Enah Food sasar tembusi pasaran pasaraya

Keinginan untuk mencari wang tambahan bagi membantu suami dan mahu memberi duit poket kepada ibu telah mendorong Aina Izzaty, 28, untuk mula berkecimpung dalam dunia perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau yang tidak minat untuk makan gaji disebabkan faktor anak lantas mula berniaga ketika negara dilanda pandemik kira-kira dua tahun lalu.

Aina yang ketika itu baru mendirikan rumah tangga selama dua tahun mendapat ilham untuk menubuhkan syarikat yang diberi nama Enah Food Entreprise. Bercerita mengenai perjalanannya sebagai seorang usahawan, Aina berkata beliau memulakan operasi jualan ‘cookies’ dari rumah.

“Pada permulaaan, saya membuat siaran langsung menerusi Facebook setiap hari sebagai satu daripada strategi pemasaran ‘cookies’ Enah Food. Setahun selepas itu, memandangkan perniagaan semakin berkembang, saya membuat keputusan untuk menyewa premis bermodalkan hasil jualan dari rumah.

“Saya juga sudah mampu untuk mengambil pekerja bagi membantu saya menguruskan kedai sekiranya saya tiada di situ,” kata anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu.

Mengulas lanjut, Aina berkata produk ‘cookies’ keluarannya juga unik kerana kandungan ‘dark chocolate’ di dalamnya memberikan tenaga yang positif kepada mereka yang memakannya.

“Ia juga kurang manis dan sesuai dijadikan sebagai hidangan pagi apabila anda tidak berkesempatan untuk masak disebabkan oleh kesibukan kerja dan sebagainya. Selain itu, ia juga boleh dimakan bersama semangkuk susu sama seperti anda memakan bijirin semasa sarapan pagi.

“Ia juga boleh menjadikan anda lebih kenyang apabila dimakan bersama susu segar,” ujarnya kepada Entrepreneur Insight.

Aina berkata keunikan yang ada pada produk ‘cookies’ Enah Food menyebabkannya menjadi pilihan ibu bapa yang mempunyai anak kecil atau pelajar sekolah.

“Mereka sentiasa menyokong produk Enah Food dari mula hingga kini. Menariknya, mereka juga dapat menjana pendapatan sampingan apabila mereka menjual produk ini. Produk Enah Food juga sering mendapat permintaan daripada orang sekeliling selepas mereka mencubanya,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran yang hendak dicapainya dalam tempoh tiga tahun lagi, Aina berkata beliau mahu membantu lebih ramai suri rumah dan golongan pelajar di luar sana untuk bersama-sama menjana pendapatan tambahan.

“Dalam kemelut ekonomi yang tidak menentu itu, saya ingin terus membantu pelanggan-pelanggan saya yang berhadapan dengan masalah seperti kesuntukan masa untuk bersarapan. Saya mahu mereka boleh memulakan hari dengan ceria selepas memakan ‘cookies’ Enah Food.

“Selain itu, saya juga ingin meluaskan lagi jualan sehingga dapat menembusi pasaran pasaraya yang ada di negara ini,” katanya lagi.

Bercerita mengenai pengalamannya berhadapan dengan pandemik Covid-19, Aina berkata sebenarnya, setiap masalah ada ruang dan setiap ruang ada peluang.

“Jadi, saya sentiasa bersikap positif semasa berhadapan dengan pandemik ini. Ini kerana perniagaan saya juga tercipta disebabkan oleh pandemik yang melanda. Ketika itulah ramai orang mula tertumpu pada platform media sosial, jadi ini adalah peluang untuk saya kembangkan lagi aspek pemasaran produk saya.

“Walaupun saya bergelar suri rumah dan mempunyai seorang anak, saya masih lagi aktif dalam mempromosikan produk jualan secara dalam talian mahupun secara bersemuka,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan perjalanan dalam bidang perniagaan ini tidak semudah yang disangka, kadang kala timbul juga rasa ingin putus asa.

“Bagaimanapun, saya kuatkan juga hati demi membantu pekerja yang mahu menyara keluarga mereka. Selain itu, pekerja saya juga sering meluahkan kegembiraan mereka apabila dapat membeli barangan yang diidamkan selepas mendapat gaji daripada syarikat.

“Ini adalah antara faktor yang menguatkan semangat saya untuk terus berusaha mengembangkan lagi produk Enah Food,” katanya.