5 Cara Terbaik Cegah Virus Covid-19

Tahun ini, satu dunia tahu apa itu Covid-19. Tanyalah kanak-kanak seawal usia lima tahun hinggalah warga emas di kawasan kampung, semuanya pasti cukup faham mengenai Covid-19 dan apa impak buruk yang dibawa oleh virus berbahaya berkenaan.

Kesan Covid-19 ini terlalu besar bukan sahaja pada negara kita tetapi hampir satu dunia terkena tempiasnya.

Justeru, kerajaan amat tegas dalam mengawal penularan wabak ini dan sudah pelbagai kekangan dan prosedur baharu yang dibuat bagi membendung jangkitan Covid-19 ini.

Itu di peringkat kerajaan, bagaimana pula dengan kesedaran yang ada dalam diri kita sebagai individu? Adakah kita perlu bergantung sepenuhnya kepada peraturan kerajaan?

Sudah tentu tidak. Kita sebagai individu mempunyai tanggungjawab untuk menjaga diri kita sendiri serta keluarga agar tidak terdedah kepada bahaya virus berkenaan.

Apa yang perlu kita lakukan? Berikut adalah lima langkah terbaik untuk mencegah penularan Covid-19 di negara ini:

1. SENTIASA PAKAI PELITUP MUKA

Kerajaan turut memandang berat mengenai keperluan memakai pelitup muka. Jika anda disaman kerana ingkar akan arahan ini, bersedialah untuk membayar RM1,000 kepada pihak berkuasa. Pemilihan pelitup muka yang selesa amatlah penting kerana ada masanya, anda perlu memakainya untuk tempoh yang panjang, sehingga 8 jam! Jadi, utamakan keselesaan dan pilih pelitup muka yang bukan saja mampu melindungi anda tetapi juga yang mampu memberikan keselesaan kepada pemakai.

2. JALANI UJIAN SARINGAN

Ujian saringan (swab test) kini boleh dilakukan sendiri di beberapa pusat perubatan persendirian yang menyediakan perkhidmatan berkenaan. Jika anda wang lebih untuk dilaburkan, kenapa tidak kan? Kosnya agak tinggi, dalam anggaran 300-600 bagi sekali ujian tetapi hasilnya amat membantu kerana anda tidak perlu lagi tertanya-tanya,‘eh, aku ni kena Covid-19 ke’.

3. KUARANTIN DIRI

Ini adalah prosedur yang cukup ramai orang ingkar. Entahlah, mungkin kuarantin selama 14 hari itu terlalu membosankan pada mereka. Tetapi, dengan mematuhi tempoh kuarantin inilah anda sebenarnya membantu orang di sekeliling anda agar tidak dijangkiti. Kuarantin ni selalunya perlu dibuat jika anda mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19. Oh, jangan lupa. Langgar kuarantin pun kena denda ya.

4. JAGA JARAK FIZIKAL

Ini pun susah juga nak patuh sebenarnya sebab kadang-kala, walaupun kita sudah menjaga jarak dengan baik, ada saja orang lain yang ambil mudah akan hal ini. Bagaimanapun, kita masih boleh memainkan peranan dengan mematuhi penjarakan fizikal sejauh 1 meter sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan.

5. JANGAN ‘KE SANA, KE SINI’

Ini adalah yang sebaiknya. Kekal duduk di rumah dan keluar hanya bila benar-benar diperlukan dan atas tujuan kerja. Elakkan bersantai di kedai mamak, beriadah di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. Ini kerana, jika semua orang boleh patuh dan duduk di rumah, kadar jangkitan Covid-19 akan mula perlahan. Takkan hendak tunggu kerajaan buat PKP semula?

Virus ini akan sentiasa ada dengan kita, dalam masyarakat kita, di negara kita. Selagi vaksin tidak ditemui dan belum disahkan selamat untuk digunakan, selagi itulah kita kena hidup dan sesuaikan diri dengan norma baharu. Ayuh kita sama-sama patuh akan arahan kerajaan dan berharap semua ini akan berakhir tidak lama lagi.