Ditubuhkan pada 24 September 2001, syarikat Andaman Noryati Jani menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti jahitan, andaman, fotografi dan pelbagai lagi. Minat yang tinggi dalam jahitan telah membuka hati pengasasnya, Noryati Jani untuk mengusahkan syarikat andaman di samping membuka kelas jahitan dengan tawaran harga yang sangat berbaloi dan berpatutan.
Syarikat ini terletak di Bandar Jasin Melaka dan telah berkoloborasi dengan pelbagai kementerian seperti Jabatan Belia dan Sukan dan Kolej Komuniti dalam menganjurkan pelbagai aktiviti seperti bengkel keusahawanan dan sebagainya.
Berhasrat untuk lahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang jahitan, Noryati Jani membuka kelas jahitan secara persendirian atau berkumpulan dimana pelajar yang hadir akan dilatih mengikut kemampuan mereka.
Di samping itu, wanita berusia 50 yang berasal dari Jasin, Melaka itu berkata pelajar yang tidak mempunyai asas dalam bidang jahitan juga akan diasah kemahiram mereka sehingga mencapai tahap dan standard yang dikehendaki.
Bercerita mengenai operasi syarikat berkenaan kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, Noryati berkata syarikatnya turut menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti tempahan pakaian pengantin dan pertunangan, jahitan langsir, menjahit sulam, sewa baju pengantin dan bertunang dan pelbagai lagi.
“Memandangkan keadaan ekonomi yang seringkali berada di ambang inflasi, kami mahu membantu memudahkan urusan bakal raja sehari dengan menawarkan pakej andaman dengan harga serendah RM1500 sahaja,” katanya.
Memandangkan kurang pembabitan belia dalam bidang jahitan pada zaman kini , Noryati Jani berhasrat untuk memupuk minat tersebut dalam kalangan masyarakat tidak kira peringkat umur.
“Ramai golongan muda zaman sekarang lebih berminat membeli pakaian secara atas talian seperti di platform Shopee, Lazadan dan sebagainya. Ini telah mengakibatkan semakin sikit golongan muda yang terlibat dalam bidang jahitan.
“Saya yakin, bakat dan kemahiran boleh diasah sekiranya pelajar yang hadir menanam azam yang tinggi tanpa mengenal erti lelah. Jika niat mereka untuk menjadi usahawan, maka syarikat akan melatih mereka sehingga mampu tampil sebagai seorang usahawan yang berjaya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata memandangkan negara telah berhadapan dengan pandemik yang amat dasyat, ia juga telah memberi tamparan hebat kepadanya kerana pergerakan terbatas dan tiada majlis perkahwinan yang dibenarkan pada waktu itu.
“Namun , ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha dan tidak berputus asa biarpun pelbagai halangan dan cabaran yang dihadapi ketika itu memandangkan punca pendapatannya terjejas teruk.
“Pandemik ini telah mengajar kami agar tidak terlalu lalai dalam pengurusan syarikat kerana pelbagai kebarangkalian boleh berlaku diluar jangkaan.
Tambahnya lagi, dalam tempoh tiga tahun akan datang, beliau berhasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan mahu mengembangkan syarikat perniagaannya agar lebih dikenali.
“Saya berharap syarikat andaman saya ini akan terus berusaha melatih pelajar yang mengambil bahagian dalam kelas jahitan ini agar mereka mampu mencapai satu tahap yang memberi manfaat kepada mereka.
“Bagi saya, antara sebab yang yang menjadi pemacu utama agar saya meneruskan usaha membangunkan syarikat adalah untuk membantu masyarakat agar tidak terlalu gusar dalam menguruskan majlis perlahwinan.
“Di samping itu, saya juga ingin membantu anak muda pada masa ini agar memanfaatkan waktu mereka dengan menyertai kelas jahitan agar ianya menjadi titik tolak untuk mereka untuk terus berjaya pada masa hadapan,” ujarnya lagi sebelum menutup bicara.