Khidmat jurugambar amat penting dalam satu-satu acara tidak kiralah sama ada acara keramaian, pelancaran produk, majlis perkahwinan, majlis akikah malah majlis sambutan hari lahir. Jurugambar adalah orang yang bertanggungjawab membidik lensa bagi mendapatkan gambar yang terbaik yang boleh dikenang sehingga ke akhir hayat.
Secara umumnya, kerjaya sebagai jurugambar ini dimonopoli oleh golongan lelaki, mungkin kerana ‘nature of job’ sebagai jurugambar memerlukan mereka bekerja untuk satu tempoh masa yang panjang dan sentiasa sibuk dengan tugasan yang diberikan.
Bagi Diana Mohamad, minatnya dalam bidang fotografi telah mendorongnya untuk terjun ke dalam dunia berkenaan.
“Semuanya bermula dengan suka-suka, saya hendak mencuba benda baharu dan secara kebetulan, saya gemar mengambil gambar. Jadi saya mula berjinak-jinak mengambil tugasan jurugambar secara separuh masa.
“Tambahan pula, saya mempunyai latar belakang pendidikan sehingga ke tahap sarjana dan ibu bapa saya mahu saya mempunyai pekerjaan tetap dan stabil serta kerja di pejabat. Mereka beranggapan kerjaya sebagai jurugambar ini tidak sesuai dengan golongan wanita.
“Bagaimanapun, minat yang mendalam dalam bidang ini membuatkan saya akhirnya berhenti kerja dan memberi fokus sepenuhnya sebagai jurugambar. Kini, sudah lebih 10 tahun saya mengumpul pengalaman dalam bidang fotografi,” katanya anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.
Ditanya mengenai keunikan bergelar jurugambar wanita dalam bidang yang dikuasai golongan lelaki, wanita berusia 36 tahun itu berkata apabila beliau mengambil tugasan dalam majlis perkahwinan, pengantin perempuan sudah tidak perlu risau mengenai aurat.
“Bermula daripada sesi bergambar sehinggalah kepada penghantaran gambar, semuanya akan diuruskan sepenuhnya oleh wanita. Malah, jika tudung tidak begitu ‘menjadi’ pun, saya akan tolong betulkan.
“Selain itu, saya juga menawarkan produk yang boleh diselaraskan mengikut bajet dan kemampuan anda. Studio saya, Dianagraphy Studio juga menyediakan pakej bayaran ansuran bulanan sehinggalah hari majlis berlangsung.
“Dengan menawarkan khidmat jurugambar wanita, ini telah memberi kelebihan kepada Dianagraphy Studio untuk meneroka pasaran yang lebih khusus berkaitan dengan wanita,” katanya lagi.
Bercerita lanjut, Diana berkata pandemik Covid-19 telah meninggalkan pengajaran yang besar untuknya sebagai seorang jurugambar.
“Dalam tempoh lebih dua tahun itu, saya kehilangan banyak prospek memandangkan negara telah mengenakan sekatan pergerakan dan majlis sosial tidak dapat dijalankan. Bagaimanapun, saya tidak mengalah dan terus berjuang.
“Walaupun tidak banyak hasil karya saya yang boleh dipamerkan di media sosial tiada majlis perkahwinan yang dibuat, saya tidak hanya berdiam diri saja. Saya mencari inspirasi dan idea daripada jurugambar di luar negara menerusi carian Google,” katanya.
Memandangkan Diana mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang fotografi, ditambah pula dengan kelulusan akademik yang tinggi, beliau merancang untuk mencuba bidang baharu dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Saya mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan mengajar mata pelajaran yang berkaitan dengan seni dan pemasaran di universiti.
“Saya yakin dengan pengalaman luas yang telah saya timba selama ini, ia dapat dipanjangkan kepada generasi baharu supaya mereka boleh belajar sesuatu daripadanya,” tambahnya lagi.
Diana juga berkata beliau tidak akan sesekali berputus asa dan akan terus berjuang membangunkan perniagaannya.
“Bidang fotografi adalah minat saya dan ia bukanlah sesuatu yang kita oleh cungkil dengan mudah. Saya mempunyai bakat dalam bidang ini di samping keazaman yang tinggi untuk terus membawa nama Dianagraphy Studio ke peringkat yang lebih tinggi.
“Jika tiada ‘passion’, pasti susah untuk sesebuah perniagaan itu bertahan lebih lama,” ujarnya sebelum menutup bicara.