Super HR Kits bantu syarikat capai misi dan visi

Fungsi jabatan Sumber Manusia dalam sesebuah syarikat adalah amat penting dan ia disifatkan sebagai ‘jantung’ kepada organisasi bagi memastikan operasi syarikat dapat berjalan dengan lancar. Memahami kepentingan jabatan berkenaan, Megat Ismail Megat Nasir menerusi syarikatnya Awan Group Holdings Sdn Bhd (Awan Group) menerbitkan produk buku terbaharu dikenali sebagai Super HR Kits dengan objektif mahu membantu syarikat-syarikat di negara ini memahami lebih lanjut mengenai fungsi jabatan berkenaan.

Selain itu, Megat Ismail, 33, Awan Group juga menawarkan perkhidmatan setiausaha syarikat bagi membantu usahawan mengembangkan lagi perniagaan mereka dan sehingga kini terdapat lebih 400 syarikat yang berdaftar di bawah syarikat berkenaan.

Beliau berkata keunikan produk buku Super HR Kits adalah ia memberi panduan untuk setiap langkah mengenai cara untuk menguruskan pekerja dengan baik.

“Kami percaya pada zaman ini, banyak perkara yang perlu diambil kira dengan adanya undang-undang perlu dipatuhi. Jadi buku ini memainkan peranan penting untuk setiap peniaga dan usahawan yang benar-benar serius dalam perniagaan.

“Justeru, kepakaran kami adalah dengan membantu para usahawan bagi mengelakkan kerugian di samping menjaga kebajikan kakitangan. Kami juga ingin membantu mereka menguruskan syarikat terutamanya berkaitan hal ehwal pekerja selari dengan Akta Kerja 1955,” katanya pemuda yang berasal dari Shah Alam, Selangor ini kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Megat Ismail berkata beliau percaya apabila kita dapat kongsikan tips-tips berkaitan perniagaan serta mewujudkan kumpulan sokongan dan sebagainya, ramai usahawan akan mendapat faedah terutamanya usahawan yang dahagakan ilmu-ilmu perniagaan.

“Justeru, kami sedia untuk membantu mereka supaya dengan sistem yang kami jalankan, ia akan  permudahkan mereka untuk patuh kepada undang-undang serta mencipta kesedaran mengenai sistem pengurusan yang ada dalam sesebuah syarikat,” katanya.

Beliau berkata pandemik yang berlaku telah memberikan satu pengalaman dan pengajaran yang penting kepada model perniagaan syarikatnya.

“Kami perlu mempelbagaikan lagi produk yang kalis pandemik dan menyeluruh di samping mempunyai pelan sokongan yang amat penting bagi memastikan kelangsungan syarikat.

“Oleh itu, kami menyasar untuk mengembangkan lagi syarikat dan menjadi pusat sehenti dalam tempoh tiga tahun lagi bagi membantu para usahawan daripada segi pemasaran produk dan pengurusan syarikat mereka.

“Selain itu, fokus utama kami adalah untuk mengukuhkan lagi syarikat daripada segi kewangan dan produk untuk memastikan kami dapat kekal dan bertahan lebih lama dalam perniagaan ini.

“Untuk mencapai perkara ini, kami juga telah membuat perancangan yang rapi seperti tidak hanya bergantung kepada satu produk sahaja dan juga menjadi lebih berdisipilin dalam perbelanjaan syarikat,” katanya.

Mengulas mengenai perjalanannya dalam bidang perniagaan, beliau berkata semuanya perlu bermula dengan niat yang baik.

“Sebagai seorang usahawan, fokus utama saya adalah membantu masyarakat dan membuka lebih banyak peluang kerja. Saya mahu berkongsi rezeki dengan pekerja dan usahawan lain. Alhamdulillah, dengan tujuh tahun pengalaman berkecimpung dalam dunia perniagaan, sudah banyak yang saya kongsi dengan usahawan lain di samping mendidik mereka mengenai ilmu perniagaan.

“Apa yang lebih menggembirakan, perniagaan saya juga semakin berkembang dan buku yang diterbitkan laris dijual. Saya bersyukur kerana niat saya hendak membantu memudahkan urusan setiap peniaga yang berdaftar dengan kami juga berjalan dengan lancar. Ini akan terus menjadi motivasi terbesar untuk saya terus melangkah jauh dalam dunia perniagaan,” katanya menutup bicara.