Threeple H tawar khidmat buku gambar untuk tatapan pelanggan

Sejak bermulanya era digital, ramai daripada kita yang tidak lagi mencetak gambar dan dimasukkan ke dalam album, sebaliknya kita lebih selesa melihat semula gambar yang diambil menerusi kamera atau telefon masing-masing sahaja sebelum memuatnaiknya ke platform media sosial.

Bagaimanapun, bagi syarikat Threeple H Enterprise, ia menawarkan khidmat buku gambar yang menjadi pilihan mereka yang lebih gemar melihat gambar-gambar kenangan mereka dicetak dan disimpan dalam bentuk fizikal.

Pemiliknya, Hamizah Sabri berkata syarikatnya mula beroperasi pada tahun 2016 dan masih kekal bertahan sehingga hari ini. Bahkan, dengan hanya menguruskan semua tempahan secara sendiri, beliau kini sudah mempunyai dua orang pembantu yang ditugaskan untuk mereka dan menyusun gambar-gambar pelanggan mengikut citarasa mereka.

Ditanya mengenai keunikan produk buku gambar keluarannya, wanita berusia 36 tahun itu berkata syarikatnya menawarkan pilihan muka hadapan buku yang berlainan kepada setiap pelanggan.

“Sebagai contoh, untuk kanak-kanak, kami tawarkan pilihan kartun yang comel dan menarik yang menjadi kesukaan ramai. Bagi edisi keluarga dan gambar percutian pula, saya menyediakan pilihan muka hadapan dalam bentuk bunga-bunga atau corak lain.

“Untuk album kahwin pula, selalunya saya akan buat rekaan muka hadapan penuh sebab biasanya gambar kahwin ini sudah cantik, hasil sentuhan dan idea daripada jurukamera. Mereka sudah tahu bagaimana untuk menghasilkan gambar yang cantik dan tersusun kemas, jadi sudah tidak perlu beli album gambar lagi untuk susun semula gambar-gambar itu,” katanya yang berasal dari Jeli, Kelantan kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkhidmatannya, Hamizah berkata beliau menerima tempahan dari seluruh Malaysia termasuklah di Sabah dan Sarawak.

“Bagi mereka yang berminat, pelanggan hanya perlu menghantar gambar menerusi Whatsapp ataupun email sahaja. Kami akan susun dan reka coraknya mengikut kehendak pelanggan sebelum mencetaknya. Selepas itu, kami akan pos ke rumah mereka.

“Kebiasaannya, pelanggan saya suka membuat pilihan mereka sendiri dan dengan pilihan rekaan muka hadapan yang kami tawarkan, ia dapat menarik minat pelanggan untuk membuat buku gambar dengan kami.

“Selain itu, dengan adanya buku gambar ini, pelanggan berasa lebih jimat dan mereka ada kenangan yang menarik untuk dikenang bersama dengan anak-anak dan keluarga,” katanya lagi.

Sama seperti usahawan lain, Hamizah juga tidak terkecuali daripada cabaran yang berlaku semasa pandemik Covid-19 baru-baru ini. Bercerita mengenai apa yang telah dipelajari, beliau berkata dalam usaha untuk meningkatkan dan memperkembangkan perniagaan, kita tidak boleh menggunakan satu cara sahaja untuk tujuan pemasaran.

“Contohnya, sebelum ini saya hanya menggunakan pemasaran internet untuk promosi atau iklan, tetapi selepas pandemik berlaku, saya cuba menggunakan peluang yang kerajaan sediakan melalui Entrepreneur Insight untuk menggiatkan lagi promosi yang lebih berkesan dalam bisnes yang mencabar ini.

“Kita kena berani mencuba dan membuat strategi kaedah pemasaran yang berkesan dengan perniagaan kita,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun akan datang beliau menyasar untuk mengembangkan perkhidmatan buku gambar ini kepada semua rakyat Malaysia.

“Saya merancang untuk menyediakan platform yang senang dan mudah untuk customer bagi menghantar gambar untuk dimasukkan ke dalam buku gambar kerana pada masa ini, saya hanya menerima gambar menggunakan email dan WhatsApp sahaja.

“Saya juga merancang untuk menambah pekerja untuk mereka dan menyusun gambar pelanggan. Saya mahu terus mengembangkan perniagaan saya kerana berniaga adalah satu kepuasan yang tidak dapat digambar dengan tulisan atau lukisan.

“Bila pelanggan meluahkan kegembiraan mereka kerana dapat menatap gambar kenangan Bersama keluarga serta sangat berpuas hati atas perkhidmatan yang kami berikan, ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk menjadi lebih kreatif dan efektif,” jelasnya lagi.