Pernahkah anda mendengar perumpamaan ‘health is wealth’? Jika diperhalusi maksud perumpamaan Inggeris berkenaan, ia memberi maksud bahawa kesihatan yang baik adalah nikmat terbesar yang ada pada seseorang manusia.
Tidak kira berapa kaya atau berapa berpengaruhnya seseorang itu, semuanya seakan tidak bermakna jika mereka tidak mempunyai kesihatan yang baik dan perlu sentiasa mendapat nasihat doktor. Situasi ini pastinya menjadi lebih parah sekiranya mereka perlu bergantung kepada ubat sepanjang hidup mereka bagi mengawal dan merawat kesihatan mereka.
Menyedari hakikat bahawa Malaysia muncul antara juara obesity di rantau Asia Tenggara, Syarif Nurhidayat Muzhaimey menawarkan perkhidmatan nasihat berkaitan kesihatan menerusi perniagaannya, Fit Fortress Gymnasium.
Bercerita kepada Entrepreneur Insight baru-baru ini, pemuda berusia 32 dari Taiping, Perak itu berkata perniagaannya bermula semasa beliau sedang belajar dalam jurusan sains sukan di UiTM Shah Alam.
“Salah seorang dari pensyarah kami memberi idea untuk kami melatih sekumpulan kakitangan UiTM yang ingin memulakan perjalanan kesihatan mereka ke arah yang lebih baik. Kami melatih mereka selama 8 minggu dan hasil daripada latihan tersebut, kami mendapat maklum balas yang baik dari kumpulan tersebut dan ramai dari peserta kumpulan tersebut mendapat manfaat dari penyertaan mereka,” katanya.
Bertitik tolak dari situ, Syarif dan pasukannya menubuhkan Fit Fortress Gymnasium dan menawarkan perkhidmatan berkaitan kesihatan dan kecergasan fizikal.
“Servis kami tidak hanya fokus kepada matlamat utama iaitu menjadi sihat atau mengurangkan berat badan, tapi kami juga fokus kepada elemen untuk mendidik masyarakat supaya peserta kami dapat menerapkan gaya hidup sihat di dalam gaya hidup seharian mereka selepas mereka tamat dari program kami.
“Servis yang kami tawarkan dapat memberikan kelebihan kepada perkembangan perniagaan kami kerana ia dapat memberikan kelebihan yang dapat menampilkan kelainan dari kumpulan-kumpulan fitness lain diluar sana.
“Di samping itu, ia juga dapat menarik minat orang ramai untuk bertanya lebih lanjut tentang program kami dan seterusnya memilih untuk menyetrai kami. Kami juga menjadi lebih bermotivasi untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan kami,” jelasnya panjang lebar.
Syarif berkata sebagai pengusaha gymnasium, beliau juga tidak terkecuali daripada impak daripada pandemik yang berlaku.
“Kita sebagai peniaga dan pengusaha haruslah menjadi kreatif untuk kekal relevan terutamanya pada waktu pandemik. Bagi kami, ia bukan satu perjalanan yang mudah tetapi ramai orang yang mula sedar tentang kepentingan kesihatan dan ramai telah mula bergiat aktif dalam bidang berkenaan sewaktu tempoh pandemik.
“Kami dapat menyediakan latihan secara dalam talian kepada peserta-peserta kami hanya dari rumah mereka sahaja,” katanya.
Ditanya mengenai perancangannya dalam tempoh tiga tahun lagi, beliau menyasar untuk menjadi penganjur latihan kesihatan berkumpulan yang terbaik dan terkenal di Malaysia.
“Kami ingin ramai rakyat Malaysia menjadi sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat di dalam kehidupan seharian mereka. Kami sudah merangka pelan lima tahun untuk perniagaan kami dan apa yang ingin kami ceburi bagi menambah baik servis kami,” ujar anak muda yang mempunyai visi dan misi besar untuk mengembangkan perniagaannya.
Syarif berkata beliau sangat bersemangat untuk menjadikan Malaysia negara sihat dan menurunkan kadar obesiti di dalam rakyat Malaysia.
“Kami juga sangat suka untuk menerapkan konsep ‘fit for life’ dan ini menjadikan kami sentiasa bermotivasi dan tidak berputus asa untuk membangunkan perniagaan kami,” katanya lagi.