Ujian ekonomi, kesihatan dan pandemik telah memaksa Luqman Fahmi untuk menjadi lebih berani dalam menceburi bidang perniagaan bagi mencari pendapatan yang lebih stabil untuk keluarganya.
Memandangkan pasaran kini lebih terdedah kepada platform dalam talian, beliau memulakan langkah pertama dengan cuba menjual menerusi platform berkenaan secara kecil-kecilan. Seterusnya, beliau membuat keputusan untuk meneruskan perniagaan dengan lebih serius, dan beliau telah mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Menerusi perniagaan yang diberi nama The Markisa Resources yang memulakan operasi pada bulan April 2021, beliau menjual pelbagai aneka tisu premium berkualiti melalui platform dalam talian seperti Shopee dan Lazada serta membuka gerai jualan di pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya.
“Pada pertengahan April tahun 2021, saya telah diperkenalkan dengan produk pasir kucing organik EcoBed yang mana pada mulanya saya hanya mencuba produk berkenaan untuk kucing saya. Saya kagum dengan kualiti produk berkenaan yang saya sifatkan amat baik dan ia seharusnya diperkenalkan dengan lebih meluas.
“Maka bermula dari saat itu, setelah mengadakan pertemuan dengan pihak EcoBed, mereka bersetuju untuk melantik saya sebagai wakil sah untuk mengedarkan produk EcoBed di seluruh Negeri Sembilan dan seterusnya ke negeri Melaka,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan produk pasir kucing EcoBed adalah 100 peratus organik yang diproses dari kelapa sawit hasil inovasi syarikat bumiputera dan ia lebih selamat bukan sahaja untuk kucing, malah penjaganya juga.
“Penggunaanya juga lebih menjimatkan selain boleh dijadikan baja, dan yang paling penting ia mesra alam.
“Pasir kucingnya juga lebih menyerap dan ia mengurangkan risiko untuk selsema dan batuk kerana tidak berhabuk. Dengan membeli produk EcoBed ini, pelanggan dapat berjimat kerana satu beg sudah memadai untuk tempoh sebulan bagi seekor hingga tiga ekor kucing.
“Selain itu, harga jualannya juga amat berpatutan dengan kualiti yang ditawarkan malah produk ini juga antara yang mempunyai pasaran khusus kerana ia kurang saingan jika dibandingkan dengan produk pasir kucing yang lain,” ujar usahawan muda berusia 34 tahun itu lagi.
Luqman Fahmi yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu juga berkata pandemik yang berlaku telah mengajarnya lebih banyak ilmu bagaimana hendak mengendalikan perniagaan dalam situasi di luar jangkaan.
“Saya beranggapan pandemik Covid-19 sebenarnya membuka lebih banyak peluang untuk usahawan meneroka peluang dalam segmen atas talian. Selain itu, kami perlu sentiasa bersedia dengan lebih daripada satu perancangan untuk operasi syarikat.
“Saya percaya, peluang sentiasa terbentang luas di hadapan, kita hanya perlu mengusahakannya sahaja,” katanya lagi.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, beliau menyasarkan untuk membangun perniagaan yang lebih stabil daripada segi keuntungan dan simpanan syarikat. Beliau juga mahu terus mengembangkan lagi perniagaan dan menambah peluang pekerjaan buat masyarakat di luar sana. Tambahan lagi, Selain dari pasir kucing, Ecobed juga telah menghasilkan beberapa rangkaian produk lain seperti makanan kucing (BosMeow Cat Food), semburan untuk kesihatan kucing (EcoBed Petspray) dan juga penyerap bau busuk (EcoBed Smell Buster).
“Saya akan terus berusaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dengan melakukan perancangan berfasa dan sentiasa mengambil pengajaran daripada setiap kejayaan atau kegagalan yang berlaku.
“Saya juga mahu memantapkan ilmu berkaitan produk dan akan meningkatkan mutu pemasaran supaya produk EcoBed ini menjadi lebih terkenal dalam kalangan pencinta kucing,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau juga telah mendaftarkan logo syarikat dengan pihak MyIPO bagi menjaga nilai dan kelangsungannya untuk jangka masa panjang.
“Perniagaan ini adalah jalan utama dalam memberi nafkah kepada keluarga. Saya perlu melangkah terus ke hadapan dan berusaha sehingga dapat membantu masyarakat luar dengan menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.