Passionate About Cheese sasar tawan pasaran tempatan lima tahun lagi

Syarikat Wonderful Touch Enterprise yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 4 Januari 2010 menghasilkan produk kulit kuih tart yang sesuai dijadikan kuih tart buah mahupun kuih tart keju (cheese tart). Menerusi jenama Passionate About Cheese, syarikat berkenaan sebenarnya sudah mula bertapak dalam arena perniagaan pastry sejak tahun 2007 lagi secara kecil-kecilan.

Dalam satu temubual bersama Entrepreneur Insight baru-baru ini, wakil syarikat berkenaan berkata Passionate About Cheese kini telah menjana pendapatan sehingga RM30,000 sebulan hanya menerusi jualan pastry kulit tart.

“Kami menggunakan jenama Passionate About Cheese sejak mula lagi, memudahkan pelanggan mencari kami di pelbagai platform media sosial kendalian syarikat seperti Facebook, Instagram dan website. Kami membekalkan kulit tart kepada pelbagai premis makanan di sekitar Lembah Klang. Sasaran utama syarikat kami ialah kedai bakeri dan bahan-bahan yang menjual kek.

“Sehingga kini, rangkaian kedai pengedaran kami sudah mencecah 22 buah kedai dan sedang dalam sasaran untuk mengedarkan produk kulit tart ke 30 buah kedai. Melihat kepada sambutan baik yang kami terima serta maklum balas yang amat positif, kami percaya kami akan dapat menawan pasaran di seluruh negara dalam jangka masa lima tahun lagi. 

“Ia merupakan visi dan misi yang kami tetapkan untuk untuk melihat perniagaan ini semakin maju. Kami juga akan berusaha dengan lebih baik untuk mencapai matlamat yang telah kami tetapkan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai keunikan produk keluaran Passionate About Cheese, beliau berkata produk kulit tart syarikat berkenaan dikenali kerana kerangupan pada teksturnya, ketahanan pada hayatnya, rasa yang seimbang dengan resepi-resepi yang di gandingkan bersama.

“Apa yang membuatkan produk kulit tart ini menjadi pilihan adalah kerana ramai pelanggan kami yang berjaya menggandakan jualan mereka hasil daripada jualan kuih tart menggunakan produk kami.

“Ada pelanggan yang berjaya membuat jualan daripada 1000 biji kepada 2000 biji sebulan menggunakan kulit tart kami. Ada yang mencecah 8000 – 10000 biji kulit tart. Ini membuktikan keunikan produk kami telah benar-benar membantu para usahawan dan pelanggan kami untuk  berkembang,” katanya lagi.

Sebagai sebuah syarikat yang bergantung kepada permintaan pelanggan, Wonderful Touch Enterprise juga tidak terkecuali daripada cabaran semasa Covid-19 melanda negara.

“Melalui pandemik yang berlaku ini, kami melalui proses berbeza dengan sebelum pandemik. Justeru apabila pandemik berlaku, ia memberi kesedaran kepada kami bahawa lumrah jualan usahawan akan naik dan juga boleh turun secara tiba-tiba. Tambahan pula, kami melalui fasa inflasi pada ketika ini yang membuatkan kami perlu cepat mencari jalan baru untuk kekal bertahan.

“Oleh itu, kami merancang untuk meningkatkan jenama, jualan dan lebih ramai rakan kongsi perniagaan kami dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Dalam tempoh berkenaan, kami juga menyasar untuk mempunyai rangkaian pengedar di setiap negeri dan kiosk jualan di pusat membeli belah utama di negara ini,” kata wakil syarikat berkenaan lagi.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada tenaga kerja syarikat, beliau tidak akan berputus asa dan akan terus berjuang untuk membangunkan syarikat.

“Kebanyakan usahawa hanya berputus asa buat sementara waktu, itu berlaku kerana pada masa itu emosi dan mental mereka menjadi lemah disebabkan oleh pelbagai kesukaran yang berlaku.

“Bagaimanapun, kami akan terus perjuangkan syarikat ini demi masa depan bukan sahaja anak-anak dan keluarga kami malah juga pekerja dan keluarga mereka. Inilah sebab utama untuk terus berjuang dan bertahan,” katanya.