Simple Bites tawar produk makanan sedia dimakan yang enak

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, produk sedia dimakan (ready to eat) semakin mendapat tempat di dalam pasaran dan mempunyai penggemarnya yang tersendiri. Pelbagai jenis sajian mula didatangkan dalam pek sedia dimakan seperti ayam masak merah, daging dendeng, kari daging dan sebagainya. Selain faktor dapat menjimatkan masa, produk seumpama ini juga mudah untuk dibawa ke mana-mana terutamanya buat mereka yang gemar mengembara.

Melihat kepada potensi pasaran yang besar buat segmen produk sedia dimakan ini, Charles Chan sanggup mengambil risiko untuk menubuhkan Simple Bites Sdn Bhd bagi (Simple Bites) kerana yakin dengan peluang yang ada.

Usahawan berusia 50 tahun itu berkata beliau menubuhkan syarikat berkenaan semasa negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19 iaitu pada tahun 2020. Simple Bites mengeluarkan produk kek keladi dan krim cendawan yang sedia dimakan untuk pasaran negara ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya dalam dunia perniagaan, Charles yang berusia 50 tahun berkata beliau melihat trend yang meningkat dalam permintaan bagi produk sedia dimakan terutamanya semasa Covid-19 berlaku.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini berkata antara keunikan yang ada pada produk keluarannya adalah ia dihasilkan daripada bahan mentah premium dan segar serta tidak mempunyai sebarang bahan pengawet.

“Bagi mengekalkan rasa asli dan enak, produk kami juga dibuat tanpa menggunakan perasa tiruan mahupun pewarna tiruan. Apa yang penting, ia juga sesuai dimakan oleh golongan ‘vegetarian’ dan ini secara tidak langsung dapat meluaskan lagi sasaran pelanggan kami yang mana kami boleh memenuhi cita rasa kedua-dua golongan termasuklah pemakan daging.

“Malah, cara penyediaan produk makanan kami juga mudah yang mana ia boleh disiapkan hanya selepas memanaskannya di dalam ketuhar gelombang mikro selama lima hingga enam minit,” katanya kepada Entrepreneur Insight dalam satu temubual baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata keunikan yang ada pada produk Simple Bites juga nyata memberikan kelebihan kepada perkembangan syarikatnya.

“Produk kami membolehkan pelanggan menikmati makanan yang berkhasiat tanpa perlu menghabiskan masa berjam lamanya untuk menyiapkan hidangan berkenaan sendiri. Selain itu, ia juga boleh disediakan di mana-mana, cukup dengan hanya mempunyai ketuhar gelombang mikro untuk panaskannya,” katanya lagi.

Charles berkata memandangkan beliau menubuhkan syarikatnya semasa pandemik melanda, beliau sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menempuhi cabaran yang mendatang.

“Di samping gigih memperkenalkan jenama Simple Bites kepada pengguna di luar sana, saya juga sentiasa bersedia untuk menempuhi perubahan aliran pasaran dalam segmen makanan dan minuman.

“Saya berharap dalam tempoh tiga tahun lagi, saya dapat meluaskan produk Simple Bites ke pasaran tempatan yang lebih besar serta mula menembusi pasaran eksport. Saya juga merancang untuk bergiat lebih aktif dengan lebih banyak platform pemasaran digital di samping menyertai lebih banyak ekspo makanan dan minuman bagi mendapatkan pendedahan serta berjumpa dengan pemain industri yang lain,” katanya.

Beliau berkata antara pencapaian yang amat membanggakan buatnya adalah apabila beliau mendapat maklumbalas daripada pelanggan yang memberi tahu bahawa produk Simple Bites telah menyenangkan urusan sehariannya dengan keluarga.

“Saya juga bangga kerana produk saya membolehkan mereka menghidang makanan yang enak dan berkhasiat untuk keluarga mereka dalam masa yang singkat.

“Faktor-faktor inilah yang membuatkan saya terus cekal menempuh onak duri dalam dunia perniagaan dan tidak akan sesekali mengalah,” ujarnya lagi.