NS Rainbow Cottage tawar chalet berkonsep rumah kecil

Sektor pelancongan adalah antara sektor utama yang menyumbang kepada aktiviti ekonomi domestik di dalam negara ini dan ia juga menjadi antara sektor penting yang harus diperkasakan. Antara negeri yang sering menjadi tumpuan pelancong tempatan mahupun asing termasuklah Pulau Pinang, Melaka dan juga Sabah.

Bagi Nasirrudin Said Alang Ghafar, beliau membuat keputusan untuk menceburi sektor pelancongan pada Mac 2019 dengan menawarkan perkhidmatan penginapan menerusi syarikatnya, NS Rich Seven Trading.

Syarikat berkenaan menawarkan penginapan enam buah chalet di negeri Melaka yang lengkap dengan pelbagai kemudahan. Bercerita lanjut kepada Entreprenuer Insight baru-baru ini, usahawan berusia 48 tahun itu berkata chalet berkenaan diberi nama NS Rainbow Cottage.

“Perjalanan kami amat mencabar kerana pada awalnya pembinaan chalet berkenaan telah terbengkalai kerana kontraktor yang dilantik menghilangkan diri. Tidak lama kemudian, Malaysia dilanda dengan wabak Covid dan dikenakan sekatan pergerakan. Alhamdulillah, pembinaan chalet berjaya disiapkan pada penghujung tahun 2021 dan kami mula beroperasi pada 16 Oktober 2022 selepas sekatan pergerakan tamat,” katanya.

Anak kelahiran Pahang itu berkata chalet yang ditawarkan NS Rainbow Cottage adalah berkonsep ‘Tiny House’ dengan warna-warna yang memukau.

“Keenam-enam chalet berkenaan dibina menghadap kolam renang. Ia amat sesuai untuk dijadikan lokasi hari keluarga atau perjumpaan semua kerana tempatnya berpagar dan menjamin lebih privasi.

“Setiap rumah mpunyai loteng dan boleh memuatkan sehingga empat dewasa dan dua kanak-kanak. Paling penting, lokasinya yang strategik berhampiran Pantai Pengkalan Balak selain turut dilengkapi dengan tempat memasak dan peralatan barbeque,” katanya lagi.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata kemudahan yang ditawarkan di NS Rainbow Cottage nyata memudahkan ibu bapa untuk mengawasi pergerakan anak-anak mereka jika mereka mahu mandi di dalam kolam.

“Selain itu, NS Rainbow Cottage dikelilingi dengan pagar agar penginap merasa lebih selamat,selesa dan selamat. Ia juga dikelilingi pemandangan yang cantik dan ruang yang luas pasti membuat penginap merasa puas hati.

“Penginap juga boleh bersiar-siar di pantai yang boleh diakses dengan berjalan kaki selama lima minit sambil menghirup udara segar.

“Jika penginap malas untuk keluar makan, kami juga menyediakan pakej makanan dengan harga yang berpatutan dan boleh menyewa dapur sekiranya ingin memasak sendiri makanan yang mereka mahukan.

“Lokasi ini amat sesuai untuk keluarga dengan kapasiti maksimum 24 dewasa dan 12 kanak-kanak. Kami akan meningkatkan jumlah kapasiti pada tahun 2023 selepas siap pembinaan dua lagi unit chalet yang dilengkapi dengan kolam renang di dalamnya,” jelasnya panjang lebar.

Memandangkan operasi chalet hanya boleh bermula selepas sekatan pergerakan ditamatkan, Nasirrudin berkata banyak perkara yang telah dipelajari daripada dugaan yang berlaku.

“Antaranya yang paling penting adalah pelan sokongan, tidak kiralah sama ada daripada segi simpanan mahupun pelan kecemasan untuk menghadapi perkara di luar jangkaan. Selain itu, kita juga perlu kekal sabar dan tenang dalam mencari jalan keluar.

“Kami berharap dalam tempoh tiga tahun lagi, kami berjaya mempelbagaikan produk pelancongan seperti menyediakan sewaan kenderaan dan produk lain yang berkaitan. Kami juga berharap dapat tersenarai di dalam kawasan mesti dilawat di direktori negeri Melaka.

“Buat masa sekarang, kami sedang membina dua lagi unit yang kami namakan NS Private Pool Cottage,” katanya.

Beliau berkata sokongan kuat keluarga, terutama isterinya telah menjadikan beliau terus cekal dalam menempuhi ranjau yang ada.

“Kami mahu memastikan kehidupan yang lebih baik untuk anak, selain berharap dapat membantu membangunkan masyarakat di kawasan sekitar dengan berkongsi rezeki yang ada,” katanya lagi.