Semasa dunia dan negara dilanda wabak Covid-19 dua tahun lalu, ramai orang mula beralih ke platform dalam talian bagi meneruskan operasi perniagaan dan pekerjaan masing-masing. Antara yang paling ketara adalah proses pembelajaran yang dilakukan secara maya termasuklah sesi pengajaran di sekolah-sekolah serta institute pengajian tinggi.
Bagaimanapun, bagi Nurun Academy, pembelajaran secara dalam talian bukanlah sesuatu yang asing dan baru kerana mereka terlebih dulu sudah meneroka platform berkenaan.
Ketua pegawai eksekutif Nurun Academy, Nur Aisyah Samsuddin, 29 tahun berkata pusat pembelajaran itu bermula pada 1 April 2017 secara dalam talian.
“Pada masa itu, kami menerima pendaftaran ramai pelajar yang berada di Selangor seperti di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.
“Memandangkan kami beroperasi di Shah Alam, kami menjalankan sesi pembelajaran secara dalam talian,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.
Bercerita lebih lanjut mengenai perjalanannya dalam bidang keusahawanan, Nur Aisyah berkata Nurun Academy bermula apabila beliau membuat kelas tuisyen percuma di rumah anak yatim di sekitar kediamannya.
“Tujuannya adalah untuk memenuhi masa terluang pada waktu malam dan hujung minggu. Pada masa itu, saya mengajar mata pelajaran Sejarah dan hasilnya, ramai penghuni anak yatim mula menunjukkan peningkatan dalam mata pelajaran berkenaan berbanding mata pelajaran lain.
“Justeru, saya membuat keputusan untuk mengajar mata pelajaran Sejarah dengan lebih mendalam dan menyambung pembelajaran di peringkat sarjana dalam bidang sejarah. Saya berhenti bekerja dan sambung belajar, kemudian saya mencari pengalaman dengan mengajar selama beberapa bulan di sekolah swasta. Saya mengajar mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu di sekolah berkenaan.
“Selepas saya yakin dengan kemahiran dan ilmu yang ada, barulah saya membuka pusat tuisyen sejarah secara dalam talian, bermula dengan hanya 56 orang pelajar. Jumlah itu kian meningkat saban tahun sehinggalah kini Nurun Academy mempunyai sekitar 800 pelajar,” ujarnya usahawan wanita yang dilahirkan di Kelantan itu dengan panjang lebar.
Mengulas mengenai keunikan teknik pembelajaran yang dijalankannya, Nur Aisyah berkata di Nurun Academy, pelajar akan didedahkan dengan teknik menghafal menerusi pendekatan nyanyian, penceritaan kronologi, tiktok (gerakan badan) dan lagu viral.
“Kami juga mempunyai teknik menembak dengan fakta, teknik ‘fullmark’ skor esei Sejarah dan teknik kenalpasti kata kunci di bahagian struktur.
“Apa yang boleh saya kataan, keunikan teknik yang kami gunakan telah membantu ramai pelajar yang sebelum ini gagal menguasai mata pelajaran berkenaan tetapi akhirnya berjaya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Malah, ada pelajar lelaki yang tidak meminati sejarah juga sudah boleh menjawab peperiksaan dengan baik. Ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan perniaagaan ini,” katanya lagi.
Nurun Academy juga terus mendapat kepercayaan daripada pelajar sekolah semasa pandemik melanda negara.
“Ramai orang mula percaya bahawa sesi pembelajaran juga boleh dibuat menerusi atas talian,” katanya lagi.
Nur Aisyah berkata dalam tempoh tiga tahun lagi, beliau ingin membantu lebih ramai pelajar yang gagal mata pelajaran Sejarah dalam SPM.
“Impian saya agar semua pelajar yang ambil mata pelajaran Sejarah dalam SPM wajib belajar dengan kami walaupun dengan hanya sertai seminar sahaja sekiranya mereka tidak mampu untuk membayar yuran tuisyen bulanan atau tahunan.
“Ini kerana saya mahu mereka tahu bahawa mata pelajaran Sejarah adalah sesuatu yang menarik dan senang untuk skor, BUKAN SUBJEK YANG MEMBOSANKAN DAN MENGANTUK!” tegasnya sebelum menutup bicara.