Usia tidak jadi penghalang capai kejayaan

Mula berkecimpung dalam bidang perniagaan seawal usia 20 tahun, ternyata usia bukanlah penghalang untuk Muhamad Rais Abdul Hanan berjaya dalam bidang yang diceburinya.

Jejaka yang kini berusia 28 tahun itu juga memulakan perniagaan memasang pelekat cermin gelap (tint) dengan modal yang minimum, iaitu dengan apa yang ada di tangannya sahaja. Ketika ditemubual Entrepreneur Insight baru-baru ini, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata perjalannya dalam bidang perniagaan bermula dengan memasang ‘magic tint’ di tepi jalan sahaja.

Bercerita lebih lanjut, Muhamad Rais yang dibesarkan di Kuala Lumpur berkata saban hari, perkhidmatan pemasangan ‘tint’ yang dilakukannya mula mendapat sambutan dan beliau mula mencari jalan untuk mengembangkan perniagaannya.

“Saya kemudiannya menyewa di Dewan Orang Ramai di Kampung Pasir dan Alhamdulillah, perkhidmatan saya semakin mendapat kepercayaan daripada pelanggan tetap dan pelanggan baru. Kini, selepas lapan tahun berkecimpung dalam bidang pemasangan pelekat cermin gelap, perniagaan saya semakin berkembang apabila saya sudah memiliki tiga buah kedai,” katanya.

Memandangkan terdapat banyak kedai yang menawarkan perkhidmatan yang sama, Muhamad Rais pastinya berdepan dengan persaingan yang begitu hebat. Bagaimanapun, anak muda ini tidak gentar dalam mengharungi situasi mencabar itu kerana beliau yakin produknya mempunyai kelebihan yang tersendiri.

“Keunikan utama produk jualan kami adalah ia mempunyai tahap kualiti yang tinggi tetapi dijual pada harga yang amat berpatutan. Harga yang syarikat saya tawarkan adalah mampu milik dan tidak membebankan pelanggan.

“Faktor harga memainkan peranan penting dan dengan mengekalkan harga mampu milik, memberi nilai tambah kepada perniagaan saya dan juga pelanggan. Kami berada dalam situasi menang-menang, dan untuk syarikat pula, sudah pasti ia dapat membantu dalam mengembangkan lagi perkhidmatan kami.

“Kebanyakan pelanggan saya akan datang semula ke kedai untuk membuat pemasangan baru pada kereta mereka dan mereka juga sering mencadangkan kepada rakan-rakan mereka untuk turut sama memasang pelekat cermin gelap di kedai saya,” katanya lagi.

Tidak dapat lari daripada lumrah bergelar usahawan, Muhamad Rais juga turut terpalit dengan impak yang melanda berikutan penularan virus Covid-19 di negara ini.

“Apa yang boleh saya katakana, sebagai usahawan, amat penting untuk kita mempunyai wang simpanan yang secukupnya. Wang simpanan ini boleh digunakan di saat kecemasan. Tidak rugi jika kita terus menggandakan wang simpanan kerana lumrah perniagaan ada pasang surutnya.

“Selain itu, ilmu untuk mengemudi perniagaan dan syarikat juga amat penting bagi memastikan apa yang diusahakan selama ini tidak lebur dan menjadi sia-sia sahaja,” katanya.

Muhamad Rais juga mempunyai perancangan tersendiri dalam tempoh tiga tahun lagi yang mana beliau berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangan kedainya.

“Saya mahu mengembangkan perniagaan bukan hanya untuk diri sendiri, sebaliknya saya juga mahu memberi peluang pekerjaan kepada anak muda. Saya tidak mahu anak muda membazirkan masa mereka dengan perkara yang sia-sia,” tambahnya lagi.

Beliau juga memegang falsafah yang mudah tetapi cukup bermakna dalam langkahnya untuk terus berjuang membangunkan perniagaannya.

“Jika orang lain boleh berjaya, kenapa saya tidak boleh?”

“Umur bukanlah faktor kejayaan, walaupun saya masih muda, saya mempunyai pengalaman yang luas selama berkecimpung lebih 8 tahun dalam bidang ini. Saya yakin dengan semangat yang jitu serta kecekalan yang ada, saya juga boleh berjaya di masa akan datang,” katanya.