SRI IMPIANA JAYA ENTERPRISE: Menyasarkan Produk Minuman untuk dieksport dalam skala yang besar ke luar negara.

Sri Impiana Jaya Enterprise, adalah sebuah syarikat wanita Bumiputera yang ditubuhkan pada tahun 2007 dan kini beroperasi di Kompleks Premis Usahawan SME Bank Alor Setar, Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan di sebuah kedai sewa di Shahab Perdana, dengan hanya menjual produk minuman “Refresh Coffee” dan produk kosmetik jenama Madeena Skinz melalui jualan terus kepada pelanggan.

Kini Sri Impiana Jaya Enterprise mempunyai sebuah kilang yang memudahkan pengeluaran produk dalam kuantiti yang banyak untuk menampung permintaan pelanggan luar dan dalam negara terhadap produk minuman “Refresh Coffee”.

Selain itu, syarikat itu juga turut menawarkan perkhidmatan penghasilan produk minuman pracampuran kepada usahawan di luar sana yang berhasrat untuk memiliki produk jenama sendiri atau ingin menambah dan mempelbagaikan produk milik perniagaan yang sedia ada.   

Menurut Cik Noor Hayati Mohamed, Pengasas Sri Impiana Jaya Enterprise, pengguna akan berpeluang menikmati aroma dan keenakan “ Refresh Coffee” yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi dengan harga yang murah dan berpatutan.

Dengan menggunakan konsep promosi pada peringkat permulaan, ia dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan di dalam pasaran tempatan kerana ramai pengguna Refresh Coffee suka membeli ketika promosi diadakan. Kelebihan konsep ini dapat memberi peluang kepada pelanggan-pelanggan baru dan lama kami untuk merasai keenakan aroma dan kelazatan Refresh Coffee.

Selain itu, promosi melalui mulut ke mulut adalah kaedah pemasaran yang paling jitu dan berkesan kerana sebahagian besar pengguna lebih tertarik dan percaya untuk membeli atau menggunakan sesuatu produk ketika disyorkan oleh individu terdekat.

“Oleh yang demikian, ketika pengguna membeli ketika promosi dijalankan, ia dapat memberi impak positif kepada perniagaan untuk terus berkembang maju dan mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru baru ini.

Kongsi, anak kelahiran Alor Star, Kedah ini, ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19, terdapat banyak kilang perlu menghentikan operasi seketika bagi membendung penularan wabak ini.

“Dan ini juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada syarikat saya kerana tidak boleh mengembangkan perniagaan serta menjual produk Refresh Coffee di pasaran luar negara.

“Namun, walaupun pasaran di dalam negara mempunyai banyak persaingan tetapi ini tidak menjadi penghalang kepada saya untuk mempelajari bidang pemasaran elektronik untuk meneruskan penjualan produk Minuman Refresh Coffee dan Kosmetik jenama Madeena Skinz secara atas talian.

“Disebabkan ketika sekatan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) yang dilaksanakan di Malaysia pada 18 March 2022, ramai yang tidak boleh keluar rumah. Justeru, platform seperti Shopee dan Lazada ketika itu menjadi tumpuan rakyat Malaysia membeli belah dan ini merupakan satu platform yang sangat bagus untuk menjual produk.

“Melalui media sosial seperti Instagram, Facebook dan Tiktok, Pihak syarikat dapat berkongsi maklumat berkaitan produk untuk memberitahu orang ramai mengenai perkhidmatan dan produk yang kami tawarkan dan ini mampu memperluaskan lagi pasaran di dalam negara,” katanya.

Kata wanita berusia 43 tahun ini, antara impian yang ingin digapai  dalam tempoh  tiga tahun ke hadapan adalah untuk mengeksport produk minuman Refresh Coffee secara besar-besaran ke luar negara.

Katanya, dengan kelongkaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diumumkan oleh kerajaan  bermula 1 Mei 2022  lalu, ia memberi cahaya baru kepada usahawan-usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) sepertinya  untuk memasarkan produk ke luar negara.

“ Selain itu, saya juga tidak akan berhenti untuk terus mengembangkan lagi penjualan di dalam negara dengan sedaya upaya mahu terus memperkenalkan produk minuman Refresh Coffee dan produk kecantikan di semua  media sosial kami untuk menarik minat rakyat negara ini,” katanya.