Pasti ramai daripada kita yang berhadapan dengan masalah berkaitan serangga perosak seperti lipas, semut dan lalat, terutamanya pada musim hujan berikutan keadaan cuaca yang lembab dan struktur tanah yang basah.
Banyak produk penghapus serangga perosak yang terdapat di pasaran dihasilkan menerusi bahan kimia dan situasi ini sedikit sebanyak mendatangkan kebimbangan kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil serta mereka yang membela haiwan peliharaan seperti kucing, anjing ataupun arnab. Ini kerana, bahan kimia yang ada dalam produk penghapus serangga perosak dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan kepada manusia sekiranya mereka tersentuh atau terpegangnya semburannya.
Justeru, Aishah Abdullah cuba untuk mengatasi masalah berkenaan dengan menghasilkan produk penghapus serangga perosak yang dikenali sebagai Organic RidSpray. Produk berkenaan dihasilkan dengan campuran berasaskan 70 peratus air.
Bercerita kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, wanita berusia 35 tahun itu berkata produk Organic RidSpray dihasilkan bertujuan menghapus serangga perosak yang sering ada di kawasan persekitaran rumah, tananam, haiwan peliharaan, haiwan ternakan dan sebagainya.
“Ia diformulasikan daripada bahan-bahan organik antaranya seperti cuka peram dan mula diperkenalkan ke dalam pasaran pada tahun 2016.
“Pada masa ini, syarikat saya beroperasi di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan dengan keupayaan kilang atau dikenali sebagai ‘Production House’ yang sederhana. Bagaimanapun, ia dapat menampung permintaaan awal Master Dealer pertama kami dari Sabah,” ujar anak kelahiran Perak ini lagi.
Mengulas lanjut mengenai keunikan produknya, Aishah berkata ia adalah selamat untuk manusia dan haiwan peliharaan.
“Produk Organic RidSpray ini tidak mempunyai bau dan tidak berwarna. Ia juga mampu memberikan kesan seawal satu minit bergantung kepada jenis dan saiz serangga.
“Ia juga mampu menarik serangga yang sedang bersembunyi untuk keluar apabila disembur. Dengan adanya keunikan seperti ini, saya yakin pelanggan akan tertarik untuk mencuba produk Organic RidSpray ini kerana ia telah terbukti berkesan menghapuskan serangga perosak selain selamat untuk digunakan,” katanya lagi.
Aishah berkata kekuatannya sebagai usahawan teruji semasa pandemic Covid-19 yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini.
“Bagaimanapun, apa yang telah saya pelajari daripada pandemik yang berlaku adalah untuk mengamalkan hidup yang sederhana dan mesti mempunyai simpanan untuk menghadapi hari-hari mendatang yang penuh onak liku.
“Saya mahu terus mengorak langkah sebagai seorang usahawan dan mahu menjadikan produk ini lebih dikenali dalam tempoh tiga tahun akan datang. Saya percaya produk ini mampu mendapat sambutan daripada pengguna berikutan cirinya yang selamat dipakai.
“Saya menyasar untuk menembusi pasaran yang lebih besar seperti pasaraya dan pasaraya besar bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga di negeri lain,” katanya.
Ketika ditanya mengenai apa yang membuatkannya tidak berputus asa dan terus berjuang untuk membangunkan perniagaan, Aishah berkata beliau mahu terus menghebahkan mengenai penggunaan bahan organik dalam produk penghapus serangga perosak.
“Selain mahu membantu pemilik kediaman di luar sana membanteras serangga perosak, saya juga mahu mendidik masyarakat mengenai kepentingan penggunaan bahan organik dalam penghasilan sesuatu produk.
“Ini penting kerana kesan bahan kimia mungkin tidak dapat dilihat dalam tempoh yang pendek tetapi mungkin ia mula memberi kesan dalam tempoh yang panjang. Saya harap semoga anak cucu kita tidak terdedah dengan bahan kimia yang berbahaya,” katanya menutup bicara.