Rempeyek adalah satu daripada puluhan kuih tradisi di negara ini yang sering menjadi pilihan utama sebagai kudap-kudapan di masa senggang. Rasa yang rangup, ditambah dengan taburan kacang tanah serta ikan bilis, rempeyek sememangnya mempunyai peminatnya yang tersendiri. Selain boleh dimakan tanpa mengira masa, rempeyek juga sering ditempah pada majlis keraian untuk dijamu kepada tetamu seperti musim perayaan dan sebagainya.
Di Perlis, jenama Rempeyek Kak Aishah sudah dikenali ramai memandangkan ia sudah bertapak di pasaran sejak tahun 2000. Selepas 22 tahun beroperasi, anak muda bernama Muhammad Danial Hazim Ahmad Yusof kini mula menerajui operasi perniagaan yang diwarisi daripada ibunya sendiri.
Walaupun usianya masih muda, Danial Hazim tidak kekok untuk mengendalikan perniagaan berkenaan dan beliau berazam untuk membawa jenama Rempeyek Kak Aishah berkembang lebih jauh.
Ketika ditemubual oleh Entrepreneur Insight baru-baru ini, anak jati kelahiran Arau di Perlis itu berkata keunikan yang ada pada produk rempeyek keluarannya adalah ia diperbuat daripada ramuan yang bermutu tinggi dan berkualiti serta dijual dengan harga yg murah.
“Disamping itu, kami amat berhati-hati dalam menjaga kualiti rempeyek kami dan bagi memastikan ia tidak rosak mahupun pecah, kami menghantar stok rempeyek kami menggunakan bas. Cara ini lebih selamat bagi malah yang paling penting, produk rempeyek kami diterima oleh pelanggan dalam keadaan yang baik.
“Selain itu, apabila kami menjaga kualiti rempeyek dengan menggunakan bahan mentah yang baik, maka kami dapat menghasilkan produk yang bermutu tinggi. Apabila sesebuah produk itu menawarkan kualiti yang baik, ia akan terus mendapat sambutan daripada pelanggan dan seterusnya dapat meluaskan perniagaan ke serata tempat dan dijual pada harga yang berpatutan,” katanya lagi.
Walaupun jenama Rempeyek Kak Aishah sudah bertapak selama lebih dua dekad lamanya, pandemik yang berlaku berikutan penularan wabak Covid-19 tetap memberikan kesan kepada oeprasi syarikat.
Bagaimanapun Danial Hazim berkata pandemik bukanlah batu penghalang buatnya untuk tidak meneruskan perniagaan.
“Saya akui ramai peniaga yang terkesan semasa pandemik walaupun ianya hampir berakhir namun masih ada yang terkesan sehingga kini. Justeru itu, nasihat saya, usahawan janganlah mudah mengalah begitu sahaja. Kita perlu sentiasa berfikiran terbuka dan membuat perancangan yang terbaik bagaimana kita hendak meneruskan perniagaan.
“Bagi Rempeyek Kak Aishah, saya ingin mencapai sasaran jualan produk saya sehingga RM100k setahun dalam 3 tahun yang akan datang.
“Apa yang perlu saya buat ialah ingin mempromosikan produk ini ke tahap lebih tinggi serta melantik lebih ramai agen di luar kawasan bagi memastikan jenama Rempeyek Kak Aishah dapat terus berkembang ke serata negara,” tambahnya lagi.
Dibesarkan dalam keluarga yang mempunya darah usahawan, Danial Hazim berkata ia telah mengajarnya erti cekal dan tabah kerana bidang perniagaan ini tidak semudah yang disangka.
“Perjalanan sebagai seorang usahawan ada turun dan naiknya. Adakalanya, kita diuji dengan hebat dan berhadapan dengan pelbagai masalah yang menimpa. Apa yang boleh saya katakan, jangan sesekali mengalah atau tunduk kepada cabaran yang berlaku. Jangan mudah mengalah. Kita perlu sentiasa bersedia dan bersemangat dalam mengharungi perjalanan syarikat yang penuh dengan pancaroba.
“Usahawan juga perlu bijak untuk menangani permasalahan yang ada. Sentiasa kekal positif kerana apabila kita positif, Inshaallah perniagaan kita juga turut seiring dengan langkah kita,” katanya lagi sebelum menutup bicara.