MJ Muhazar tawar perkhidmatan penterjemahan

Bahasa adalah satu aspek yang kompleks tetapi amat penting dalam kehidupan seharian, sama ada dalam aspek kerjaya atau juga peribadi. Ramai yang boleh menguasai lebih daripada satu bahasa tetapi ramai juga yang tidak mampu bertutur atau berkomunikasi dengan standard yang baik apabila menggunakan dua bahasa utama di negara ini iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Tidak ramai yang mengetahui bahawa dengan menguasai kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik, mereka sebenarnya mampu menjana pendapatan daripada penggunaan bahasa berkenaan.

Bagi Murni Jamaludin, beliau memanfaatkan kelebihan menguasai bahasa-bahasa berkenaan dengan menjadi penterjemah solo menerusi syarikat khidmat terjemahan yang ditubuhkannya iaitu MJ Muhazar Entreprise.

Beliau bermula dengan mengambil kursus penterjemahan intensif selama dua minggu pada bulan September 2013 di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Wangsa Maju.

“Kursus tersebut adalah di bawah anjuran program HEARTS untuk para surirumah bagi membantu golongan surirumah yang berkelulusan (minimum diploma) untuk belajar kemahiran yang boleh digunakan bagi menjana pendapatan sendiri dari rumah. Pada mulanya, saya mengambil kursus ni untuk mengambil peluang mempelajari ilmu baharu setelah saya berhenti kerja dari syarikat swasta untuk fokus pada rumah tangga,” ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai perkhidmatannya, wanita berusia 34 tahun itu berkata khidmat terjemahan merupakan antara perkhidmatan yang penting bagi seseorang yang bukan penduduk asal atau penutur bahasa asal bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam menterjemahkan sesuatu dokumen.

“Ia termasuklah sari kata drama atau filem dan memudahkan urusan penting pelanggan saya dalam bahasa tersebut seperti menterjemah sijil, pasport, buku kesihatan, risalah, dokumen IT dan lain-lain.

“Malah, dengan harga yang berpatutan, terjemahan memberikan khidmat bantuan yang penting untuk para pelanggan lebih memahami dokumen dalam bahasa yang mereka fahami, sekaligus maklumat yang tepat dan betul dapat disampaikan.

“Apa yang ditawarkan oleh syarikat saya adalah perkhidmatan penterjemahan yang fokus kepada bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, sekaligus memberikan terjemahan yang tepat.

“Selain itu, saya juga dapat membuat kajian yang terperinci, mendalam dan memberikan terjemahan yang betul kerana hanya perlu memfokuskan pada dua bahasa ini sahaja,” katanya.

Murni berkata pandemik yang berlaku telah mengajarnya bahawa bukan semua perkara yang kononnya kita rasa kita ‘miliki’ akan kekal selama-lamanya.

“Contohnya, kebebasan hidup, nikmat kesihatan, rezeki kita dan lain-lain boleh hilang atau ditarik pada bila-bila masa sahaja. Namun, alhamdulillah, setakat ni saya amat bersyukur kerana masih dapat bertahan dengan kerja sebagai penterjemah sejak tahun 2013 hingga kini.

“Pandemik juga mengajar saya bahawa, walau apapun terjadi, saya dan kita semua tetap perlu berusaha sedaya upaya untuk mencari rezeki kerana saya bukan hidup seorang diri. Malah, saya juga perlu menyara anak dan keluarga sedikit sebanyak.

“Oleh itu, walau apa pun yang terjadi, pandemik atau bukan pandemik, kerja tetap kerja. Hidup tetap perlu diteruskan,” tegasnya lagi.

Beliau turut menambah bahawa skop kerjanya tidak hanya terhad kepada aspek penterjemahan sahaja.

“Saya juga menyediakan perkhidmatan seperti semakan, ‘proofreading’, ‘revision’, transkrip dan juga terjemahan sari kata dengan harga yang berpatutan.

“Di waktu pandemik itu juga, ia mengajar semua orang untuk rajin belajar banyak kemahiran dan cuba mempelbagaikan sumber pendapatan dan kerja sampingan lain serta tidak terlalu bergantung pada satu sumber pendapatan sahaja.

“Justeru, dalam tempoh tiga tahun lagi, saya mahu meningkatkan kestabilan kewangan saya, menggembirakan anak dan keluarga saya serta memberikan perkhidmatan terjemahan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu yang terbaik kepada lebih ramai orang di seluruh dunia,” katanya.