HMZ Trading & Enterprise mahu capai sasaran buka kilang

Syarikat HMZ Trading & Enterprise (HMZ) merupakan sebuah syarikat milikan perkongsian yang telah ditubuhkan semasa wabak Covid-19 melanda negara iaitu pada 27 Ogos 2020 lalu.

Syarikat ini dimiliki oleh Haji Harun bin Mansoor dan Hajah Naziran binti Najmuddin . HMZ ini ditubuhkan untuk menawar dan menyediakan perkhidmatan pembekalan dan pengedaran barang-barang runcit seperti bahan-bahan semua jenis sabun pencuci berunsur cecair seperti  sabun dobi, pinggan mangkuk, lantai, tandas, syampu badan dan keretadengan Jenama GLANSY.

Usahawan, Naziran Najmuddin, berkata antara enam warna yang paling tertinggi permintaan dan pilihan pelanggan adalah Diamond Gold, Royal Blue, Pink Blossom, Green Apple, White Lily dan Lavender.

Manakala GLANSY Antibac Body Shampoo yang mempunyai tiga jenis saiz juga antara yang mendapat perhatian selain pencuci tangan dan pencuci pinggan menerusi bauan hebat seperti Dettol, Serai Wangi dan Lavendar.

“HMZ juga telah berjaya dipilih sebagai salah seorang penerima Dana IP 2.0 bagi pemfailan permohonan Cap Dagangan tahun 2022 oleh pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk jenama GLANSY yang diterima pada 13 Disember 2022.

“Uniknya ialah dengan penjagaan yang amat teliti dari segi kualiti produk yang dikeluarkan terutama kepekatan produk menjadikan produk kami dapat menyelesaikan pembasuhan atau penyucian menjadi lebih berkesan,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, keunikan produk ini kerana ia  dapat memberikan kelebihan terutama dari sudut seperti dapat memberikan kepuasan dari segi modal yang dikeluarkan oleh pembeli “WORTH BUYING” dan juga dapat memberikan kegembiraan kepada pembeli apabila segala penyucian menggunakan produk dapat memberikan pembasuhan yang berkesan dengan “CLEANLINESS IS WORTH IT”.

Pandemik ini hampir melumpuhkan segalanya iaitu bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi juga dari segi ekonomi negara khasnya dan masyarakat amnya.

“Syarikat kami juga terkesan dengan pandemik yang melanda tetapi dengan semangat yang kuat semangat yang jitu dalam diri kami sebagai peniaga dan usahawan kecil kami bangkit dengan lebih berkeyakinan lebih berinovasi untuk memberi dan mendapatkan kejayaan dengan segala bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan.

“Maka walau secara perlahan-lahan tetapi kesan kejayaannya akan tetap hadir dalam hidup kami sebagai peniaga dan usahawan,” katanya lagi.

Perniagaan bermula dari rumah dari Ogos tahun 2020 sewaktu mendaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam jangka waktu satu tahun iaitu penghujung 2021.

“Saya berjaya mendapat sebuah kedai dibawah Majlis Perbandaran Selayang (MPS) maka selepas ini saya ingin membuka kilang sendiri pula untuk mengeluarkan semua produk yang ada sekarang dan akan melopori produk-produk yang baru pula.

“Seperti juga usahawan yang lain, kami juga ada lebih kurang 20 ejen aktif yang memasarkan produk kami.

“Maka saya ingin memberi peluang kepada ramai lagi ejen ataupun stokis untuk sama-sama membangun memasarkan produk kami.  Bahkan saya ingin membuka dan menambah cawangan kedai kami sendiri untuk menjual secara fizikal dan dalam talian,” katanya.

Kongsi beliau lagi, sebagai usahawan beliau tidak akan berputus asa dan yakin dengan produknya. Ini  adalah kerana produk  ini adalah produk kegunaan harian yang memang sentiasa diperlukan,  sentiasa dicari tidak kira waktu atau hari oleh sesiapa sahaja oleh setiap umur manusia bermula dari umur remaja hingga ke hujung nyawa dan produk yang tidak akan luput samada oleh hujan atau panas,” ujarnya panjang lebar sebelum mengakhiri bicara.