Face Care Cream sasar tembusi pasaran global

Siapa yang menyangka, pandemik Covid-19 yang berlaku dua tahun lalu membawa hikmahnya yang tersendiri kepada Suzana Sallehudin. Usahawan berusia 39 tahun itu sebelum ini menubuhkan syarikat bumiputera milikan tunggal, Iwanna Julia Entreprise pada tahun 2014.

Pada dasarnya, syarikat berkecimpung dalam bidang perkhidmatan perkahwinan dan andaman serta spa kecantikan.

Bercerita lebih lanjut kepada Entrepreneur Insight, anak kelahiran Melaka itu berkata syarikatnya juga membekalkan pakaian tradisional dan perkahwinan untuk disewa.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan solekan. Bertitik tolak dari situ, saya ingin memperluaskan lagi perniagaan ini kerana syarikat saya sudah mempunyai pelanggan daripada sektor kerajaan dan swasta.

“Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang ini, di samping melihat potensi pemintaan yang tinggi, saya mengambil inisiatif untuk menimba ilmu di Industrial Biotechnology Research Centre SIRIM Berhad bagi mempelajari cara pembuatan kosmetik.

“Saya mengambil masa selama satu tahun untuk mempelajari pembuatan ini. Pada tahun 2019, sektor perkahwinan dan spa kecantikan tidak boleh beroperasi disebabkan oleh wabak Covid-19 yang berlaku yang telah menyebabkan banyak sektor ditutup akibat pandemik ini.

“Tidak mahu tunduk mengalah, saya mengambil peluang ini untuk mempromosikan produk penjagaan kulit Face Care Cream kerana saya perlu meneruskan perniagaan saya,” katanya lagi.

Suzana berkata pihak syarikat mengambil peluang untuk memasarkan produk Face Care Cream dengan menggunakan kaedah dalam talian bagi mempertingkatkan lagi jualan.

“Alhamdulillah, strategi yang kami gunakan berjaya mempromosikan lagi kewujudan jenama berkenaan, sekaligus membuka jalan untuk kami meluaskan lagi jualan ke seluruh Malaysia.

“Sehingga kini, sudah setahun produk Face Care Cream dipasarkan secara dalam talian. Syukur, permintaan amat menggalakkan dan sentiasa meningkat,” katanya lagi.

Menceritakan mengenai keunikan produk Face Care Cream, Suzana berkata ia mampu melindungi kulit wajah dari sinaran UVA/UVB selain mesra wuduk.

“Produk ini juga sesuai digunakan ke atas semua jenis kulit dan ia bukan sahaja untuk golongan wanita, malah kaum lelaki juga boleh menggunakannya.

“Paling penting, harga jualannya adalah mampu milik,” ujarnya lagi.

Keunikan produknya itu ternyata memberikan kelebihan kepada perkembangan perniagaan yang dikemudi oleh Suzana yang mana ia boleh dipromosi secara dalam talian dan jualannya boleh diperluaskan ke seluruh Malaysia.

“Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya mahu meluaskan perniagaan ini ke peringkat global di samping menyasar untuk menembusi pasaran pusat beli belah di negara ini.

“Selain itu, saya juga mahu membuka peluang kepada anak muda di luar sana untuk mencari pendapatan yang lebih stabil dan mahu menggiatkan lagi strategi pemasaran produk Face Care Cream ini,” katanya.