HCBYOU Resources perkenal jenama kosmetik tempatan

Dunia kosmetik hari ini antara bidang yang mencuri perhatian ramai usahawan muda memandangkan permintaan diterima daripada pengguna amat menggalakkan.

Cuma apa yang membezakan sesuatu produk selain keteguhan jenamanya adalah kualiti dan mutu produk yang ditawarkan kepada pelanggan. 

Sama seperti dilakukan usahawan muda ini, disebabkan kesukaran mencari bedak asas yang sesuai, bermulalah misi menghasilkan produk berkualiti jenama sendiri.

 Usahawan wanita, Siti Khadijah Shaharum, ini membuka perniagaan menjual bedak asas atas matlamat mahu menyelesaikan masalah bagi mereka yang ingin mencari produk bedak asas yang sesuai, berkualiti dan sesuai dengan kulit mereka.

Kata wanita berusia 35 tahun ini, bedak asas yang direka beliau adalah sesuai  dengan kulit wanita Asia dan dijual pada harga berpatutan bagi memberi peluang kepada ramai orang menggunakan produk kosmetik  jenama tempatan yang direka khas kepada pengguna bedak asas.

Anak kelahiran Utara ini, berkata pada  tahun 2020 lalu, ia menjadi tanda saksi langkah pertama beliau mengusahakan perniagaan  ketika negara sedang dalam  kehadiran pandemik fasa  awal.

Dibawah jenamanya itu, antara keunikan bedak asas Kesuma adalah ianya sangat sesuai dengan semua jenis kulit iaitu  samada kering atau berminyak.

“Ini kerana ada bahan utama yang sangat premium diambil dari negara Morocco iaitu minyak argan. Ia bahan ramuan yang bertindak meneutralkan minyak dan lembapan di wajah.

“Ia juga mengandungi hyaluronic acid yang mana ia sangat sesuai untuk mengunci kelembapan di dalam kulit.

“Ia dapat dirasai  apabila selepas  anda mencuci wajah, kulit tetap kekal lembut,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Kongsi beliau lagi, antara kandungan lain dalam produk bedak asas yang direka adalah ramuan serbuk mutiara yang terkenal sebagai agen anti penuaan sejak zaman berzaman untuk menjadikan wajah nampak lebih sihat bersinar.

“Fokus utama saya  adalah golongan wanita yang perlu menyolek wajah dalam masa yang sama mahu menjaga kulit dari ‘break-out’ serta dapat merawat dari dalam memiliki produk bedak asas yang dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka ini,” katanya lagi.

Beliau turut berkongsi berkenaan cabaran dan rintangan dihadapi ketika pandemik melanda negara. Ia semestinya satu keadaan yang sukar dihadapi bukan saja beliau tetapi pengusaha dan usahawan lain.

Namun, sikap positif dalam menangani masalah dan cabaran banyak membantu beliau bertahan dalam perniagaan itu. Malah, banyak yang dapat dipelajari sepanjang pandemik melanda negara.

“Medium perniagaan dalam talian sangat membantu dalam memasarkan produk ketika pandemik berlaku dan saya dapat melaluinya dengan baik,” katanya.

Sebagai usahawan, beliau berhasrat untuk meluaskan jenama KK Cosmetic supaya lebih dikenali ramai dan menghasilkan lebih banyak produk tempatan berkualiti dengan menjadikan medium perniagaan dalam talian sebagai agen pemasaran.

Dalam mengharungi dunia perniagaan, tiada istilah mahu berhenti dan berputus asa. Semuanya dilakukan dengan penuh ketenangan dan menangani masalah dengan bijaksana.

“Walaupun sebenarnya agak sukar melaluinya, tetapi apabila ada pelanggan yang kembali mencari produk yang saya usahakan ini, ia sekaligus menjadi semangat untuk saya terus bertahan dan menjadi semakin kuat.

“Dalam masa yang sama, hasil dari jualan produk banyak digunakan membantu lebih ramai insan yang memerlukan ketika pandemik dulu dan ia sangat menggembirakan saya sebagai usahawan.

“Saya juga amat berharap dapat memberi lebih banyak manfaat dan membantu lebih ramai lagi insan-insan yang memerlukan di sekeliling saya apabila mengusahakan perniagaan ini,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk KK Cosmetic, layari https://kkcosmetic.my/ dan peluang untuk menjadi ejen juga dibuka sekarang.