FTR Smart Solution hasil buku Formula Tarik Rezeki

Industri buku masih mempunyai pengikut setianya yang tersendiri walaupun dunia kini semakin menginjak ke dunia digitalisasi. Atas dasar sikap amanah dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, ummah, agama dan negara serta demi mengejar kebahagiaan dan keberkatan  hidup di dunia dan akhirat, Nora Yusof menceburkan diri dalam dunia penulisan buku.

Nora adalah pengasas FTR Smart Solution Sdn Bhd yang memegang hak jenama FTR Exclusive yang menerbitkan buku-buku eksklusif genre motivasi Islamik dan perniagaan.

Selain itu, ia adalah sebuah syarikat yang beroperasi dan menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran tentang pemasaran dan penulisan perniagaan melalui seminar dan pusat latihan. Syarikat ini secara rasminya berdaftar pada Julai 2017 dan laman web rasmi syarikat adalah www.ftrexclusive.com

Bercerita mengenai pembabitannya dalam bidang perniagaan, wanita berusia 35 tahun itu mahu membawa misi #MenulisKeSyurga menerusi penulisannya.

“Saya amat mementingkan nilai sumbangan.  Matlamat perniagaan yang saya bina ini adalah untuk memberi dan menyumbang  dari segi ekonomi, intelektual dan membantu orang ramai yang memerlukan. 

“Selain itu, saya juga mementingkan pencapaian dan ia dapat dilihat menerusi susah payah dan pengorbanan saya menulis selama 10 tahun dalam menghasilkan penulisan yang mampu menjadi sumber inspirasi dan motivasi untuk orang lain melakukan kebangkitan dalam hidup.

“Saya juga sentiasa berusaha melakukan pencapaian yang terbaik demi mencapai matlamat hidup juga mengapai redhaNya Allah SWT di dunia dan di akhirat khususnya,” kata anak kelahiran Besut, Terengganu itu lagi.

Bercerita lanjut, Nora berkata keunikan yang ada pada produk buku FTR Exclusive adalah #BacaBacaSentap yang merujuk kepada konsep ringkas, santai, sentap dan sampai. Konsep ini berkisar mengenai kelainan penyampaian bahasa yang digunakan di dalam penulisan buku Formula Tarik Rezeki.

“Kelainan ini mampu memberikan nilai yang baru buat pembaca dari segi kelainan jiwa. Selain itu, ia juga mampu menambahkan kefahaman dan kesedaran yang cepat. Membaca seolah-olah sedang mendengar penulis bercakap, ulang baca tidak jemu serta sangat sesuai untuk mereka yang tak suka membaca buku kerana penyampaiannya berbeza daripada penulisan lain,” katanya kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini.

Mengulas mengenai pandemik yang berlaku, usahawan wanita yang cekal itu berkata perkara yang paling penting yang beliau pelajari daripada pandemik ini ialah usahawan hendaklah sentiasa bersedia dengan sebarang risiko perniagaan dari awal.

“Kita perlu membuat perancangan rapi sekiranya operasi syarikat tidak boleh berjalan secara ‘offline’ maka syarikat perlu bersedia dan menyediakan kemudahan perniagaan dalam talian seiring perkembangan teknologi agar perniagaan boleh terus bergerak tanpa halangan.

“Selain itu, penguasaan platform media sosial juga amat penting. Pandemik ini menjelaskan betapa pentingnya mahir teknologi dan penguasaan tanpa sempadan juga sesuaikan produk ikut keadaan semasa. Malah, kita juga perlu mempunyai perancangan kewangan yang terurus,” katanya lagi.

Nora berkata FTR Exclusive mahu membantu seramai 500,000 orang pembaca menghapuskan masalah belenggu rezeki dan hutang yang membebankan dalam kalangan mereka dengan menggunakan ilmu FTR iaitu ilmu berlandaskan anjuran Islam #AlwaysbacktoAllah.

“Di samping itu, dapat meningkatkan ekonomi masyarakat dengan peluang jana pendapatan. Untuk mencapai sasaran serta matlamat ini, syarikat memberikan peluang jana pendapatan kepada orang ramai yang berminat berdakwah sambil berniaga melalui platform FTR.

“Berdakwah dengan ilmu untuk mengumpul saham pahala akhirat serta berniaga untuk menjana keuntungan duniawi agar dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya lagi.