Lambakan usahawan yang mempolopori dunia perniagaan berasaskan makanan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada usahawan yang memilih asas perniagaan sama.
Justeru, setiap usahawan perlulah mempunyai kelebihan dan keunikan dalam cara mempersembahkan produk kepada pelanggan bagi meraih perhatian pelanggan mereka.
Semestinya, produk yang memiliki rasa enak, unik, bersih dan kualiti antara yang kehadapan mendapat sambutan dan sokongan pelanggan.
Ini antara misi dan usaha yang dilakukan oleh seorang usahawan wanita, Norzira Ismail, yang menjadi antara usahawan muda yang tampil menawarkan produk makanan hasil sentuhannya untuk dinikmati pelanggan bersama pasukannya yang terdiri daripada suri rumah dan usahawan kecil yang sama sama mempunyai semangat kental menjana pendapatan diri serta meningkatkan ekonomi keluarga.
Beliau yang berasal daripada Kuala Lipis, Pahang, ini menjalankan perniagaan makanan dari rumah berkonsepkan “open order” dan mengedar produk makanan ke gerai-gerai sekitar yang kini mendapat perhatian ramai warga tempatan sekitar.
Kongsi beliau, idea itu tercetus dan bermula atas keinginan untuk sama- sama membantu suri rumah dan usahawan kecil untuk menjual produk keluaran mereka.
Malah, sudah menjadi hasratnya untuk membangunkan perniagan bersama golongan itu yang dilihat sebenarnya memiliki keupayaan serta kepandaian dalam bidang seperti masakan ini.
Kata beliau yang berusia 35 tahun ini, setiap produk pastinya memiliki keunikan tersendiri bagi memikat selera pengguna.
Oleh itu, beliau wajib memastikan makanan yang dijual mereka memiliki sifat sedap,berkualiti dan yang pasti menawarkan harga sangat berpatutan kepada pelanggan supaya semua orang mempunyai peluang merasai keenakan masakan mereka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara strategi digunakan untuk mengembangkan perniagaan untuk meraih perhatian pelanggan adalah berterusan memperkenalkan produk dan mencari lokasi strategik kepada pelanggan supaya produk mereka dapat berkembang dengan lebih meluas lagi.
“Memperkenalkan produk dan lokasi kami kepada pelanggan secara lebih meluas antara yang saya lakukan dalam usaha untuk produk kami dikenali umum.
“Dalam melalui zaman pandemic Covid-19 yang amat mencabar sejak dua tahun lalu, saya tidak pernah berputus asa dan bersifat lemah sebagai usahawan.
“Walaupun diakui, pandemik yang hadir amat mencabar terutama usahawan seperti saya, namun ia bukan penghalang untuk saya terus berjaya.
“Saya sentiasa berusaha untuk terus bangkit bagi memastikan perniagaan terus aktif dalam apa jua keadaan. Ini prinsip yang saya amalkan sebagai peniaga,” katanya kepada entrepreneur Insight, baru-baru ini.
Sama seperti usahawan lain untuk memajukan bidang diceburi, beliau berkata, antara hasrat dan impiannya adalah ingin memastikan kafe yang dibangunkan menjadi pilihan untuk pelanggan menikmati makanan yang sedap dengan harga berpatutan.
Antara usaha dijalankan adalah mengadakan promosi iklan dan menjaga kualiti makanan secara konsisten supaya produknya terus diingati dan mendapat tempat di hati pelanggan.
Katanya, perjuangan dalam bidang ini masih belum selesai dan beliau amat berharap dapat mencapai hasrat murninya untuk membantu suri rumah dan usahawan kecil lain untuk sam sama bangkit tanpa menyerah kalah kepada keadaan.
“Saya amat berharap dapat membantu seberapa ramai suri rumah dan usahawan kecil lain yang mahu bersama sama saya dalam membangunkan perniagaan ini sehingga menjadi empayar perniagaan yang kukuh,” katanya.
Hasrat murni wanita ini diharapkan menjadi inspirasi kepada ramai wanita lain untuk berfikiran kreatif dalam pemasaran produk dan menyerlahkan bakat yang ada dalam diri yang dilihat berpotensi menjana pendapatan diri dan seisi keluarga.