Madrid Engineering tawar perkhidmatan gas

Bekerja secara makan gaji menjadi pilihan hampir semua orang kerana ia disifatkan lebih stabil dan beban menguruskan operasi tidak terletak sepenuhnya di bahu pekerja. Ini kerana pekerja tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan bagi pihak pemilik perniagaan.

Bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai impian yang besar, kebiasaannya mereka mahu memanfaatkan pengalaman yang ditimba semasa makan gaji sebagai pendorong untuk memulakan perniagaan sendiri.

Begitu juga kisah Mohd Ridhuan Sulaiman yang kini mengetuai operasi syarikat Madrid Engineering Sdn Bhd. Syarikat berkenaan ditubuhkan pada bulan Jun 2014 dan ia mempunyai lesen kontraktor yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Selangor (JKKP), Suruhanjaya Tenaga, Gas Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Kementerian Kewangan Malaysia.

Bercerita mengenai perjalanannya sebagai seorang usahawan, Mohd Ridhuan berkata sebelum menubuhkan syarikat berkenaan, beliau terlebih dulu makan gaji dan sudah mempunyai pengalaman selama 14 tahun bekerja dengan syarikat kontraktor gas.

“Dengan pengalaman yang ada, saya memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan dan menubuhkan Madrid Engineering. Selepas hampir 10 tahun beroperasi, syarikat saya kini memiliki pekerja mahir yang mempunyai pengalaman dalam bidang pemasangan paip gas melebihi 15 tahun.

“Dengan pengalaman yang kami ada, saya mahu menghebahkan lagi perkhidmatan syarikat saya kepada masyarakat di luar sana dan mahu terus mempromosikan Madrid Engineering. Selain itu, saya juga akan memperkenalkan syarikat saya kepada lebih ramai pelanggan yang memerlukan perkhidmatan berkaitan pemasangan gas,” kata usahawan berusia 43 tahun itu lagi kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Dunia perniagaan tidaklah seindah yang disangka kerana terdapat banyak cabaran yang boleh melanda. Mohd Ridhuan juga tidak terkecuali daripada ujian pandemik Covid-19 yang berlaku tiga tahun lalu.

Berkongsi kesukaran yang dihadapi, anak kelahiran Selangor itu berkata semasa musim pandemik, syarikatnya tidak mendapat banyak projek memandangkan terdapat pelbagai sekatan pergerakan yang dikenakan kerajaan pada masa itu.

“Bagaimanapun, saya yakin bahawa perkhidmatan gas tetap menjadi satu keperluan walau apa jua keadaan. Justeru, saya mula merangka perancangan yang mahu saya capai untuk syarikat dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Saya menyasar untuk meluaskan skop kerja seperti menjadi syarikat pembekal gas dan menjadi vendor kepada syarikat besar sebagai gas kontraktor dan pembekal alatan gas. Dengan meluaskan skop kerja berkenaan, ia akan membuka lebih banyak potensi projek baharu yang boleh diterokai.

“Walaupun sukar, saya tidak akan sesekali berputus asa dan akan terus berjuang untuk membangunkan perniagaan saya,” katanya lagi.

Mohd Ridhuan mengakui pada masa ini syarikatnya memerlukan dana kewangan yang agak besar untuk mengembangkan lagi perniagaan.

“Itu adalah antara cabaran utama yang saya perlu hadapi dan saya akan terus berusaha untuk menstabilkan kewangan syarikat. Selain itu, saya juga merancang untuk membantu lebih ramai golongan yang ingin mendapatkan bekalan gas. Mereka termasuklah pemilik hotel, pengusaha kilang, pemilik rumah, pemilik pusat dobi, pengusaha pusat membeli belah, pemilik restoran, hospital, bangunan kerajaan dan sesiapa saja yang ingin mendapatkan bekalan gas untuk dapur memasak atau pengeluaran di kilang,” ujarnya lagi.

Beliau berkata antara pendorong utama yang akan terus membuatkannya menempuh cabaran yang getir dalam dunia perniagaan ini adalah kerana mahu mencapai niatnya untuk membantu keluarga.

“Kejayaan syarikat Madrid Engineering pastinya akan membantu saya mengukuhkan lagi kewangan dan ekonomi keluarga saya dari semasa ke semasa,” katanya lagi.