yang membuatkannya terus berjuang untuk membangunkan perniagaan, beliau berkata keluarga dan ibu bapanya adalah pemangkin semangat untuknya.

“Suami saya mempunyai masalah kesihatan jadi saya rasa bertanggungjawab untuk memikul tugas menjaga keluarga saya,” katanya lagi.