Sikap memiih dalam mengisi ruang pekerjaan sebenarnya lebih membataskan keupayaan seseorang dalam menguji bakat terpendam yang sebenarnya ada pada setiap individu.
Bak kata pepatah,’ jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. Isitlah ini menggambarkan jika kita mudah putus asa, hanya fokus kepada satu usaha, agak sukar untuk kita ke hadapan, bersaing dan mencari kelebihan diri.
Realitinya, ramai yang belajar dalam bidang lain tetapi bekerja dalam dunia kerjaya yang berbeza, malah lebih berjaya daripada bidang yang dipelajari ketika berada di menara gading.
Sikap mahu mencuba, kental dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri, menjadikan dua anak kelahiran Kuala Lipis dan Bera Pahang serta seorang anak kelahiran Cheras, Kuala Lumpur ini, patut dijadikan panduan dan pembakar semangat bagi anak muda yang masih tercari-cari haluan diri terutama graduan yang masih menganggur.
Ain Syafiqah Za’aba, Nur Adilahanun Ahmad dan Waliyyah Silong Taib, antara usahawan yang mencari kelainan dalam kerjaya bagi membina empayar dan identiti berbeza untuk menyusuri dunia keusahawanan.
Bagi Ain Syafiqah yang berpendidikan ijazah dalam Kejuruteraan Elektronik, Komputer dan Maklumat, beliau cuba mengambil insiatif untuk berniaga dari rumah apabila tidak dapat peluang pekerjaan dalam bidang yang diingini.
Kongsi beliau, selepas setahun, beliau mula mengikuti program Perantisan Usahawan Siswazah anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad ( PUNB ) yang menjadi pembakar semangatnya untuk kekal berada dalam bidang keusahawanan.
Lebih menarik, beliau di tempatkan bersama mentor yang berpengalaman dalam bidang bakeri selama lebih 25 tahun. Antara yang dikagumi adalah sesi bersama Zanifah Md Noor, dari D Flowers Cake Rawang.
Rentetan itu, kongsinya lagi, pada tahun 2019, beliau memulakan langkah berani dengan membuka perniagaan di sebuah premis dengan jolokan nama Kafe Dinda.
“ Manakala pada Januari 2020, saya berkolaborasi dengan dua orang rakan kongsi dan rakan bakeri serta tubuhkan jenama Sugar Dinda dan kini ia sudah mempunyai 15 pekerja, dua cawangan dan beroperasi dengan menghantar kek ke kafe-kafe di daerah sekitar,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.
Ditanya apakah keistimewaan produknya yang memberi kelainan kepada pelanggan, beliau dan rakannya berkata, ia adalah produk kek premium dan berkualiti yang menembusi jualan di kawasan pedalaman iaitu luar bandar.
“Pelanggan yang menginginkan produk berkualiti, sukakan teknologi utk pesanan dan penghantaran akan memilih produk kami. Kami menyediakan solusi bagi mereka yang bekerjaya dan tiada masa untuk membeli tetapi inginkan produk seperti kek kami.
“Walaupun lokasi kami di luar bandar, kami menyediakan kemudahan untuk pelanggan yang ingin membeli dari bandar dan memberikan pilihan sama ada bayaran secara e – wallet dan kad debit supaya ia kekal relevan dengan perkembangan ekonomi semasa,” katanya.
Walaupun pandemik masih belum berpenghujung, usahawan desa ini membuktikan lokasi bukan penghalang utama kepada kejayaan sesebuah perniagaan. Ini kerana mereka percaya pemasaran digital dan pasaran dalam talian adalah perkara asas dan utama dalam perniagaan yang sedang dikemudi mereka kini.
Jika melahirkan sesuatu perniagaan dan produk, pastinya setiap usahawan itu ada sasaran, matlamat , perancangan dan objektif untuk dicapai.
Sama seperti usahawan muda ini, mereka menyasarkan untuk membekalkan sebanyak 1000 kek ke rangkaian kafe di seluruh Malaysia suatu hari nanti.
Perancangan strategik ini akan cuba dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi dengan harapan ia akan menjadi penanda aras kepada kejayaan mereka dalam bidang yang diceburi ini.
“Kami telah mempunyai lima kafe dan baru sahaja memiliki cawangan kedua di Raub, Pahang yang akan dijadikan sebagai ‘ dapur berpusat’ sebelum hujung tahun ini.
“ Dapur berpusat ini akan fokus kepada membekal kek ke kafe-kafe dan cawangan SD Premium Cakes, “ katanya.
Ujar mereka lagi, prinsip mereka, sesuatu yang dimulakan mesti ditamatkan. Beliau dan rakan perniagaan, tidak akan sesekali melakukan sesuatu hanya sekerat jalan.
Malah, mereka beruntung kerana ahli kumpulan mempunyai sifat setiakawan yang tinggi dan sehingga kini mereka menjadi pendorong semangat untuk lebih mencapai impian sebagai usahawan berjaya dan disegani suatu hari nanti.