Hot Mommy Signature perkenal pes sambal dan mee kari

Berbekalkan pengetahuan yang diperoleh menerusi kursus perniagaan restoran dan katering serta pengalaman berniaga warung dan mendapat kontrak kantin sekolah selama 15 tahun, Noormi Suid memberanikan diri untuk membuka sebuah kafe pada tahun 2020.

Diberi nama Hot Mommy Signature, kafe berkenaan beroperasi di Bertam Walk, Bertam di Kepala Batas Pulau Pinang. Lokasi itu dipilih memandangkan lokasinya yang strategik serta mudah dilihat dan mudah diakses dari jalan raya utama, Lebuhraya Utara Selatan.

Selain itu, persekitarannya juga amat sesuai kerana ia terletak di tengah-tengah Bandar Kepala Batas dengan dikelilingi oleh taman taman perumahan, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta serta hospital.

Bercerita lebih lanjut, usahawan berusia 46 tahun itu berkata dengan tahap persaingan yang sederhana daripada lapan buah restoran sedia ada di sekitar pusat perniagaan tersebut, beliau yakin dapat bersaing dengan mereka dengan menguasai lebih kurang lima hingga sepuluh peratus daripada saiz pasaran dengan kekuatan pada keenakan masakan ala carte barat dan Asian, kualiti perkhidmatan dan harga yang berpatutan.

“Berdasarkan aliran pasaran masa kini, pemerhatian saya mendapati bahawa permintaan terhadap restoran dan katering tetap meningkat terutamanya kepada golongan muda yang sibuk dan juga permintaan terhadap masakan ala carte dan barat berkonsep moden yang tetap menjadi pilihan masyarakat bandar.

“Pemerhatian saya juga mendapati bahawa senario masa hadapan perniagaan restoran dan katering adalah cerah dan ia tetap kekal relevan dalam apa jua suasana ekonomi kerana masyarakat tetap mempunyai peruntukan untuk makanan dan minuman,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Beliau berkata dalam situasi ekonomi yang meleset, restoran dan katering yang menawarkan harga yang berpatutan dengan masakan yang enak dan menu yang lain dari yang lain akan menjadi pilihan ramai selain perkhidmatan yang cekap dan berkualiti.

“Prinsip kami menjalankan operasi perniagaan dengan cara yang betul,” ujarnya lagi.

Setelah dua tahun berkecimpung dalam industri kafe, Noormi mula mengorak langkah kearah menyediakan pes pes masakan menu menu kafe.

“Produk pes yang kami perkenalkan ialah Pes Shambal dan Pes Mee Kari. Apa yang unik mengenai produk ini adalah ia diperbuat berdasarkan citarasa pelanggan kafe. Malah, bahan bahan yang digunakan dan kaedah kaedah pembuatan adalah berasaskan kepada maklumbalas pelanggan sepanjang dua tahun operasi kafe.

“Pes-pes mula dikeluarkan setelah kami dapat satu titik formula terbaik dari segi kualiti dan rasa berdasarkan maklum balas demi maklum balas daripada pelanggan kami. Daripada aspek kemudahan, penggunaan pes-pes adalah mudah disimpan dan digunakan oleh semua lapisan pengguna,” katanya lagi.

Bercerita mengenai pengajaran yang diperoleh daripada pandemik yang berlaku, beliau berkata amat penting untuk seseorang usahawan itu mencari strategi terbaik untuk meminimumkan kos operasi.

“Kami melakukan penjimatan daripada aspek kos penghawa dingin dan lampu selain Menyusun waktu kerja pekerja yang bersesuaian dengan produktiviti dan waktu operasi semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selain itu, kami juga berbincang dengan pemilik premis dan berjaya mendapatkan pengurangan sewa sebanyak 30 peratus selama tiga bulan.

“Kami juga konsisten dalam penyediaan bahan makanan dan minuman pada kadar pengiraan yang tepat dan memaksimumkan penggunaan bahan mentah dan mengurangkan lebihan,” katanya lagi.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, beliau menyasar untuk membuka sekurang-kurangnya lima cawangan kafe Hot Mommy Signature dan semua menu menu kafe Hot Mommy disediakan daripada pes-pes yang berkualiti tinggi.

“Selain itu, saya mahu meraih jualan 30,000 unit pes setiap bulan dengan merekrut 100 agen-agen pes Hot Mommy.

“Saya akan terus berusaha untuk mengembangkan perniagaan saya dan tidak akan sesekali berputus asa. Pengetahuan dan pengalaman adalah aset penting dalam perniagaan. Kami sentiasa berpegang kepada prinsip lakukan perkara yang betul, biasakan yang betul, betulkan yang biasa,” katanya lagi.