Elak berhutang untuk mulakan perniagaan – Farah Soriadi

Jika ditanya impian kebanyakan orang, ramai yang mengimpikan kehidupan yang selesa tanpa perlu melalui pelbagai tekanan terutamanya membabitkan soal kewangan. Begitu juga dengan Farah Soriadi, 39 tahun yang tidak terkecuali daripada memikirkan soal masa depan kehidupannya.

Memikirkan mengenai keperluan untuk mempunyai perniagaan sendiri danpa bebanan masa dan kewangan, Farah yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu tidak mengambil masa yang lama untuk menubuhkan syarikat Persada Sakti Enterprise (Persada Sakti) pada tahun 2011.

Bertitik tolak daripada situ, Farah yang juga seorang perunding Takaful selama 12 tahun itu mula meneraju syarikat yang menjalankan perkhidmatan pemasangan alat penyaman udara untuk semua jenis ‘horse power’’.

Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat Persada Sakti juga menyediakan perkhidmatan memperbaharui alat pemadam api.

“Selain itu, kami juga mempunyai kelayakan yang diiktiraf dibawah Suruhanjaya Tenaga sebagai ‘orang yang kompeten’ untuk menjalankan tugas-tugas berkenaan.

“Malah, saya dan suami juga mempunyai sijil kompeten alat pemadam api,” katanya kepada Entrepreneur Insight, baru-baru ini.

Ketika ditanya apakah kelebihan yang ada pada syarikatnya, Farah berkata Persada Sakti mempunyai pengalaman luas dalam bidang mekanikal dan elektrik iaitu selama lebih kurang 10 tahun.

“Selain daripada itu, syarikat juga membekal alat penyaman udara dan pemadam api di seluruh Malaysia terutamanya kepada badan kerajaan dan swasta,” katanya.

Walaupun sudah agak lama beroperasi, Farah mengakui pandemik Covid-19 yang melanda dunia turut meninggalkan kesan kepada operasi syarikatnya. Bagaimanapun, wanita cekal itu berkata banyak perkara yang boleh dipelajari daripada ujian yang melanda.

“Yang paling penting, kita sebagai usahawan harus sentiasa bersedia dengan sebarang keadaan ekonomi yang berlaku terutamanya ketika musim pandemik ini. Ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Jadi kita harus mempersiapkan diri dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Selain itu, saya juga mula menyedari kelebihan apabila anda memulakan perniagan tanpa sebarang hutang. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa adalah mustahil untuk memulakan perniagaan tanpa mempunyai modal yang besar, tetapi pandemik Covid-19 membuktikan bahawa perniagaan tanpa hutang itu lebih berdaya tahan,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan atau pencapaian yang mahu dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi, Farah berkata beliau mahu meluaskan operasi syarikat Persada Sakti.

“Sudah tentu, saya mahu mengembangkan lagi perniagaan ini di dalam bidang lain dan tidak hanya tertumpu kepada pasaran alat penyaman udara atau pemadam api semata-mata.

“Selain itu, saya mahu membina jaringan hubungan (networking) yang lebih banyak dan menambah lebih ramai kenalan menerusi perniagaan yang saya jalankan. Dalam masa tiga tahun akan datang juga, saya menyasar untuk mempunyai aset baharu iaitu sebidang tanah sebagai depoh untuk alat jentera dan kenderaan syarikat.

“Dengan perancangan dan pelaksanaan yang teliti, saya yakin semua sasaran ini dapat dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Sebagai seorang usahawan, Farah mempunyai pendiriannya sendiri untuk terus berjuang membangunkan perniagaan dan tidak akan sesekali berputus asa.

“Saya percaya yang kita perlu kaya dan berjaya untuk bantu orang lain. Apa yang saya maksudkan di sini adalah jika kita mempunyai kapasiti yang lebih besar, maka lebih ramai orang yang dapat dibantu.

“Selain itu, kita juga perlu sentiasa berkongsi ilmu dan tidak lokek untuk membimbing mereka yang baru ingin bertatih dalam dunia perniagaan. Akhir sekali, dalam apa juga perniagaan yang dilakukan, pasti ada halangan yang harus ditempuh. Jadikan itu satu formula untuk mengejar kejayaan di masa depan,” katanya.