Infaq anda bantu lahirkan para daie di pedalaman Sabah – Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Semalaysia

Aktiviti penyebaran dakwah adalah satu aktiviti yang amat dituntut dalam agama Islam kerana ia membantu mengembangkan lagi syiar agama suci itu. Ia adalah aktiviti yang terpuji dan dijanjikan ganjaran yang begitu tinggi bagi mereka yang sanggup mengorbankan kehidupan mereka untuk kerja-kerja dakwah.

Di Malaysia, aktiviti dakwah tertumpu di beberapa lokasi antaranya di kawasan pedalaman Sabah yang mana ia agak sukar untuk diakses berikutan bentuk muka bumi yang mencabar dan infrastruktur yang tidak lengkap.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang para pendakwah untuk menembusi kawasan berkenaan kerana sesungguhnya di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.

Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Semalaysia (PKDMRS) adalah antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif bergerak di kawasan pedalaman Sabah bagi menyampaikan dakwah.

Pengerusinya Haji Nicholas Sylvester berkata setiap hari para daie KDMRS Muslim turun ke lapangan untuk bertemu dan berjumpa dengan masyarakat pelbagai kaum bagi menyampaikan keindahan Islam, memperbetulkan salah faham mereka tentang Islam serta menguatkan lagi keyakinan para mualaf terhadap Islam.

“Usaha ‘outreach’ ini memberikan pengisian identiti dan jati diri Islam yang baru memeluk Islam dan mengukuhkan akidah saudara baru bagi memberikan nafas segar kepada usaha outreach pedalaman Negeri Sabah. Selain itu, ia juga membantu melahirkan para daie untuk memperlihatkan keindahan Islam di pedalaman Sabah.

“Ternyata, bukan mudah untuk seseorang pendakwah itu menyebarkan keindahan agama Islam kerana ia memerlukan perjuangan dan pengorbanan yang jitu,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata program ‘outreach’ ini bagai air yang menyusuri batu.

“Walaupun air tidak dapat menembusi batu yang keras, ia akan tetap mengalir di celahan batu tersebut. Mungkin dari atas, bawah, kiri dan kanan. Hakikatnya kita pun begitu, walau sebesar manapun halangan, akan terus sentiasa mengalir sebagaimana sifat air.

“Program ‘outreach’ adalah tugas asasi bagi setiap umat Islam untuk menyeru, mengajak, menyampaikan dan memperkenalkan kepada manusia mengenai ajaran agama Islam. Ia juga boleh didefinisikan sebagai gerakan berterusan mengajak manusia ke jalan Allah SWT supaya mereka mendapat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat,” tambahnya lagi.

Beliau berkata antara cabaran yang dihadapi oleh para daie KDMRS Muslim termasuklah pegangan adat yang terlalu kuat melebihi pegangan agama, campuran agama dalam sesebuah keluarga khususnya yang berada di pedalaman, kemiskinan yang menjadi punca kepada mualaf yang kembali kepada agama asal, penceraian yang disebabkan salah faham dalam beragama serta kegagalam memahami agama Islam sehingga tidak melihat ia sebagai jalan untuk menyelesaikan masalah.

“Itu adalah antara cebisan pengalaman yang terpaksa ditempuh. Terdapat banyak lagi cabaran-cabaran yang di hadapi oleh para daie apabila berada di lapangan pedalaman. Oleh itu, untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran serta kebolehan para daie KDMRS Muslim apabila berada di lapangan, maka kursus dan latihan diberikan,” katanya.

Nicholas berkata antara kursus dan latihan yang diberikan merangkumi kemahiran berkomunikasi, dakwah masyaarakat majmuk, kemahiran menjawab dengan Al-Quran dan pengucapan awam.

“Kami tidak mampu untuk bergerak sendirian, Kami memerlukan sokongan masyarakat di luar sana untuk menyokong segala gerak kerja kebajikan dan program ‘outreach’ kami.

“Kami juga membuka ruang dan peluang kepada tuan puan untuk menyumbang bagi Pembangunan Daie KDMRS Muslim.

“Bagi para dermawan yang ingin menyumbang untuk Pembangunan Daie KDMRS Muslim boleh salurkan ke akaun Bank Islam Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Semalaysia iaitu 1005 2010117095,” katanya.