Ta’hu Popper dapat sambutan baik penggemar produk sejuk beku

Produk makanan sejuk beku semakin mendapat tempat di hati pengguna kerana ia ternyata membantu memudahkan urusan seharian terutamanya golongan wanita yang sibuk bekerja. Terdapat pelbagai jenis produk makanan sejuk beku yang boleh didapati di pasaran pada hari ini termasuklah aneka kuih tradisional seperti cucur badak, puteri ayu, donut, produk berasaskan tepung seperti roti canai dan roti pratha, serta produk dim sum ataupun pau segera.

Ta’hu Popper telah melalui masak secara kukus di dalam proses pembuatannya. Oleh itu cara memasaknya hanya perlu di nyahbeku dan boleh di masak secara ketuhar gelombang mikro atau air fryer dengan meletakkan sedikit minyak  atau digoreng dengan api perlahan sehingga kekuningan. Ia menjadikan produk seumpama ini perlu ada di dalam peti sejuk setiap isi rumah.

Yakin dengan potensi yang ada pada produk sejuk beku, Asiahtus Shima Adnan menubuhkan perniagaan yang dikenali sebagai Axia Niaga Frozen Food pada April 2022. Syarikat berkenaan mengeluarkan produk pertamanya berasaskan tauhu iaitu Ta’hu Popper Ayam Sesame.

Menurut usahawan wanita berusia 48 tahun itu, walaupun produk Ta’hu Popper agak baru di dalam pasaran, sebenarnya ia sudah mula dihasilkan secara bukan komersil sejak tahun 2000.

“Ta’hu Popper telah bermula secara kecil-kecilan sejak lebih 20 tahun lalu dan ia hanya di jual di kalangan keluarga dan rakan-rakan. Disebabkan saya sibuk bekerja sepenuh masa pada waktu itu, saya tidak dapat meluangkan masa untuk menjual produk berkenaan secara serius.

“Bagaimanapun, ia sentiasa mendapat tempahan berulang daripada penggemar setia. Hanya pada bulan April lalu, saya mempunyai sedikit modal untuk memulakan pengeluaran Ta’hu Popper pada skala kecil, jadi saya membuat keputusan untuk menubuhkan syarikat bagi tujuan berkenaan,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Asiah berkata produk Ta’hu Popper Ayam Sesame keluarannya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pembeli.

“Ramai yang berkongsi testimoni dengan kami dan mereka menyatakan mereka tidak pernah merasa jenis masakan begitu sedap dan boleh diterima oleh semula lapisan umur. Baik ta’hu mahupun sos yang disediakan , kedua-duanya sedap.

“Inilah yang uniknya mengenai produk kami kerana ia adalah produk yang masih belum ada pesaing di dalam pasaran. Ia adalah produk baru yang didatangkan dengan citarasa baru yang sedap. Sudah pasti ramai yang mahu mencubanya

“Saya yakin dengan adanya promosi yang betul dan tepat, pastinya produk ini boleh dijual bak goreng pisang panas,” katanya yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.

Memandangkan produk Ta’hu Popper ini dikeluarkan semasa negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, sudah pasti tidak mudah untuk Asiahtus Shima mahu memperkenalkan produk berkenaan kepada kolompok pengguna yang lebih luas.

“Benar, dengan adanya pandemik ditambah pula dengan kenaikan inflasi yang tidak menentu, kami perlu membuat sesuatu untuk menampung kehidupan yang semakin mencabar sejak akhir-akhir ini.

“Saya agak bernasib baik kerana terjun ke dalam dunia penghasilan makanan kerana industri ini kalis pandemik kerana makanan sentiasa diperlukan dalam apa jua keadaan.

“Justeru saya berharap produk Ta’hu Popper Ayam Sesame ini akan terus mendapat sambutan dan dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar untuk menghasilkan variasi produk yang lain pula tetapi masih berasaskan tauhu.

“Saya juga memasang impian untuk membukan gerai makanan selain membuka peluang perniagaan secara francais,” tambahnya lagi.

Asiahtus percaya kekuatan yang diperoleh pada hari ini dalam menempuh liku-liku bergelar usahawan datangnya daripada doa suami dan ibunya.

“Saya percaya dengan doa yang dititipkan mereka mampu menjadikan saya lebih kuat dan cekal. Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah,” katanya.