Perjalanan Rosniwati Beharom dalam dunia perniagaan tidak mudah dan sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran, sama ada kecil mahupun besar. Semangat cekal yang ada padanya membuatkan beliau tidak berputus asa dan menganggap segala cabaran yang datang itu akhirnya mematangkan dirinya.
Beliau yang kini bergelar pengasas produk kosmetik dan skin care jenama M.C Beauty sebenarnya terlebih dulu berkecimpung dalam bidang pakaian dan Andaman pengantin selama 10 tahun. Bercerita mengenai perjalanannya dalam dunia perniagaan, wanita berusia 46 tahun itu berkata beliau perlu melupakan bidang pakaian dan Andaman pengantin kerana ada beberapa masalah yang timbul dan menyebabkan perniagaannya semakin merosot.
“Saya nekad untuk berhijrah menjadi pengedar kepada produk penjagaan kulit kerana pada masa itu produk kosmetik dan penjagaan kulit sangat mendapat sambutan selain jualan dalam talian yang berkembang dengan sangat pesat.
“Selama hampir 2 tahun menjadi pengedar, banyak pengalaman pahit dan manis yang saya tempuhi, selain perlu mengeluarkan modal yang agak besar. Bagaimanapun, saya sekali lagi diuji apabila berhadapan dengan masalah yang sukar untuk diselesaikan, jadi saya nekad untuk mengeluarkan produk jenama saya sendiri.
“Berbekalkan sedikit pengalaman sepanjang jadi pengedar dan saya sendiri mengambil inisiatif untuk belajar bagaimana hendak menjalankan pemasaran dalam talian, saya mula membina empayar saya sendiri,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.
Anak kelahiran Seri Manjung, Perak itu kemudiannya menubuhkan Mawar Shazni Resources Sdn Bhd pada Julai 2020.
“Menerusi syarikat berkenaan, kami menjalankan perniagaan kosmetik dan penjagaan kulit dengan menggunakan jenama M.C Beauty.
“Kami mengeluarkan dua jenis produk iaitu Saapuu Skin yang diformulasi dengan rumusan khas untuk membantu mereka yang mempunyai masalah kulit seperti psoriasis, eczema, alahan, gatal kulit dan masalah kulat kepala.
“Satu lagi produk keluaran kami adalah produk kosmetik ‘lipmatte’ Ginzalips yang mampu menghasilkan bibir yang lebih lembab, merah semula jadi, tidak kusam dan lebam serta tidak kering. Ia diformulasikan daripada bahan-bahan yang dirumus khas untuk kecantikan bibir antaranya lilin lebah, ekstrak minyak sayuran serta minyak argan yang berfungsi mengekalkan ketahanan ‘lipmatte’ pada bibir.
“Ia akan membuatkan ‘lipmatte’ tahan lama dan bibir kekal lembab sepanjang hari. Terdapat lima pilihan warna yang ditawarkan iaitu Chocolate Rouge, Desire Red, Sunset Peach, French Pink dan Violet Plum.
“Pengguna juga tidak perlu risau mengenai tindak balas produk keluaran kami kerana produk kami dijamin selamat dan telah lulus ujian makmal serta mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Bercerita lanjut, Rosniwati berkata dengan adanya kelebihan pada setiap produk keluaran M.C. Beauty ini, secara tak langsung ia sangat membantu perniagaan kerana para pengguna akan mencari produk ini untuk menyelesaikan masalah mereka.
“Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar jualan mencecah RM 1 juta sebulan serta mempunyai lebih daripada 500 agen atau stokis yang aktif. Bagi mencapai sasaran itu, saya akan menambahkan lagi lebih banyak pilihan produk keluaran syarikat di samping memberikan tawaran yang menarik kepada agen dan stokis saya.
“Saya juga akan sentiasa menjaga kualiti produk dan memantapkan pemasaran kami secara dalam talian mahupun secara bersemuka. Apa yang paling penting, saya mahu memastikan aliran tunai syarikat dalam keadaan yang baik.
“Saya juga ingin membantu dan memberi tunjuk ajar kepada mereka yang tidak tahu macam mana hendak membantu keluarga mereka dengan menjana pendapatan tambahan terutamanya pada zaman inflasi ini,” ujarnya lagi.