Sasar lahirkan produk kudapan Muslim menepati selera dan berkualiti kepada pelanggan

Menjual produk makanan antara yang popular dalam kalangan usahawan muda hari ini. Selesa menjual produk yang dekat di hati pelanggan, ia sebenarnya memeriahkan industri makanan negara sekaligus membantu meningkatkan pendapatan keluarga dan negara.

Usahawan , Nuran Feizal, turut tidak ketinggalan berkongsi resepi produk makanan istimewa yang diusahakan bersama suami, Fadli sebagai  pengasas bersama The Chipzkut pada 2016 lalu kepada pelanggan setianya dengan pelbagai perisa menarik.

Kongsi anak kelahiran Gombak, Kuala Lumpur ini,  resepi asal produk ini adalah menggunakan perisa cip coklat yang dipelajari sebelum  mula menjualnya kepada pelanggan.

Sebelum berkahwin, saya hanya menjual satu  perisa saja  iaitu biskut cip coklat  ketika  Syawal dan hanya  membuat  secara kecil- kecilan di rumah.

“Selepas berkahwin,  barulah kami bersama-sama mengolah dan mencuba pelbagai perisa untuk memberi kepelbagaian untuk kepuasan pelanggan,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Selepas lima tahun berkahwin iaitu pada tahun 2016, pasangan ini  melangkah lebih jauh lagi dengan mencipta jenama sendiri iaitu The Chipzkut dan mula memasuki acara besar  seperti MAHA dan  festival Foodmega  selain menjadi vendor di salah sebuah gerai jualan di Mood Republik.

Selain itu, mereka juga berusaha membuka gerai jualan di beberapa agensi kerajaan. Kemudian, berterusan memperkenalkan produk kepada pelanggan  dengan mula membuka gerai jualan  di dalam pasaraya seperti di Bangi Gateway, Mydin Senawang dan Mydin Mall Seremban 2.  Pada masa sama, pasangan ini turut menyewa sebuah rumah untuk dijadikan lokasi penghasilan dan pengeluaran produk.

Kata wanita berusia 37 tahun ini,  keunikan produk mereka  terletak pada rasanya dan kepelbagaian perisa yang ditawarkan selain biskut dihasilkan rangup dan tidak keras.

Selain itu,  biskut mereka dibakar  di kiosk menjadikan  kesedapan baunya sebagai daya  tarikan untuk menarik pelanggan membelinya.

Pelanggan juga  boleh memilih untuk membeli  secara timbang atau ada juga di dalam balang khas yang menarik untuk dibawa pulang.


“Saya dapati, pelanggan yang datang semula sukakan rasanya yang bagi mereka tahap kemanisan biskut  kami boleh diterima.

Ini merupakan perkembangan yang baik bagi perniagaan kami kerana rasa memainkan peranan yang penting dalam sesuatu produk makanan,” katanya.

Kongsi beliau lagi, pandemik ini sebenarnya banyak mengajar usahawan seperti mereka  dalam pelbagai  perkara.

“Dari aspek perniagaan, salah satunya kami perlu menjadi lebih kreatif dan mula aktif memberi perkhidmatan di atas talian. Selama ini kami lebih fokus jualan secara fizikal.

“Terlalu banyak persaingan pada masa ini kerana lebih ramai yang berniaga selepas dari pandemik ini. Oleh itu, untuk lebih maju ke depan, kami perlu memberi lebih banyak pilihan membeli kepada pelanggan bagi mengetengahkan produk kami ini,” katanya.

Justeru, pasangan ini berharap dalam tempoh tiga tahun lagi, The Chipzkut akan dikenali ramai sebagai produk muslim yang berkualiti kerana rasa dan teksturnya serta menjadi pilihan lebih ramai  pelanggan.

“Misi kami ingin membuka  cawangan The Chipzkut di kebanyakan kompleks membeli-belah yang menjadi tumpuan keluarga membeli-belah dan membeli barangan dapur.

“Kami juga berharap dapat menghasilkan atau mempunyai platform dalam talian kami sendiri bagi memudahkan pelanggan mendapatkan produk kami.

“Kami sangat bersyukur mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong  semasa jatuh bangun kami.  Pada masa sama, kami mempunyai pelanggan tetap yang sentiasa memberi maklum balas yang positif dan selalu menyokong The Chipzkut,” katanya.