Terdapat pelbagai lambakan produk biskut yang boleh kita dapati di pasaran sama ada yang dikategorikan sebagai premium atau yang harganya lebih mampu dibeli. Permintaan untuk biskut, terutamanya biskut raya menjadi semakin tinggi menjelang musim perayaan kerana raya pastinya tidak lengkap dan meriah jika tiada biskut raya yang hendak dihidangkan kepada tetamu.
Jika dahulu, ramai orang memilih untuk menempah daripada pembuat kuih raya kerana rasanya yang lebih sedap dan dibuat dalam kuantiti yang kecil. Seiring dengan perubahan zaman dan kecanggihan teknologi, produk biskut kini dihasilkan di kilang kerana permintaan yang semakin tinggi.
Bagi pengeluar biskut jenama OneCookies, KHM Foodies Sdn Bhd yang diterajui oleh Khairul Hakimin Muhammad, beliau memilih untuk mengetengahkan produk biskut dan pelbagai makanan tradisi lain keluarannya dengan mengekalkan rasa ‘homemade’.
“Itulah keunikan produk kami. Selalunya, biskut sinonim sebagai makanan kudapan semasa musim perayaan. Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari bahawa biskut juga menerima permintaan yang tinggi di luar musim perayaan.
“Terdapat pelbagai jenis biskut yang ada di pasaran dan ia sentiasa mendapat permintaan sepanjang tahun. Dengan kekuatan rasa dan resipi turun temurun yang dikekalkan, kami percaya biskut keluaran kami bakal mendapat tempat di hati pelanggan sepanjang tahun,” ujar usahawan berusia 41 tahun itu.
Bercerita mengenai latar belakangnya dalam dunia perniagaan, Khairul berkata semuanya bermula sebagai perniagaan keluarga yang diusahakan di rumah.
Anak kelahiran Mentakab, Pahang itu kemudiannya mula mengembangkan perniagaan dengan membuka kilang yang beroperasi di Bandar Baru Bangi pada September 2020.
Antara produk keluaran KHM Foodies Sdn Bhd adalah Biskut Peanut Butter, Biskut American Chocolate, Biskut Chocolate Chunky dan sebagainya.
KHM Foodies Sdn Bhd ditubuhkan semasa negara dan dunia sedang bergelut dengan wabak Covid-19. Situasi ini sudah pastinya sukar untuk mana-mana usahawan, apatah lagi yang baru hendak merangkak dalam dunia perniagaan.
Menurut Khairul Hakimin, memandangkan jualan secara bersemuka tidak dibenarkan, beliau memanfaatkan platrom dalam talian semaksima yang mungkin.
“Kami menggunakan kelebihan yang ada pada platform media sosial untuk mencipta ‘engagement’ yang lebih tinggi dengan pelanggan kami. Apabila keadaan semakin pulih, kami turut memfokuskan kepada jualan secara fizikal,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dalam tempoh tiga tahun akan datang, beliau mahu melihat lebih banyak produk OneCookies berjaya menembusi pasaran pasaraya besar di negara ini serta di kedai runcit, di gerai tepi jalan dan pelbagai lagi platform yang ada.
“Pada masa ini, kami mempunyai keahlian seramai 20,000 dan kami menyasar untuk menggandakannya kepada 10 hingga 20 kali ganda lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang.
“Selain itu, sudah pasti kami mahu memberi tumpuan untuk mengetengahkan jenama biskut OneCookies ke peringkat yang lebih tinggi dan mahu ia menjadi jenama sebutan ramai serta dikenali oleh ramai pengguna khasnya peminat produk biskut di luar sana,” katanya.
Bercerita lebih lanjut, Khairul Hakimin berkata jatuh bangun dalam dunia perniagaan itu adalah satu lumrah yang perlu dihadapi oleh setiap usahawan.
“Saya sendiri juga pernah diuji, jatuh ke tahap sampai saya rasa sudah tidak boleh bangun lagi. Bagaimanapun, darah usahawan yang ada dalam diri ini membuatkan saya tidak mengalah dan tidak akan sesekali mengalah.
“Saya bangkit mencari jalan dan solusi untuk meneruskan operasi perniagaan saya. Paling penting, saya ingatkan diri saya bahawa berniaga itu adalah satu sunnah. Berniaga juga memberi saya peluang untuk mengecapi kebahagiaan.
“Seronok rasanya bila kita dapat berkongsi rezeki dengan keluarga, kakitangan, ejen dan membantu memberi peluang perniagaan kepada masyarkat di luar sana,” katanya menutup bicara.