Kata orang, jika mahu memasuki ke dunia keusahawan, sifat berani itu perlu ada supaya semangat juang dan tidak berputus asa sentiasa mengiringi langkah bergelar peniaga berjaya.
Sifat sama dipertaruhkan usahawan wanita, Noraini Jamaluddin, 57, yang kini sudah berjaya bergelar usahawan setelah memberi yang terbaik dalam perjalanannya sebagai usahawan produk berasaskan jus buah-buahan.
Wanita berasal dari Parit, Perak ini, berkata perniagaan bermula daripada hasil pertanian diusahakannya iaitu buah roselle sejak tahun 2013 lalu.
Lantaran itu, perniagaannya mula berkembang apatah lagi setelah mendapat sokongan dan galakkan daripada keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga yang tidak putus-putus memberi motivasi dan kata positif kepadanya.
“Beberapa tahun kemudian saya memberanikan diri pula menambahkan produk yang berasaskan buah limau kasturi dengan menghasilkan produk jus kasturi bersama asam boi.
“Alhamdulillah, sambutan yang saya terima sebagai peniaga ketika itu amat mengalakkan dengan sokongan padu daripada insan tersayang dan ia berjalan lancar,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.
Kongsinya lagi, sekali lagi beliau terus mengorak langkah dengan menambah produk lain iaitu durian belanda dengan menghasilkan jus minuman.
“Kini, saya telah berjaya menghasilkan tiga produk iaitu jus roselle, jus kasturi dan jus durian belanda. Ketiga-tiga poroduk ini sering saya bawa ke mana-mana karnival dan biasanya melalui jabatan-jabatan kerajaan.
“ Antara agensi yang banyak membantu perjuangan saya ini adalah jabatan pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA), Pertubuhan Peladang Negeri, Majlis Amanah Rakyat ( MARA) dan FELCRA,” katanya.
Manakala pada pertengahan tahun 2020, beliau sekali lagi mencabar diri dengan menambah produk lain berasaskan buah gelugur, iaitu jus gelugur dan minuman kopi O selain menawarkan produk pekasam daging kepada pelanggan setianya dalam memeriahkan industri perniagaan produk makanan.
Katanya, selain itu, beliau juga bertuah kerana dapat mempertingkatkan mutu hasil pengeluaran produk dan langkahnya lebih kehadapan apabila sering diberi peluang menghadiri pelbagai kursus yang ditawarkan agensi dan jabatan kerajaan.
“ Oleh itu, ia sudah banyak memberi ilmu, keyakinan diri dan motivasi kepada saya untuk meneruskan usaha dalam memperkenalkan produk hasil keluaran saya dengan jayanya.
“ Pada masa sama saya berhasrat dan mengimpikan untuk memperluaskan skala perniagaan i serta mahu meningkatkan proses pengeluaran produk yang dihasilkan ini daripada kaedah tradisional kepada pengeluaran lebih produktif menerusi kaedah lebih moden,” katanya.
Ditanya apakah keistimewaan dan keunikan produk yang ditawarkan kepada pelanggan, beliau berkata keunikan kesemua produknya bukan saja terletak pada rasa enak dan segar, tetapi pada masa sama menghasilkan produk berkhasiat kepada kesihatan pengguna. Misalnya, jus roselle yang diketahui umum kaya dengan vitamin C, Omega dan anti oksida yang berupaya mencegah masalah kesihatan dan memberi tenaga kepada penggemar minuman jus.
Manakala produk terbaru seperti pekasam daging dilihat dapat membantu peminat produknya menghidangkan makanan untuk keluarga dalam masa singkat kerana ia mudah dan cepat dimasak
Lantaran itu, ia memberi peluang kepada mereka yang sibuk bekerja tetapi masih ingin ahli keluarga merasai air tangan mereka dengan mencuba keenakan produk ditawarkan beliau.
Kongsi beliau lagi, sepanjang tempoh pandemik ini, banyak yang sudah dipelajari dan disimpan sebagai panduan hidup sebagai seorang usahawan. Ini kerana, ia satu saat yang mencabar bagi sesiapa saja termasuk seorang peniaga.
Antara yang dipelajari dan dijadikan pedoman hidup sebagai usahawan adalah ilmu perniagaan dalam talian. Ia amat memudahkan seorang usahawan untuk menembusi dunia pasaran dan mendapat perhatian pelanggan.
Justeru, beliau menggunakan kaedah sama mendekati perniagaan dan dalam memasarkan produk dihasilkan supaya perniagaan yang diusahakan lebih produktif, meluas dan berjalan lancar.
Sudah tentu, sebagai usahawan banyak yang ingin dicapai. Bagi beliau, dalam tempoh tiga tahun mendatang, beliau mahu meningkatkan lagi jualan produknya dan memperluaskan lagi pasaran jualan menembusi seluruh negeri.
Harapannya agar produk dihasilkan itu dapat dinikmati lebih ramai pelanggan satu hari nanti.
Jelasnya lagi, tiada istilah mahu berputus asa dalam jatuh bangun seorang usahawan sepertinya malah beliau mahu terus berjuang membangunkan perniagaan yang diusahakan itu.
“Perniagan ini salah satu pendapatan untuk menyara kehidupan. Malah ia juga bukan saja mendatangkan keuntungan kepada peniaga tetapi pada masa sama ia membantu memberi kemudahan untuk pengguna menikmati kebaikan produk yang ditawarkan kepada mereka,” katanya.