Mooi Mooi Empire ceburi pelbagai cabang perniagaan

Ditubuhkan pada Ogos 2019, syarikat Mooi Mooi Empire milik Nursaliza Zakaria terbabit dalam beberapa cabang perniagaan yang berbeza iaitu Pendidikan, cucian pakaian dan juga pelancongan.

Nursaliza yang mempunyai pengalaman kerja dalam pelbagai bidang adalah anak jati Chukai, Terengganu.

Bercerita kepada Entrepreneur Insight mengenai perjalanannya dalam bidang keusahawanan, ahli perniagaan berusia 46 tahun itu berkata beliau sebelum ini pernah bekerja sebagai pengurus spa di beberapa spa terkenal seperti Thai Odyssey, Royal Thai dan pengurus spa di hotel Seri Pacific KL.

“Pekerjaan terakhir saya sebelum menceburkan diri sepenuh masa dalam bidang perniagaan adalah sebagai tenaga pengajar di kolej dan spa kecantikan Cony Kimora di Puchong.

“Selepas membuka syarikat Mooi Mooi Empire, saya  mengambil kursus TRAIN THE TRAINER anjuran Kementerian Pembangunan Sumber Manusia Malaysia dan bermula sebagai konsultan untuk Sijil Kemahiran Malaysia di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, dunia dilanda pandemik pada Disember 2019, dan Mooi Mooi Empire berjaya memulakan konsultansi pendidikan secara digital sebagi satu langkah untuk mengadaptasi situasi pandemik.

“Pada 2021 Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menganjurkan program ‘Be Your Own Boss’ sebagai satu daripada inisiatif untuk membantu golongan usahawan yang mana 90 peratus pembayaran untuk memulakan perniagaan francais diberi kepada peserta yang terpilih,” katanya.

Nursaliza berkata rezeki berpihak kepada Mooi Mooi Empire apabila terpilih sebagai peserta program berkenaan secara sepenuh masa dan ia berlangsung secara dalam talian selama sebulan.

Hasil daripada kursus berkenaan, Nursaliza berkata pihaknya akan membuka sebuah dobi francais ‘Cleanpro’ di Kuantan pada bulan Oktober ini.

“Keputusan untuk membuka dobi francais itu dibuat selepas setahun saya membuat kajian pasaran,  membuat rancangan perniagaan, ‘footfall’ lokasi, carian lokasi seluruh semenanjung Malaysia dan penyata untung rugi syarikat.

“Selain itu, selepas fasa peralihan ke endemik bermula, saya juga akan membuat pakej pelancongan yang murah dan menarik di Cherating Pahang yang sememangnya sudah terkenal di seluruh dunia kerana keindahan pantainya dan juga menjadi satu daripada lokasi pusat peranginan terkemuka, ClubMed,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pakej pelancongan domestik yang murah dan menarik sentiasa mendapat permintaan yang tinggi terutamanya selepas berhadapan dengan pandemik dua tahun.

“Pelancongan adalah sangat diperlukan dan permintaan sekarang adalah tinggi yang mana orang ramai sudah mula merancang percutian sejak sekian lama. Situasi yang sering berlaku pada masa ini adalah tempahan bilik secara dalam talian kerap berhadapan dengan masalah sehingga memaksa wang tempahan dikembalikan.

“Apa yang boleh saya katakan, penyelesaian kepada masalah ini adalah dengan mengambil pakej pelancongan,” katanya.

Beliau juga yakin dapat mengemudi perniagaan berasaskan pelancongan itu dengan baik kerana beliau sudah biasa dengan pelancongan di sana.

“Ini kerana kampung saya di Chukai Kemaman hanya terletak lima minit dari Cherating dan saya juga punya ramai kenalan di sana.

“Saya pernah bekerja di Cherating The Legend Resort dan Impiana Resort sebagai pegawai kaunter hadapan dan juga Sanctuary Resort sebagai pegawai jualan pakej pelancongan,” jelasnya lagi.

Ditanya mengenai apa yang telah dipelajari daripada wabak pandemik yang berlaku, Nursaliza berkata beliau mula meneroka segmen digital untuk program konsultasi kendaliannya.

“Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya menyasar untuk membuka satu lagi perniagaan baru selain pelancongan, konsultansi pendidikan dan konsultansi permulaan perniagaan francais.

“Saya juga mahu mendigitalisasi semua perniagaan termasuk pemantauan dobi menggunakan sistem litar kamera tertutup (CCTV) dan serta menyediakan laporan jualan secara email bagi membolehkan operasi perniagaan berjalan lancar di mana-mana saja,” katanya.